Santai 28 Dec, 2019

FUYOH! PAPA SWEET, MAMA SADO TAWAN PUNCAK

@samadi ahmad
Experience as a Independent Journalist for 20 year, covering various aspect of the news including politics, business, crimes and specializing in Media Events.

Share this

USIA bukan menjadi penghalang untuk bergiat aktif dalam bidang sukan termasuk aktiviti lasak yang memerlukan banyak tenaga dan kecergasan diri. : KitaReporters.com


Bagaimanapun, seorang lelaki dan wanita berusia separuh abad yang meminati hobi sukan lasak telah membuktikan berada pada usia hampir warga emas bukan menjadi penghalang atau melemahkan semangat mereka.

Meminati hobi yang  sama, lelaki bertubuh sederhana, Muhammad Sulhan Ghazali, 50, dan wanita  kecil molek, Dr Lily Kuan, 51, yang  lincah dan aktif dalam sukan mendaki ini mengakui untuk kekal bertenaga, memerlukan disiplin diri yang tinggi terutama berkaitan faktor pemakanan harian.

Mempunyai beberapa persamaan tentang kehidupan, kedua-dua mereka  yang berkerjaya  sendiri  berjaya mencipta kejayaan tersendiri dengan melakukan banyak pendakian gunung  di dalam dan luar negara.

Antara pencapaian terbesar dilakukan oleh bapa dan ibu tunggal ini adalah melakukan Ekspedisi Mera Peak, Nepal (6,461 meter dari aras laut) secara berpasangan pada Oktober lalu yang  turut disertai   Pengurus Peak Journey, yang juga  pendaki Everest 2016, Mohd Azim Afif Ishak.

BERJAYA.... Dr Lily Kuan (atas), Muhammad Sulhan Ghazali (tengah) berjaya melakukan Ekspedisi Mera Peak, Nepal (6,461meter dari aras laut) secara berpasangan pada Oktober 2019 lalu dengan bimbingan Pengurus Peak Journey, yang juga  pendaki Everest 2016, Mohd Azim Afif Ishak (depan).


Dilahirkan di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, Muhammad Sulhan berkata, aktiviti mendaki itu pada asalnya diceburinya secara suka-suka untuk menjaga kesihatan, tapi lama kelamaan menimbulkan keseronokan untuk mencabar ketahanan diri.

Muhammad Sulhan berkata, aktiviti mendaki itu diceburi kira-kira 10 tahun lalu. Semasa kecil, beliau pernah menyertai pasukan pengakap sekolah yang banyak melakukan aktiviti lasak dan perkemahan.

Beliau yang juga bekas pelajar Kolej  Melayu Kuala Kangsar (MCKK), erak dan University of Notre Dame, England menyatakan semasa di kampung beliau sering membuat khemah di belakang rumah  menggunakan guni bersama rakan.

Katanya, aktiviti mendaki itu umpama sebati dengan dirinya kerana ia banyak mengajar keupayaan diri, bersikap sabar, tolak ansur dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

MUHAMMAD Sulhan Ghazali ketika menyertai  Ekspedisi Mera Peak, Nepal


Menceritakan pengalamannya, Muhammad Sulhan berkata, selain mencari kepuasan dengan mendaki bersama rakan, beliau dan  peserta lain turut melakukan program khidmat masyarakat di atas gunung dengan membersihkan kawasan tersebut. 

Bapa kepada anak kembar berumur 14 dan 16 tahun ini berkata, walaupun meletihkan, dia berasa puas apabila tiba di puncak dan perasaan itu sentiasa menguatkan semangatnya untuk terus aktif dalam aktiviti pendakian.

Beliau yang juga bekas jurutera di beberapa buah syarikat cari gali minyak terkemuka berkata, pada kebiasaannya dia melakukan aktiviti kecergasan seperti menunggang basikal, berjalan dan berjoging  selepas tamat waktu bekerja bagi membina stamina.

“Bagi memastikan badan sentiasa sihat, saya turut melakukan beberapa pendakian di dalam negara seperti Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung  Gayong, Gunung Yong Belar,  Gunung Yong Yap, Gunung  Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung  Kinabalu, Gunung Trusmadi dan Gunung  Tambuyukon.

