Santai 15 Dec, 2019

[VIDEO] MAAFKAN SAYA!! HUSNI AKUI DIRI SILAP

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

“SAYA akui kesilapan. Saya yang (terlalu) mengikut emosi. Satu pengajaran yang mematangkan saya,” kata Wan Mohd Husni Abdullah. : KitaReporters.com

WAN Mohd. Husni Abdullah, Presiden Pestans dan Ahli Majlis PSM.



Tiga rangkap ayat ini mengungkapkan penyesalan Wan Mohd.Husni Abdullah gara-gara ‘terlajak lakunya’ dalam perlawanan antara regu lelaki sepak takraw Sukan SEA Filipina pada  8 Disember lalu.

Husni yang ketika itu pengurus pasukan wanita negara kini digantung sementara menunggu dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang dijangka bermesyuarat pada bulan depan atau Februari.

Tindakan Husni melaungkan makian terhadap pengadil Filipina, Roy B. Fabay dari tempat duduk penonton Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon itu sudah pun mengakibatkannya dilarang berada bersama regu wanita negara bagi baki dua aksi pada 9 Disember.  

Regu wanita negara meraih pingat gangsa selepas menewaskan tuan rumah 21-14, 20-22, 21-12, namun tewas kepada Vietnam 15-21,14-21 dalam kedua-dua perlawanan itu dan dibenam oleh Thailand 12-21, 7-21, sehari sebelumnya.

WAN Mohd. Husni Abdullah (kiri) bersama regu wanita negara, pemenang pingat gangsa antara regu Sukan SEA Filipina 2019.


Namun dia didapati terus mendekati Fabay secara agresif selepas regu lelaki negara ditewaskan oleh Thailand 12-21, 19-21 selain cuba mempersoalkan mengapa pengadil itu membatalkan rejaman dan tampanan apit kanan, Afifuddin Razali pada kedudukan 18-19 dan 19-20.

Tindak-tanduk Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) dalam insiden itu juga diperincikan dalam laporan yang diserahkan oleh Pengadil Rasmi Sepak Takraw Sukan SEA 2019, Shamsul Kahar Lob dari Singapura.

Dia dikatakan melanggar Peraturan 16.4.2, 17.1, 17.2 dan 17.3 Undang-undang Permainan Sepak Takraw yang mengaitkannya sebagai telah mencetuskan gangguan terhadap pertandingan dan wajar digantung serta-merta sehingga satu keputusan diambil oleh Jawatankuasa Tatatertib Astaf.


“Anda kini diberikan 14 hari dari tarikh notis pertuduhan ini dikeluarkan, untuk menyerahkan kenyataan pembelaan diri. 

"Kegagalan menjawabnya dalam tempoh itu akan dianggap Jawatankuasa Tatatertib Astaf sebagai mengesahkan anda telah bertanggungjawab.

“Sekiranya terbukti bersalah, anda boleh dikenakan hukuman seperti amaran atau teguran, penggantungan (tempohnya akan ditentukan), didenda, digantung (daripada kegiatan sepak takraw) seumur hidup atau gabungan  hukuman tersebut,” kata Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat dalam notis pertuduhan itu.

Pegawai dari Thailand ini juga merupakan Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Husni yang juga Ahli Majlis Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), turut mengakui tindakannya itu berlaku secara spontan, tetapi menegaskan tiada kena-mengena dengan sesiapa atau mendapat arahan tertentu mana-mana pihak.

“Apa yang dilakukan di Subic itu ialah tindakan saya sendiri, tiada kena-mengena dengan sesiapa. 

"Saya kenalah akui kesilapan saya itu dan sudah pasti saya akan jawab surat pertuduhan Astaf itu dalam masa 14 hari.

“Yang pasti (peristiwa itu) mematangkan saya, (namun masih) tidak akan mematahkan semangat saya (untuk kembali) dalam arena pengurusan pasukan sepak takraw,” katanya.


Namun penggantungan sementara Astaf sebelum dibicarakan ini turut melarangnya daripada terlibat dengan sebuah pasukan dalam sebuah liga antarabangsa anjuran PSM dan stesen TV swasta di Nusajaya, Johor pada 22 hingga 28 Disember ini.

Turut diundang beraksi ialah kelab Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Singapura dan Filipina serta China.

“Pasukan kami akan tetap bermain, tiada masalah. Bukan sebab saya seorang, orang lain tidak boleh jalankan tugas pengurus pasukan itu,” jelasnya yang juga pengurus pasukan berkenaan.

Skuad Abd.Talib Ahmad yang membariskan Hairul Hazizi Haidzir/Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi(tekong), Azlan Alias/Afifuddin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) sekadar mengucup dua perak Sukan SEA (antara regu dan regu berpasukan).

Si Gajah Putih yang menampilkan tonggaknya seperti Sittipong Khamchan/Kritsanapong Nontakote, Pornchai Kaokaew/Anuwat Chaichana dan Pattarapong Yupadee, membolot kedua-dua emas acara sepak takraw itu setelah memilih untuk mengorbankan penyertaan acara gelung dan beregu berpasukan.

Dua tahun lalu, Istaf pernah menggantung dan mendenda Talib, penolongnya dan pengurus pasukan serta enam pemain negara yang terlibat memulaukan baki perlawanan akhir Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand 2016 di Bangkok.

Mirip insiden Subic, mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan seorang pengadil Vietnam yang membatalkan rejaman Azlan dan tampanan Syahir Rosdi dalam set pertama perlawanan regu pertama, menentang Sittipong, Anuwat dan Assadin Wongyota. - KitaReporters.com

 

 

0
0
0
2
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago