Santai 06 Mar, 2020

MASUK LOBANG JEPANG, DOA TAK "BERJODOH"

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

LOBANG Jepang (Lubang Jepun) Bukittinggi di Sumatera Barat, Indonesia ialah terowong bawah tanah tempat tentera Jepun berlindung, menyimpan peralatan senjata perang, memenjara tahanan dan memotong mayat. Di dalamnya juga terdapat sebuah kubur massa (kubur beramai-ramai). Ada beran nak masuk tak? : KitaReporters

Berkumpul di pintu masuk Lobang Jepang dikelilingi tembok batu yang ditumbuhi lumut menghijau.


Kalau difikirkan fungsi dan sejarah tempat itu, memang cuak untuk masuk. 

Namun dengan suasananya yang kelam seperti di dalam gua misteri, tidak menghalang keinginan ramai untuk melawat. 

Kedatangan kami bersama Roni Fernando, pemandu pelancong, disambut oleh Benny Sati di pintu masuk Lobang Jepang. 

Menurut Benny, usah takut pada siang hari, tidak ada hantu. Hanya malam terkadang nampak entiti misteri, itu pun kalau "berjodoh" (kebetulan). 

Ditanya, adakah kejadian yang boleh memberi peringatan kepada pengunjung? 

Daripada penerangan Roni, ada beberapa peraturan untuk masuk ke tempat itu seperti juga ketika hendak masuk hutan dan memanjat gunung, jagalah adab, jangan celupar dan berbuat maksiat.

"Dalam terowong, tidak boleh cakap besar, mencela atau melakukan perbuatan melanggar agama," ujar Roni. 

Dengan kata lain, 'jagalah mulut' dan kelakuan. Juga, dilarang masuk waktu solat Jumaat untuk mengelak gangguan misteri seperti kerasukan. 

Tiada siapa mahukan pengalaman buruk, bak kata orang tua-tua, "Selisih malaikat 44!" Bagi mengelak risiko itu, patuhi saja pantang larangnya.

Benny memberi penerangan mengenai pembahagian ruang dan bilik di dalam terowong Lobang Jepang.


Pada mulanya kami singgah untuk bergambar di luar sahaja, namun didesak oleh Benny dan Roni supaya masuk.

"Bapa ibu mesti lihat suasana di dalam. Rugi kalau datang tak masuk, di bawah sana dingin semula jadi," ujar Benny memancing minat kami supaya terus melangkah ke dalam. 

Benny menerangkan pelan dalam terowong meliputi pintu masuk, ruang senjata, pintu pelarian, berek askar Jepun, ruang sidang, ruang makan, penjara, dapur, pintu penyergapan, pintu keluar dan pintu penghubung, seperti tertera pada rajah.

Rel pengadang keselamatan membahagi laluan tangga yang menuju ke dasar terowong.


Menjenguk lorong tangga, terasa cuak. Sedikit cabaran bagi yang berumur lanjut. Ada 132 anak tangga!

Sewaktu turun, saya teliti melangkah sambil berpaut kuat kepada pemegang besi. 

Lubangnya luas, kami berjalan bebas secara berkumpulan. Masuk beramai ditemani pemandu yang telah biasa dengan tempat itu, tidaklah terasa takut.

Berkedudukan di Jalan Panorama , Kayu Kubu, Kecamatan Guguk Panjang, Kota Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia, Lobang Jepang tidak jauh dari Jam Gadang, mengambil masa sekitar 15 minit sahaja berjalan kaki. Dibangunkan untuk tujuan pertahanan tentera penjajah Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua, Lobang Jepang dibina atas perintah Markas Besar Divisi ke-25 Angkatan Darat Jepun. 

Dinamakan ruang dapur tetapi sebenarnya ini adalah tempat membunuh, memotong dan membuang mayat mangsa melalui lubang kecil di tepi lantai.


Jepun menjajah Indonesia dari 1942 hingga 1945. Kawasan tebing Ngarai Sianok dipilih lokasi pertahanan. Dari situlah bermulanya pembangunan Lubang Jepang. 

Ia berada 40 m di bawah permukaan tanah, dengan ukuran lebar 2 meter dan panjang 1,470 m (1.5 km). Namun demi keselamatan hanya 750 m dibuka kepada pengunjung. 

Di kiri adalah salah satu simpang di dalam terowong Lobang Jepang, yang di dalamnya bersuasana kelam seperti gua.


Ibarat `tugu` kezaliman tentera Jepun, rakyat dijadikan buruh paksa, ramai maut sewaktu dikerah bekerja. 

Mereka bekerja siang dan malam, menggunakan alatan tradisional seperti cangkul dan pahat.  

"Ramai mati kerana kerja tanpa rehat dan tidak cukup makan. Kejam sungguh!" Getus Benny sambil menambah, pembangunan terowong itu tidak membabitkan penduduk asal Bukittingi, sebaliknya menggunakan pekerja kerahan tenaga dari wilayah lain seperti Jawa, Sulawesi dan Kalimantan, sementara orang Bukittinggi dihantar bekerja di wilayan lain, agar mereka tidak senang lari di tempat asing.

Salah satu lubang yang berfungsi sebagai penjara, pada muka pintunya dipasangkan jeriji besi.


Akhir sekali kami dibawa ke ruang terkebelakang merangkumi penjara, kubur massa dan dapur, yang saling berdekatan. 

"Nama sahaja dapur tetapi sebenarnya tempat potong mayat. Mangsa yang maut, dipotong kecil dan dibuang keluar melalui lubang kecil di sini dan hanyut ke Sungai Ngarai Sihanouk," lanjut Benny. 

Sengaja mayat dikerat putus, supaya mudah dialirkan ke luar, tidak mudah tersangkut serta tidak akan dikenali.

Benny kemudian menunjukkan lubang rahsia di siling, tempat tentera Jepun mengintai pergerakan orang di luar. "Sesiapa didapati melewati kawasan ini, akan ditangkap, dibawa masuk ke dalam (terowong) dan dibunuh, mengelak rahsia tempat itu terbongkar. 

Tidak terkira banyaknya kematian, tidak hairanlah banyak rangka manusia dijumpai dalam terowong. 

Pada 1946, banyak senjata ditemui dan himpunan senjata itu kini ada disimpan di Muzium Perjuangan, jelas Benny. 

Tempat simpanan senjata di lubang itu kini dinamakan Ruang Amunisi (Senjata).

Melalui satu lubang kecil, tentera Jepun yang berkawal mengintai orang asing yang lalu lalang di luar.


Kalau diperhatikan, dinding lubang terowong berlekuk-lekuk, sengaja dibuat begitu untuk fungsi kalis bunyi dan mengelak gema. 

Dengan itu teriakan mangsa yang diseksa di dalam, tidak akan kedengaran di luar. Kini di dalam terowong kosong semata. Yang nampak hanyalah laluan bersimpang dan berangkai.

Terowong agak luas, membolehkan kami berjalan secara berkumpulan.


Satu yang menarik, terowong Lobang Jepang itu sangat kukuh lagi padu. Tanah batuannya sangat keras, tidak terjejas dek air, andai basah, batuan semakin menguat. 

Hebatnya, ia dapat dikorek menggunakan tenaga empat kerat buruh, hanya dengan bantuan peralatan tradisional.

Dibuka pada 1994, Lubang Jepang menampung 500 hingga 1,000 pelawat di ruang 1.5 km yang dibuka kepada umum, dan mengambil masa kira-kira 20 minit berjalan.

Salah satu laluan terowong Lobang Jepang


Dikatakan salah satu lubang terpanjang di Asia mencapai lebih daripada 6 kilometer dan sesetengahnya tembus ke kawasan Ngarai Sianok, Jam Gadang berhampiran Istana Bung Hatta dan Benteng Fort De Kock. 

Ketika ditemui sekitar 1950, pintu Lobang Jepang hanya 20 cm dengan kedalaman 64 m. 

Hasil penyelenggaran pada 1984, pintu masuk lebih sempurna dan selesa dilalui.

Lubang pertama dikorek, kini menjadi laluan keluar. Di ambang atasnya dipasangkan sengkuap.


"Bagaimana kalau terjadi sesuatu tidak diingini, selamatkah di dalam ini?" 

Menurut Benny, terowong itu sudah diuji tahap kekuatannya. Difahamkan binaannya mampu menahan getaran letusan bom lebih 500 kg.  

Justeru Lubang Jepang yang berdaftar sebagai Cagar Budaya (Warisan Budaya), dalam SK Walikota Bukittingi No 2, tahun 2012 ini disahkan selamat. - KitaReporters

Masuk menerusi laluan lain dan keluar ikut laluan lain. Bergambar di depan pintu keluar Lobang Jepang. 

3
0
0
0
1
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago