Santai 02 Jan, 2020

DAPAT RASAI APA YANG DILALUI MUSLIM UIGHUR

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
SEJUMLAH pelancong Malaysia ditahan setelah solat di sebuah masjid di Wilayah Xinjiang, China. Menurut mereka, pengalaman yang dilalui sangat menakutkan, sekali gus menyedihkan. : KitaReporters.com

Perjalanan pelancong Malaysia ke Xinjiang dan mencari masjid untuk solat. - Foto Facebook Khir Ariffin.

Ketua rombongan, Khir Ariffin, dalam tulisan bersiri dalam akaun Facebooknya, mengatakan dia lega, namun kecewa kerana hak beribadat dihalangi di Wilayah Xinjiang, China kepada penduduk majoriti Muslim Uighur di situ.

Lebih daripada  sejuta Muslim Uighur disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditahan di kem-kem rahsia, namun China menyebutnya sebagai kem pendidikan semula.

"Kami lega dibebaskan, namun kami juga kecewa kerana hak kami ditolak sebagai Muslim untuk solat di masjid," tulis Khir dalam akaun Facebooknya.

Khir mula menulis pengalamannya dalam satu siri tulisan sejak awal Disember 2019 lalu dan masih berlanjutan.

Terkini, siri tulisan itu dipetik oleh agensi berita antarabangsa, BBC.

Di Masjid Turpan, Xinjiang, inilah pelancong Malaysia. - Foto Facebook  Zikri Fuad.

Khir dan sejumlah pelancong termasuk wanita dari Malaysia, melawat wilayah China dalam perjalanan menuju ke Mekah, dengan jarak 16 000 kilometer dan melalui 10 negara.

Di China, perjalanan melintasi negara itu, melalui Yunnan yang bersempadan  dengan Asia Tenggara, dan meneruskan perjalanan menuju ke Xinjiang yang bersempadan dengan Asia Tengah, memerlukan 17 hari, tulis Khir.

Masjid yang mereka masuki di Xinjiang adalah "satu-satunya yang kami boleh masuk dan solat dengan aman," tulisnya.

"Inilah masjid yang tidak akan kami lupakan... ketika  kami memasuki masjid tiba-tiba cuaca mendung. Angin ribut berputar menerbangkan debu di sekeliling masjid.

"Ada satu perasaan yang sangat lain. Kami merasai perasaan yang sama ketika solat. Satu perasaan sayu (terharu) yang menyebabkan kami semua menitiskan air mata ketika solat bagaikan titisan air hujan dari celah bumbung yang usang," tulis Khir mengisahkan pengalaman solat di masjid Uighur itu.

Khir bersama rombongannya beberapa kali cuba untuk mencari masjid untuk solat di Xinjiang, namun gagal.

Mereka akhirnya dapat masuk ke sebuah masjid "tanpa halangan" kerana tidak ada polis di desa yang terletak di kampung di pelosok Gurun Gobi, tulisnya lagi.

Namun kegembiraan tidak lama kerana selesai solat mereka ditunggu oleh tentera bersenjata yang menanti di luar masjid.

Xinjiang seperti ‘penjara terbuka’... Sejumlah anggota tentera dan polis mendatangi pelancong Malaysia yang bersolat di sebuah masjid. - Foto Facebook Khir Ariffin


"Kelihatan seorang imam berusia yang lengkap berjubah sedang dimarahi oleh seorang petugas  yang sangat bengis," cerita Khir dan menambahkan bahawa imam tersebut berupaya menjelaskan bahawa mereka hanya solat di masjid tersebut.

Pemandu pelancong mereka selama 17 hari, Andy, kata Khir berusaha meyakinkan petugas bahawa mereka hanya beribadat.

Tetapi mereka akhirnya dibawa ke lokasi yang tidak diketahui. 

Mereka mengaku dibawa oleh petugas bersenjata serta polis, dan mereka terkejut melihat tempat yang ‘dikelilingi pagar di tengah-tengah desa terpencil dengan anggota tentera dan polis menanti kedatangan mereka.

Mereka ditahan di dalam "ruangan yang dikunci dan menyerupai penjara" sementara pemandu pelancong  mereka, Andy, bercakap dengan para petugas China.

Mereka akhirnya dibebaskan setelah beberapa jam kemudian.

Khir  mengatakan mereka akhirnya menyedari bahawa mereka diikuti sepanjang perjalanan mereka di China oleh para petugas yang menyamar sebagai ‘tukang cuci, orang biasa, dan pemilik kedai’.

"Kami terus diikuti dan diawasi," tulisnya.

Ratusan kincir angin terdapat di Xinjiang. China. - Foto Facebook Zikri Fuad


Kerana China membatasi akses ke Xinjiang, media kesulitan memperoleh informasi mahupun konfirmasi bebas dari wilayah tersebut.

Para pegawai negara itu kebelakangan ini mengatakan kerajaan tidak menghalang sesiapa pun yang ingin mengetahui keadaan di sana.

Wartawan kanan BBC China, Jinxi Cao mengatakan masalah Xinjiang sangat sensitif dengan Beijing kerana menghadapi tekanan antarabangsa berkaitan isu Muslim Uighur.

