WABAK penyakit Koronavirus-019 atau Covid-19 yang menyerang sistem pernafasan ini mencetuskan rasa panik penduduk di seluruh dunia. Salah satu cara mencegah penyebaran virus Covid-19 ialah dengan rajin mencuci tangan menggunakan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer) agar tangan senantisa terbebas daripada kuman. : KitaReporters
Cecair hand sanitizer (pembersih tangan) diletakkan ke atas tangan-tangan tetamu yang hendak naik ke pentas sebelum dan selepas bersalaman dengan pengantin. - Kredit foto: IG @calvingunawan_mc
Kerana prihatinnya menjaga kebersihan tangan, sampai ada majlis perkahwinan mewajibkan tetamu undangannya menggunakan hand sanitizer sebelum dan selepas bersalaman dengan pengantin.
Satu majlis perkahwinan menjadi tular di Indonesia setelah seorang pemilik akaun Instagram bernama Calvin Gunawan memuat naik videonya dalam Instagram Story miliknya @calvingunawan_mc.
Ia memperlihatkan suasana di mana para tetamu undangan yang hendak bersalaman dengan pengantin dan keluarga, terlebih dahulu terpaksa menggunakan hand sanitizer agar tangannya bebas daripada kuman.
Calvin bekerja sebagai MC atau hos pada majlis perkahwinan pasangan Vinni Andrayni dan Renardi Andika.
Menurut Calvin, pihak perancang perkahwinan (wedding organizer) mencari jalan untuk membuat orang ramai yang hadir di majlis perkahwinan itu berasa selesa.
Lalu pihak perancang perkahwinan menyediakan sejumlah alat pembersih tangan dengan beberapa pekerja menyemburkan bahan pencuci itu sebelum naik ke pentas bagi bersalaman dengan pengantin dan keluarga mereka.
Majlis perkahwinan berlangsung pada Sabtu, 9 Mac 2020 di Jakarta Utara, Indonesia.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 pada Rabu, 11 Mac 2020.
Pesakit berupa wanita rakyat asing berusia 53 tahun dan menerima rawatan sejak tiga hari lalu, namun tiada maklumat perincian didedahkan berhubung mangsa yang meninggal dunia itu.
Sehingga Rabu, 11 Mac 2020, sebanyak 27 kes sudah disahkan dijangkiti Covid-19 di Indonesia.
Di Malaysia pula, pemilik akaun Facebook bernama Dk Zeemah Hamzah (https://www.facebook.com/dkzeema.phhamzah) juga memuat naik video yang sama berkenaan kaedah baharu untuk bersalaman bagi mengelak terkena virus Covid-19.
Dia menulis: "covid19 bukan 1 alasan untuk inda dtg jemputan kawin nya niniku😂 pastikan sja keadaan diri sehat walafiat dan pakai sanitizer lpas bejarah hehehe."
Sehingga Rabu, 11 Mac 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 149 kes telah disahkan positif Covid-19 dan tiada kematian yang dicatatkan.
Alhamdullilah, makin ramai mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan diri bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19, baik di Malaysia atau di Indonesia, serta tak lupa di Brunei.
Semoga majlis-majlis perkahwinan selepas ini berjalan lancar dan bebas wabak, serta para tetamu dan mempelai kekal sihat walafiat hendaknya. - KitaReporters