PENGACARA, pelakon, pelawak dan penulis skrip Bob Lokman, 55, kini terlantar di Hospital UiTM, Sungai Buloh, Selangor kerana mengalami penyakit lemah jantung dan kekurangan oksigen. : KitaReporters.com
Bob atau nama lengkapnya Mohd Hakim Lokman dimasukan ke hospital pada Ahad, 19 Januari 2020 oleh rakan-rakan pejabat Menteri Besar Terengganu setelah keadaannya membimbangkan ketika mengikuti program jerayawara (roadshow) minggu lalu.
Isteri Bob, Relawati Daud, 42, memberitahu MalaysiaKini, keadaan Bob yang menghidapi penyakit buah pinggang tambah membimbangkan apabila dia menerima kesan alahan selepas mengambil ubat.
“Kakinya membengkak, kering, bernanah hingga tumbuh bintik-bintik merah. Tapi selepas disapukan krim, tanda kemerah-merahan tu berkurangan,” katanya.
Keadaan kesihatan Bob semakin membimbang sejak 2013. Dan Bob terpaksa mengeluarkan lebih RM1,000 sebulan untuk 15 jenis ubat-ubatan.
Bagi kelangsungan hidup, Bob selama ini berniaga dengan bantuan isterinya dan anak sulungnya, Mohamad Adam yang meninggal dunia pada 5 Oktober 2018 akibat tumor otak.
Tetapi kerana kesihatan kurang baik menyebabkan kedai makanannya di Shah Alam terpaksa ditutup.
Perkahwinan Bob dan Relawati dikurniakan lapan cahaya mata iaitu Mohamad Adam, 27, (meninggal); Omar Hakim, 26; Ahmad Sufian, 25; Ahmad Rayyan, 14; Nur Amanee, 12; Luqmanulhakim, 11; Muhammad Danial, 8; dan Nur Amalin, 6.
Kegiatan seni Bob Lokman bermula sebagai penulis lirik. Sebanyak 40 buah lirik pernah dihasilkan kebanyakan oleh kumpulan terutama Search dan Wings.
Lirik lagu ‘Isabella’ Search mempopularkan dirinya sebagai penulis lirik yang disegani dengan gaya tersendiri.
Selain ‘Isabella’, Bob turut terkenal dengan sejumlah lagu lain.
Antaranya ‘Pada Syurga Di Wajahmu’ (Nash), ‘Taman Rashidah Utama’ (Wings), ‘Pusara Di Lebuh Raya’ (Ekamatra) dan ‘Memburu Rindu’ dan ‘Rendang Tak Berbuah’ (Hattan).
Bob Lokman kemudian memperkembangkan bakatnya dengan menjadi pelakon, pelawak dan pengacara. Ketika sihat Bob adalah seorang yang ceria. - KitaReporters.com