"Merupakan perkara yang biasa bagi pelancong atau pendatang diikuti dalam perjalanan mereka di Xinjiang khususnya pelancong dari negara-negara dengan penduduk Muslim dan juga pelancong Barat," jelas Jinxi.

"Ibaratnya seperti penjara terbuka, pendatang diikuti secara fizikal. Ada yang di depan atau ada yang di belakang, dan alat eletronik pula disekat.

"Isu Uighur sangat sensitif sekarang ini, dengan adanya kem untuk yang disebut oleh kerajaan China sebagai pusat pembelajaran semula,  namun dari sisi lain, mereka ingin memberikan kesan seolah-olah  semuanya baik-baik saja," tambah Jinxi.

Dia menduga para pelancong Malaysia dibebaskan kerana kerajaan China tidak mahu insiden ini menjadi besar, terlebih lagi ada seorang wartawan dalam rombongan pelancong Malaysia ini.

Seorang pelancong Malaysia bersama warga Uighur di Xinjiang. - Foto Facebook Zikri Fuad.


Beli petrol di Xinjiang perlu menunjukkan kad pengenalan penduduk. - Foto Facebook Zikri Fuad.


Ogos lalu, panel Hak Asasi Manusia PBB (HAM PBB) mengatakan mereka menerima banyak laporan yang dapat dipercayai bahawa sejuta etnik Uighur China ditahan di ‘kem rahsia".

Negara-negara Barat mengecam langkah China dalam memperlakukan Muslim Uighur, sementara sejumlah bintang sukan turut mengecam termasuk pemain Arsenal Mesut Ozil.

Khir mengatakan "Allah mengizinkan kami melihat seperti apa pengalaman orang Uighur sehingga dapat kami sebarkan.

"Pemandu pelancong yang awalnya curiga terhadap kami, tetapi akhirnya menjadi ‘pahlawan’ kepada kami semua pula."

Masjid Shadian di Yunnan yang bersempadan dengan Asia Tenggara, Myanmar, Laos dan Vietnam. - Foto Facebook Khir Ariffin.

Pelancong Malaysia bergambar kenangan di Masjid Shadian. - Foto Facebook Khir Ariffin

Dalam perjalanan melintas China, termasuk berkunjung ke masjid di Yunnan, Khir mengatakan melihat perubahan sikap daripada pemandu pelancong Andy yang mulanya kelihatan dingin dan curiga kepada mereka. 

Andy tidak banyak bercakap dan kelihatan dingin, katanya. 

Namun selama perjalanan mereka membiarkan pemandu pelancong itu melihat apa yang mereka lakukan termasuk ketika masuk masjid dan solat.

"Selesai kami solat Andy kelihatan sangat tenang dan terharu. Dia kata, selama ini dia sangat benci kepada orang Islam. Ketika dia saksikan kami solat dia kata dia rasa sangat tenang. 

"Dia juga meminta maaf sebab bersikap dingin dan salah anggap terhadap kami," cerita Khir, yang juga bercerita tentang Islam kepada Andy.

"Ini menjadikan Andy lebih percaya terhadap kami dan orang Islam," tambahnya.

"Setelah itu Andy bagaikan pahlawan kami. Kami saksikan bahwa Andy mempertahankan kami ketika kami ditangkap. 

"Jika bukan kerana Andy berunding dengan baik dan meyakinkan tentera dan polis, mungkin kami masih ditahan," kata Khir lagi.


Perjalanan rombongan Malaysia ke Makkah ditempuh melalui darat, termasuk singgah  di China. Foto: Fb Khir Ariffin"


Khir juga mengatakan semua anggota rombongan  ‘tidak panik’ dan ‘tetap tenang’  ketika ditangkap. 

"Saya memberi isyarat tutup mulut kepada rombongan, biar Andy yang menjadi jurucakap dan mengendalikan situasi. Kami menghindari saling berbincang...berupaya tenang, tersenyum agar tidak terjadi provokasi.

"Lama kami berada di dalam ruang tertutup seperti penjara itu sambil menanti Andy berunding dengan pihak berwajib.

"Sesekali kedengaran Andy meninggikan suara seolah berjuang mempertahankan kami. Sesekali diam yang panjang dengan reaksi menahan geram dan kemarahan bila tentera berbicara dengan nada tinggi dan kasar," tambahnya lagi.

Setelah berjam-jam menunggu, seorang pegawai yang memperkenalkan diri sebagai polis memasuki ruangan tertutup dan meminta maaf kepada rombongan warga Malaysia.

Si pemandu, Andy, berkali-kali minta maaf dan menyesal atas apa yang terjadi, kata Khir.

"Mereka tidak selayaknya memperlakukan itu terhadap anda semua," jelas Khir memetik kata-kata Andy.

Rombongan Malaysia menginap di sebuah hotel di China dalam perjalanan menuju Mekah. - Foto Facebook Khir Ariffin

Secara keseluruhan, kata Khir, selama perjalanan ini, warga China menyambut baik mereka tanpa menanyakan asal negara atau agama mereka.

Khir Ariffin mengatakan "Allah mengizinkan kami melihat seperti apa pengalaman orang Uighur sehingga dapat kami bagikan." - KitaReporters.com

0
0
1
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago