Santai 13 Feb, 2020

KAM FOOK 'BOREK', TAPI OSCAR 'BELUM RINTIK'

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BAPANYA seorang legenda bola sepak negara atau boleh dianggap antara pendukung ‘Generasi Emas 70-an’. Muncul penjaga gol utama pada penampilan sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik Munich 1972.Sebaris dengan bapanya ialah mendiang Datuk M. Chandran, Datuk Namat Abdullah, Datuk Soh Chin Aun, Salleh Ibrahim, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff, Saharuddin Dollah dan Abd. Rahim Abdullah. : KitaReporters.com

OSCAR WONG TSE YANG


WONG KAM FOOK.


Selama 55 minit Wong Kam Fook kental dan kebal melindungi gawang sebelum pasukan tewas 3-0 kepada tuan rumah yang juga gergasi dunia, Jerman Barat.

Majukan ke masa kini. 

Oscar Wong Tse Yang, 25, pasti mengidam reputasi sehebat dan setinggi Kam Fook itu yang turut pernah berkelana sebagai pemain profesional di Hong Kong selepas Olimpik.

Namun selagi tiada pasukan tempatan mahupun negara jiran yang diwakilinya, mana mungkin jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mampu menimbangkan panggilan ke kem latihan pusat.

Sayang sekali selepas kontraknya dengan Melaka United tidak disambung dari musim 2019, belum ada pasukan Liga Malaysia yang menawarkan tempat kepada Tse Yueng.

Sepak mula musim baharu Liga M 2020 hanya tinggal kurang dua minggu lagi, namun Kam Fook terus berharap akan ada ‘sinar di hujung terowong’ buat karier bola sepak anak lelaki tunggalnya itu.

Lagipun kata pepatah Melayu, “ke mana lagi kuah hendak tumpah kalau tidak kepada nasi!” atau “kalau bapa borek, anak pun mesti rintik”.

OSCAR (kiri) tidak kurang hebatnya dengan kelab Dreams Sports Club dan Hong Kong BC Rangers dari 2017 hingga 2018. 


Amat jarang atau ‘very rare’ kata anak muda sekarang untuk bola sepak Malaysia menyaksikan penjaga gol generasi kedua berketurunan Tionghua kecuali baru-baru ini dalam skuad bawah 22 tahun ke Sukan SEA Filipina.

Damien Lim Chien Khai yang juga penjaga gol pilihan kedua, merupakan anak saudara pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, Lim Teong Kim yang juga bekas Pengarah Teknikal Progam Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Bapa Damien, Lim Seng Koon ialah bekas ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia pada era 70-an. 

Bapa saudara penjaga gol PKNS FC ini yang lain termasuk bekas penjaga gol negara, Lim Chuan Chin dan Lim Hong Guan.

TSE Yueng (tengah) mempunyai aset penting penjaga gol, ketinggian 1.89 meter tetapi masih kurang masa bermain dalam Liga Malaysia untuk memikat jurulatih Harimau Malaya.


Sebelum menyertai Melaka United, Oscar juga menimba pengalaman di kelab Hong Kong, Dreams Sports Club dan Hong Kong BC Rangers dari 2017 hingga 2018, selain mewakili Cina Perak dalam Piala Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA).

Di Melaka United, pemain lampai setinggi 1.89 meter ini terpaksa bersaing sengit bagi slot penjaga gol utama dengan bekas pemain Malaysia dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek.

“Kami masih mencari pasukan. Ejen kami kata, ada tiga atau empat pasukan Liga M yang memerlukan penjaga gol tetapi belum satu pun yang panggil jalani ujian,” kata Kam Fook, 71.

AKSI hebat Wong Kam Fook (tengah) dalam liga profesional Hong Kong 70-an. 


Kam Fook kembali ke tanah air pada 2011 selepas hampir empat dekad berkelana dan menetap di Hong Kong selepas Olimpik termasuk sebagai pemain profesional dari 1972 hingga 1984 diikuti dengan beberapa profesion lain.

“Dalam saingan liga Hong Kong, saya digelar Big Ma,” kata bekas pemenang Piala Malaysia 1970 dengan Perak selepas menewaskan Kelantan 2-0 ini.

Kam Fook beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan A Olimpik Munich, menentang Jerman Barat pada 27 Ogos 1972 di Stadium Olimpik diikuti menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dan kalah 6-0 kepada Maghribi tanggal 29 dan 31 Ogos.

Imbasnya semula, “saya sudah tercedera ketika berdepan Jerman Barat, namun masih diharapkan pengurusan pasukan (pengurus, Allahyarham Datuk Harun Idris dan jurulatih, Allahyarham Jalil Che Din) bagi baki aksi berikutnya.

“Jadi saya turun main menentang Amerika Syarikat, tetapi hanya 27 minit dengan Maghribi, saya dikeluarkan untuk digantikan Lim Fung Kee, penjaga gol Selangor,” katanya.

WONG Kam Fook (kiri) bersama rakan karib, Chow Chee Keong juga penjaga gol negara yang digelar Gerbang Besi Asia.


Namun sehingga hari ini, Kam Fook masih tertanya-tanya mengapa rakan senegeri Perak, Wong Hee Kok yang beraksi bersamanya dalam Kelayakan Olimpik 1971 di Seoul tidak terpilih ke Munich.

‘Hujan emas di negeri orang’ mendorong Kam Fook menyertai kelab Seiko, Rangers, South China dan Caroline Hill – mengikut jejak rakan senegara seperti mendiang Chow Chee Keong, Fung Kee, Koo Luan Khen, Yee Sin Choy, Foo Sing Ming, Ho Hong Seong, Lee Ah Kow, (mendiang) Wong Choon Wah dan Wong Voon Leong.

Kam Fook kini gemar bertindak sebagai jurulatih peribadi Tse Yueng, cahaya matanya yang ketiga daripada empat beradik.

“Dulu di Hong Kong, saya dapati dia melangkaui jangkaan awal saya sedangkan dia hanya mula memberitahu saya, dia berminat dengan bola sepak ketika sudah berusia 16 tahun,” katanya.

AKSI Kam Fook (jersi merah) menentang Jerman Barat dalam Sukan Olimpik Munich 1972.


Apa petua atau tips penting bagi menjadi penjaga gol yang berkaliber?

“Seorang penjaga gol tetap perlu saling membantu dengan empat atau lima anggota barisan pertahanan di depannya.

“Jadilah ‘gila-gila’ apabila mengawasi kotak penalti anda. Kena buat keputusan segera,” katanya yang turut tertarik dengan kehebatan nama besar antarabangsa di posisi itu seperti Oliver Kahn (Jerman) dan Peter Schmeichel (Denmark).

Secara kebetulan jejak Peter diwarisi anaknya, Kasper yang membina karier pro dengan kelab Liga Perdana England seperti Manchester City, Leeds United dan Leicester City serta skuad kebangsaan Denmark.

Sudikah mengulas mengenai prestasi Harimau Malaya yang kini hanya menghuni ranking ke-154 dunia dan ke-31 Asia dengan hanya Piala AFF (Asia Tenggara) 2010 dapat dibanggakan sejak berdekad-dekad lalu?

“Maaf sukar saya hendak mengulasnya tetapi saya gembira dengan peningkatan pasukan negara sekarang,” katanya, merujuk aksi konsisten skuad Cheng Hoe meraih sembilan mata dan menduduki tempat kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setakat ini. - KitaReporters.com

FAKTA MENARIK OSCAR: 

Mendukung watak pemain Korea Selatan dalam filem pecah panggung 2016, ‘Ola Bola’ yang diinspirasikan daripada kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. 

0
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago