Santai 28 Jan, 2020

PENANGAN KORONAVIRUS JEJAS ATLET KE CHINA

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

“BIKIN rosak ana punya program,” kata P. Ramlee dalam filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’. Angkara penularan wabak 2019 novel Koronavirus (2019-nCoV), habis program sukan antarabangsa di China menerima tempiasnya sehingga menjejaskan penyertaan atlet-atlet negara kita. : KitaReporters.com

SKUAD Selangor nekad membatalkan penyertaan di Guangdong gara-gara nCoV malah diarah membayar ganti rugi oleh penganjur kejohanan empat penjuru itu. - Foto Facebook FA Selangor


Sehingga kini Suruhanjaya Kesihatan Negara China melaporkan seperti dipetik oleh agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sudah 106 nyawa warganya melayang akibat virus itu, manakala 4,515 kes telah disahkan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Persatuan Bola Selangor (FAS) merupakan antara yang paling awal telah memutuskan penarikan diri secara mendadak daripada Kejohanan Jemputan Bola Sepak Antarabangsa Piala Meizhou Hakka di Guangdong, China.

Kejohanan dari Jumaat lalu hingga esok itu pada mulanya menjadi sebahagian program pramusim Selangor yang dibimbing oleh B. Sathianathan menjelang sepak mula Liga Malaysia, 28 Februari 2020.

Kejohanan empat penjuru itu turut disertai Chonburi FC dari Thailand dan Sangju Sangmu (Korea Selatan) selain tuan rumah, Meizhou Hakka FC.

Persatuan Olahraga Asia (AAA) pula pada Ahad lalu, membatalkan Kejohanan Asia Kesembilan yang dijadualkan pada 12 hingga 13 Februari 2020 di Hanzhou, China, kata Ahli Majlisnya yang juga bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.

LEONG Mun Yee dan skuad terjun negara hanya berkurung di Gimnasium Sichuan, Chengdu dan diletakkan dalam tahap kesiapsiagaan maksimum ekoran Koronavirus. - Foto Facebook Leong Mun Yee


Begitu juga kesan coronavirus ini kepada program latihan skuad akuatik terjun negara di negara Tembok Besar itu.

Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold berlatih di Chengdu sementara juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong di Qinhuangdao. 

Semuanya diletakkan dalam tahap kesiapsiagaan yang maksimum.

Mun Yee, naib juara dunia 2019 dalam laporan Bernama pada Isnin, 27 Januari 2020, berkata, “Gimnasium Sichuan tempat kami berlatih terpaksa ditutup daripada orang luar. Kami pun dilarang keluar.

“Setiap kali keluar bilik, kena pakai topeng mulut dan hidung. Setiap hari juga kami diperiksa suhu badan. Kem kami sentiasa berhubung dengan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Namun Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, atlet-atlet itu tidak akan dipanggil balik dan keputusan seterusnya hanya akan diambil sebaik sahaja mereka kembali ke tanah air untuk membaharui visa, bulan depan.

Mereka kini dalam persiapan menghadapi Piala Dunia dari 21 hingga 26 April 2020 di Tokyo, Jepun iaitu sebahagian program persediaan menjelang Sukan Olimpik di ibu kota Jepun itu, pada Julai 2020.

PANDELELA Rinong masih meneruskan latihan di Chengdu bagi menghadapi Terjun Piala Dunia, April ini. - Foto Facebook Pandelela Rinong


Turut terjejas ialah Kejohanan Kelayakan Tinju Olimpik Asia-Oceania yang dijadualkan dari 3 hingga 14 Februari 2020 di Wuhan, China - tempat virus maut itu mula-mula dikesan pada akhir Disember lalu.

Mujurlah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bertindak pantas dengan meminda tarikh dan venuenya ke 3 hingga 11 Mac 2020 di Amman, Jordan.

“Terima kasih kepada IOC kerana memindahkan venuenya dari Wuhan ke Amman. 

"Kita memang kena berikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan atlet-atlet,” kata Timbalan Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Mohd. Iruan Zulkifli dalam laporan Astro Arena, pada Isnin, 27 Januari 2020.

JEMIS Wong Lee Onn, harapan tunggal PTAM merebut tiket Olimpik Tokyo 2020.


Petinju Malaysia, Jemis Wong Lee Onn yang beraksi dalam kategori flyweight (52 kilogram) menjadi harapan tunggal PTAM untuk merebut tiket ke Olimpik Tokyo dalam kelayakan itu.

Kali terakhir Malaysia mempunyai petinju ke Olimpik ialah 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat iaitu Sapok Biki.

Pegawai tentera berdarah Iban kelahiran Simunjan, Sarawak ini tewas pada pusingan pertama light flyweight (bawah 48 kg), 15-4 mata kepada Jesus Martinez dari Mexico. - KitaReporters.com

 

 

 

2
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago