ASSALAMUALAIKUM dan selamat sejahtera. Kongsi minda, bersih jiwa. : KitaReporters.com
Renungan.
Jangan melenting bila ditegur
Sebab sayang orang menegur
Menegur bukan jaga tepi kain
Kita harus positif bila ditegur apabila melakukan sesuatu yang keterlaluan atau berkata yang tidak manis didengar.
Orang yang menegur kita juga manusia biasa. Tidak semestinya mereka itu tidak pernah melakukan kesilapan atau dosa.
Kita harus faham mengapa mereka sanggup menegur kita.
Biarpun dianggap sebagai lawan dan hanya mahu menjaga tepi kain kita, niat mereka ikhlas.
Jadi kita harus mengambil teguran itu secara positif
Jangan berburuk sangka dengan orang yang membuat teguran.
Mesti ada sebab kenapa mereka berbuat demikian. Salah satu sebab kerana sayangkan kita atau persahabatan yang terjalin.
Terima teguran dengan hati terbuka dan lapang dada.
Teguran yang bersifat positif dan membina diri ke arah yang lebih baik patut diterima dengan senang hati.
Kadang-kadang, kita tidak sedar apa yang kita lakukan itu sebenarnya salah pada pandangan orang lain.
Dan mereka inilah yang lebih nampak dan sedar apa yang tidak baik kita lakukan. Mereka adalah cermin untuk kita.
Sehubungan itu, terimalah teguran itu sebaiknya.
Tidak perlu melenting dan menolaknya. Jangan marah dan berdendam.
Kebanyakan orang akan menganggap teguran itu ingin menjatuh serta menunjukkan kelemahan mereka.
Mereka tak boleh terima dan menganggap ia sebagai kecaman terhadap diri mereka. Sedangkan sifat saling tegur-menegur ataupun berpesan-pesan sangat dituntut dalam Islam.
Kita lupa yang ada kebaikannya apabila kita ditegur.
Kita ini manusia yang mudah lupa dan lalai.
Sebab itu perlu ada orang yang akan mengingatkan kita untuk kembali ke jalan yang benar dan betul.
Bukalah minda dan hati seluas-luasnya untuk menerima teguran daripada sesiapa sahaja.
Satu teguran boleh mengubah kehidupan kita untuk masa hadapan yang lebih membahagiakan dunia akhirat.
Ingatlah.
Hargailah sesiapa sahaja yang menegur kita. Yakinlah mereka itu ikhlas.
Mereka yang datang menegur adalah dengan izin Allah SWT. Itu bermaksud Allah mahu uji kita.
Kita dikira bertuah kerana Allah SWT masih ingin memberi peringatan kepada kita.
Selain itu, jangan ego dan berfikir secara rasional, insya-Allaah kita pasti dapat menerima teguran tersebut walaupun orang yang menegur itu kita tidak kenal dan tidak suka.
Jangan menyesal bila tiba waktu, tiada sesiapa lagi yang akan menegur setelah ketika membuat kesilapan. Sedih dan ruginya!
Tetapi beruntung jika masih ada orang yang mahu menegur. Itu tandanya mereka mengambil berat tentang kita.
Kita semua tidak sempurna. Tidak perlu menunggu orang yang sempurna sahaja menegur kita.
Orang yang lemah juga ada hak menegur. Kadangkala teguran mereka lebih membina.
Apabila kita ditegur dan mahu berubah ke arah yang lebih baik, maka lakukanlah.
Setiap teguran yang diambil positif akan menjadi sumber kekuatan dan inspirasi untuk kita maju ke hadapan. Ada hikmahnya.
Lihatlah teguran itu bukan pada siapa yang menegur tetapi apa yang ditegur.
Orang menegur sebenarnya sayangkan kita. Mereka berusaha untuk menyelamatkan kita. Teguran mereka bernilai.
Walaupun pahit untuk diterima, terimalah dengan hati terbuka dan berlapang dada.
🌹❤️ Orang biasa akan marah apabila dikritik. manakala orang yang mulia adalah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan. ❤️🌹