"Saya juga pernah mengadakan beberapa pendakian di beberapa gunung di Indonesia yang dianggap sebagai  mencabar kerana mempunyai trek yang curam seperti  Gunung Kerinchi, Gunung   Rinjani, Gunung Raung, Gunung Semeru, Gunung  Arjuna dan Gunung  Weleirang."

"Aktiviti lasak yang disertai itu bukan saja bermanfaat untuk diri, malah ia memberikan keseronokan dan kepuasan yang tidak dapat digambarkan," katanya.

DR Lily Kuan dengan gaya tersendiri meraikan kejayaan menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal (6,461 meter dari aras laut) pada Oktober 2019 lalu.


Bagi Lily Kuan, sekali pandang mungkin ramai yang tidak menyangka wanita bertubuh kecil molek yang lincah dan aktif ini sudah pun menjangkau ke usia separuh abad.

Kala wanita seusianya sudah mula berehat dan didatangi pelbagai penyakit akibat faktor usia dan tidak lagi mementingkan aspek penjagaan diri, anak kelahiran Kajang, Selangor ini masih aktif dan memilih menjadi sebaliknya.

Ibu tunggal kepada dua cahayamata ini mengakui untuk kekal cantik dan bertenaga, memerlukan disiplin diri yang tinggi terutama berkaitan faktor pemakanan harian.

Bekas graduan fakulti pergigian Universiti Malaya (UM) ini berkata, beliau sering  mengamalkan diet sihat dan tidur yang cukup untuk kekal sihat.

Beliau yang  mengusahakan klinik gigi di ibukota berkata, ia adalah rutin wajib dirinya dan percaya faktor tidur yang cukup dan pemakanan perlu dijaga sebaik mungkin kerana ia mempengaruhi kecantikan dan kesihatan diri seseorang.

Menurut beliau, bagi mengekalkan kecantikan dan kecergasan diri, dia aktif melakukan aktiviti  berbasikal dengan berulang-alik setiap hari ke klinik dan pada waktu terluang.

Katanya, dia amat meminati aktiviti mendaki  sejak berusia 17 tahun dan pencapaian terbaiknya adalah pada Oktober lalu melalui Ekspedisi Mera Peak, Nepal yang diadakan bersama Muhammad Sulhan.

AKTIF pada usia tua bukan menjadi halangan untuk menyertai  aktiviti mendaki kepada  Dr Lily Kuan (kanan) dan Muhammad Sulhan Ghazali (kiri).


"Saya mula melakukan aktiviti ini dengan mendaki Gunung Nuang, Gunung Tahan, Gunung Kinabalu, Gunung Pinnacle, Gunung Jerai, Bukit Tabur, Gunung Nuang,Gunung  Datuk, Gunung Irau dan Frasers Hill bersama rakan pada hujung minggu, di samping  menguruskan dua orang anak sebagai ibu tunggal.   

“Aktiviti ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan semangat serta ketahanan fizikal serta mental, dan setakat ini, telah berjaya mendaki beberapa gunung di luar negara seperti Gunung Huashan dan Rainbow  di China dan Humantay di Peru.

“Walaupun aktiviti ini sangat meletihkan, namun satu nikmat yang tidak dapat dibayangkan dirasai setiap kali  tiba di puncak dan dalam masa sama, saya berpeluang menikmati keindahan alam.

“Pada usia sebegini, saya tidak boleh mengambil ringan aspek penjagaan diri kerana jika semuanya diambil mudah, banyak risiko kesihatan sedia menanti bila-bila masa."

Jelasnya, dia percaya apa yang dilakukannya itu mampu memberi manfaat kepada dirinya dan akan terus aktif selagi diberi kekuatan. - KitaReporters.com

DR Lily Kuan (kiri) dan Muhammad Sulhan Ghazali (dua dari kanan) ketika menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal.


.

Muhammad Sulhan Ghazali (tengah), Dr Lily Kuan (berdiri, kanan) dan Pengurus Peak Journey yang juga  pendaki Everest 2016, Mohd Azim Afif Ishak (duduk) ketika menyertai Ekspedisi Mera Peak, Nepal.

 

8
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago