SEDEKAD lalu, hanya secebis kecil daripada peminat muzik yang mengenali Iqbal Othman. Ketika itu, industri muzik Malaysia masih basah dibadai gelombang muzik indie yang diterajui kugiran popular seperti Hujan, Meet Uncle Hussein dan Bunkface. Pastilah semangat Iqbal semakin membara untuk membikin muzik dan bergelar penyanyi. : KitaReporters.com
PENAMPILAN awal Iqbal sebagai penyanyi solo yang membuat persembahan bersama pemuzik iringan sekitar tahun 2010. - Foto kredit blog Tulang Belakang Iqbal
Percubaannya yang pertama dengan EP Tembak Tepat tidak begitu menjadi.
Dia hadir dalam scene, tetapi tak ramai yang perasan. Radio tak mainkan lagunya seperti radio mainkan Mencari Konklusi oleh Hujan atau Revolusi oleh Bunkface.
Namun ada yang istimewa pada lelaki ini. Ia terletak pada keunikannya ketika membuat persembahan dan ketelusannya ketika mengarang lagu.
Entah siapa yang beritahu, tetapi Iqbal bertahan dengan keistimewaan itu. Dia yang dari dahulu dikenali dengan nama pentas Iqbal M. mengubah jenama itu dari projek solo kepada kugiran.
Empat ahli yang diwakili setiap palang dalam huruf ‘M’ diserap masuk sebagai pemuzik. Johan di posisi gitar, Fei (gitar), Shah (bes) dan Aidil (dram).
Sedekad berlalu, Iqbal M. kini sudah menjadi nama besar. Peminatnya yang dikenal sebagai ModenRokes bertebaran di seluruh negara.
Setiap persembahan mereka memukau dengan karisma Iqbal yang tidak dapat ditemui dalam penyanyi lain.
Lagu-lagu mereka ‘tercangkuk’ dalam minda peminat, sering kali terngiang-ngiang dan petikan liriknya diciap dalam laman Twitter.
Dekad 2010-an ditutup dengan sangat manis apabila Iqbal M. menang besar dalam Tapau Awards 2019. Tiga pencalonan dan tiga kemenangan. Kemenangan sempurna!
REKA Album PSJKB karya Fry Yusuf yang memenangi anugerah Reka Album Terbaik di Tapau Awards 2019. - Foto kredit Facebook Iqbal M.
Melalui album Perasaan Sedih Jangan Kau Bimbang (PSJKB), Iqbal M. merangkul anugerah Reka Album Terbaik (hasil rekaan Fry Yusuf), Lagu Terbaik (Jangan Cakap Saja) dan Artis Terbaik.
Ketika menyampaikan ucapan, Iqbal menyorot kembali perjalanan seninya yang bermula dengan EP Tembak Tepat.
Kata beliau, lagu Jangan Cakap Saja ditulis setelah membaca pelbagai komen negatif warganet terhadap rakaman persembahannya di Youtube suatu ketika dulu.
“Ini adalah untuk semua orang yang dari dulu tak suka pada Iqbal M. Hari ini awak boleh pergi menangis dekat bucu katil,” katanya yang mengundang sorakan penonton.
Iqbal ketika menerima anugerah Artis Terbaik turut mengimbau lirik lagu Tembak Tepat yang dihasilkannya, dengan memetik:
Biar jatuh bidadari langit
Sujud kaki
Takkan gentar jiwaku ini
Kentallah kau jangan peduli
Mungkin belum sampai masanya
Aku berdiri, teriak sakan, terima pujian
Bila tarikhnya, aku tak pasti?
“Rupa-rupanya hari ini,” kata Iqbal.
Dalam kesempatan itu, Iqbal turut mencuri perhatian apabila mengemukakan hasratnya untuk menjual trofi yang dimenangi supaya wang hasil jualan itu boleh digunakan untuk membantu orang ramai yang dalam kesusahan. - KitaReporters.com