Santai 14 Feb, 2020

MEMORI PAWAGAM FEDERAL, FILEM HINDUSTAN

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this
MELINTASI pawagam Federal di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, mengembalikan nostalgia kenangan lama di penghujung tahun 1970-an dan awal tahun 80-an. Pawagam tersebut menjadi ‘teman setia’ yang sentiasa penulis kunjungi pada setiap tengah malam Sabtu atau pagi Ahad. : KitaReporters.com

PAWAGAM Federal dahulu dalam bentuk asal.


Setiap malam Sabtu pukul 11 malam ketika ramai sudah diulit mimpi atau bersedia untuk beradu, penulis yang ketika itu masih bujang, menaiki motosikal kapcai tua memecah kesunyian malam dari rumah sewa di Kampung Baru menuju ke pawagam Federal. Jaraknya lebih kurang  satu kilometer.

Kenapa pawagam Federal? 

Kerana setiap malam Sabtu, pawagam Federal mengadakan tayangan tengah malam (midnight show) filem-filem Hindi.   

Sebagai peminat filem Hindi sejak sekolah menengah, kolej dan setelah bekerja, penulis tidak mahu ketinggalan menyaksikan tayangan ini yang menampilkan filem-filem terbaharu dari Bollywood, sebelum tayangan umum kemudian.  

PAWAGAM Federal yang telah diubah suai menjadi cineplex di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.


Pada malam Sabtu itu, pawagam Federal akan dibanjiri oleh peminat-peminat filem Hindi. Ramai daripada mereka sampai ke pawagam awal untuk bersantai atau membeli tiket.

Pawagam Federal, berhampiran kawasan Chow Kit, pada masa itu ialah sebuah pawagam besar yang boleh memuatkan ratusan orang, sebelum diubah suai menjadi Cineplex seperti sekarang.

Ketika itu harga tiket ialah 80 sen untuk kelas tiga, RM1.25 sen untuk kelas dua dan RM1.60 untuk kelas pertama. Bagi kelas ‘reserve’ atau ‘circle seats’ pula harga tiketnya iala RM2.40 sen dan terletak di tingkat atas pawagam.

RAJESH KHANNA dan Tanuja membintangi filem blockbuster 'Haathi Mere Saathi'.


Kerana sambutan hebat terhadap tayangan tengah malam ini, tiket cepat habis. Mereka yang datang dan berharap untuk membeli tiket pada malam itu juga biasanya akan hampa.

Kebanyakan tiket sudah dibeli secara ‘borong’ oleh ulat-ulat tiket yang kemudiannya menjualnya dengan harga lebih mahal.  

Mereka yang ingin menonton tiada pilihan lain terpaksa membeli. Jika tidak, pulanglah dengan kecewa.

Untuk mengelakkan situasi ini, penulis membeli tiket secara tempahan awal atau ‘advanced booking’  pada siang hari sebelum tayangan tengah malam. 

Orang tidak ramai dan boleh memilih tempat duduk yang dikehendaki.

Bagi mereka yang gagal menyaksikan tayangan tengah malam ini, boleh datang keesokan pagi. Ini kerana filem tayangan tengah malam ini akan ditayangkan pada pertunjukan pagi atau ‘morning show’. 

Namun keadaan tetap sama. Jika lewat tidak akan mendapat tiket.

JEETENDRA dan Asha Parekh bintang utama 'Caravan'.


Pada era itu, antara bintang-bintang Hindi popular ialah Amitab Bachchan, Shammi Kapoor, Shashi Kapoor, Jeetendra, Rajendra Kumar, Rajesh Khanna, Vinod Khanna, Asha Parekh, Sharmila Tagore, Mumtaz, Tanjua, Rekha, Leena Chandavarkar dan Zeenat Aman. 

Shammi Kapoor,  Shashi Kapoor, Rajendra Kumar, Rajesh Khanna dan dan Vinod Khanna sudah tiada lagi di dunia ini.

Antara filem yang penulis tonton pada tayangan tengah malam ialah filem blockbuster ‘Haathi Mere Saathi’ (Rajesh Khanna-Tanuja);  ‘Patanga’ (Shashi Kapoor-Vimi); ‘Aap Aye Bahar Aye’ (Rajendra Kumar-Sadhana);  Muqaddar Ka Sikandar’ (Amitab Bachan-Rekha); ‘Caravan' (Jeetendra-Asha Parekh) dan banyak lagi.

LEENA CHANDAVARKAR, aktres jelita yang popular pada tahun 80-an.


AMITABH BACHCHAN bersama Rekha dalam 'Muqaddar Ka Sikandar'.


ZEENAT AMAN, pelakon dan bekas ratu cantik.


Bertentangan dengan pawagam Federal, lebih kurang 25 meter jaraknya ialah pawagam Capitol

Pawagam ini juga menayangkan filem tengah malam. Tetapi filem-filem yang ditayangkan ialah filem Mandarin dari Hong Kong.

Ketika itu adalah era pelakon hebat seperti David Chiang, Ti Lung, Wang Yu, Lo Lei serta aktres seperti Betty Ting Pei and Lily Ho. 

Inilah barisan bintang yang menguasai layar Perak Hong Kong pada era tersebut.

PAWAGAM Capitol di Jalan Raja Laut yang banyak menayangkan filem Mandarin kini sudah tidak beroperasi.


Penulis jarang menyaksikan filem Mandarin. 

Namun pernah seorang kawan mengajak menonton filem ‘One Armed Swordman’, sebuah filem pertarungan dibintangi David Chiang.  Filem-filem berbentuk begini memang banyak ketika itu kerana disukai pemonton.

Apabila Bruce Lee muncul mendominasi filem-filem Hong Kong, sinarnya menelan sinar bintang-bintang lain. Selepas ketiadaannya, Jackie Chan pula mengambil alih menjadi bintang ternama.

BETTY TING PEI.


DAVID CHIANG.


LILY HO


Untuk rekod, selain di pawagam Federal, filem-filem Hindi juga ditayangkan di pawagam Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman.   

Selain itu, pawagam Coliseum juga menayangkan filem-filem Melayu dan Indonesia serta Tamil.

Filem Hindi juga di tayangkan di pawagam Lido di Brickfileds serta pawagam Central dan pawagam Hindustan di Jalan Campbell. 

Ketiga-tiga pawagam ini sudah lama menyembah bumi digantikan dengan bangunan-bangunan komersial.

Pawagam Federal masih berdiri sehingga kini walau pun sudah berubah daripada bentuk asal. Namun tiada lagi tayangan tengah malam filem Hindi seperti dahulu. 

Penulis sendiri sudah lama tidak memasuki pawagam ini.

Namun begitu kenangan lalu masih segar sehingga kini sebagai memori indah dalam diari kehidupan. 

Apabila melewati pawagam Federal, segala kenangan indah ini kembali mengusik hati. Kenangan masa remaja ini tetap tersimpan dalam lipatan hati. - KitaReporters.com

4
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago