Santai 08 Feb, 2020

NILAI TAJAAN LIGA M MUSIM 2020-22? CUBA TEKA

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

KALAU dulu pernah mencapai sehingga RM60 juta setahun atau berjumlah RM480 juta bagi tempoh penajaan dari 2018 hingga 2025. Sebaliknya kali ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Telekom Malaysia (TM) lebih gemar memilih untuk ‘bermain teka-teki’ dan membiarkan angkanya terus bertanda tanya bagi musim 2020 hingga 2022. : KitaReporters.com

AB. Ghani Hassan (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian penajaan Liga M 2020-2022 dengan Moharmustaqeem Mohammed. Kanan ialah Hamidin Mohd. Amin. - Foto MFL 


Namun kepada 24 pasukan Liga Super dan Perdana musim 2020, nilai penajaan TM menerusi anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) dikatakan sudah pun diberitahu tetapi tidak untuk dikongsikan dengan media dan umum.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan turut enggan mengesahkan sama ada nilainya mencecah RM30 juta setahun sambil memberikan alasan mahu menghormati persetujuan mereka dengan TM.

“Tiada komen (nilai penajaan TM bagi Liga M),” katanya yang sebaliknya yakin bahawa nilainya mampu diagihkan dengan adil bukan sahaja kepada semua rakan kongsi (pasukan-pasukan bertanding) bahkan membabitkan pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.  

TM mengumumkan kerjasama rasmi dengan MFL sebagai penaja Liga Malaysia yang meliputi Liga Super, Piala FA, Liga Perdana dan Piala Cabaran, Piala Malaysia serta Piala Sumbangsih pada majlis menandatangani perjanjian penajaan di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur pada Jumaat, 7 Januari 2020.

Siaran media MFL hari ini turut menyebut, kerjasama ini meliputi hak penyiaran eksklusif dan hak aliran mudah alih serta dalam talian yang melibatkan kesemua pertandingan itu menerusi platform UniFi TV.

“Perjanjian penajaan selama tiga tahun ini menjadi bukti kepada usaha berterusan TM dalam membangunkan sukan bola sepak tempatan yang akan meningkatkan prestijnya di Malaysia,” kata siaran media itu.

AB. Ghani Hassan (tiga dari kanan) dan Moharmustaqeem Mohammed (tiga dari kiri) menandatangani MOU penajaan Liga M 2020-2022 di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur pada 7 Januari 2020. - Foto MFL


Perjanjian itu ditandatangani antara Ghani bagi pihak MFL dan TMM yang diwakili CEO TMM, Moharmustaqeem Mohammed. Hadir menyaksikannya ialah Presiden MFL yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Kata Moharmustaqeem, “kami teruja untuk menghidupkan semula kerjasama dengan MFL, sekali gus memastikan TM sebagai penaja acara bola sepak yang paling berterusan di seluruh Asia Tenggara. 

“Suatu kebanggaan bagi TM kerana dapat membangunkan dan membawa perubahan dalam arena bola sepak tempatan. 

"Kami juga mahu membawakan saat-saat menarik perlawanan bola sepak kepada seluruh rakyat Malaysia. 

“Para peminat bola sepak kini boleh menikmati perlawanan Liga Malaysia dan menonton pasukan kegemaran mereka beraksi dalam setiap perlawanan yang akan dialirkan secara langsung menerusi rakan siaran, UniFi TV dan boleh diakses menerusi UniFi PlayTV,” katanya.

HAMIDIN (dua dari kanan): TM menjadi jenama yang menyatukan rakyat Malaysia dalam bola sepak tempatan. - Foto MFL


TM dan MFL pernah bekerjasama dalam perjanjian penajaan Liga M selama lapan tahun yang ditandatangani pada Januari 2018, namun tiba-tiba ditamatkan pada Mac 2019 sehingga timbul tuntutan saman oleh badan pengurus liga yang dilantik FAM itu sebelum ditarik balik Oktober lalu. 

Menerusi penajaan ‘babak baharu TM-MFL’ ini juga, para peminat boleh menikmati perlawanan Liga M menerusi tablet dan peranti digital mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Ini merupakan satu inisiatif yang sejajar visi TM untuk memudahkan kehidupan rakyat Malaysia serta melonjakkan Malaysia ke arah negara digital selain menyatukan para peminat bola sepak tempatan melalui pelan Internet UniFi Home, UniFi Mobile dan Wifi@UniFi.

“Setiap perlawanan kini boleh ditonton melalui perkhidmatan pengaliran UniFi TV dan UniFi PlayTV yang boleh didapati dalam Apple AppStore dan Google Play Store,” kata siaran media itu. 

Hamidin pula mengulas, “MFL sangat berbesar hati dengan kerjasama ini dan keyakinan TM terhadap dunia sukan bola sepak Malaysia.

“Kini Liga Malaysia dapat memainkan peranan sebagai pemacu kemajuan komersial dan pemangkin penyatuan rakyat. Komitmen jangka panjang TM ini turut mencerminkan nilai dan potensi yang dimiliki Liga Malaysia.

“TM sentiasa menjadi penyokong setia bola sepak Malaysia dan MFL amat berterima kasih kepada TM kerana menjadi jenama yang menyatukan seluruh warganegara Malaysia untuk bersama-sama menyokong pasukan kegemaran mereka,” katanya. 

BARISAN pegawai kanan TM dan MFL serta wakil rakan kongsi Liga Malaysia menunjukkan isyarat bagus. - Foto MFL 


Melalui perkhidmatan penyiaran video Live TV, UniFi TV, TM akan menyediakan siaran langsung setiap perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia serta perlawanan terpilih Piala FA yang bermula 28 Februari 2020. 

Tarikh itu ialah sepak mula Liga M 2020 menerusi perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah antara penyandangnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru. 

“Sebanyak lima saluran sukan UniFi disediakan (UniFi 701-705) akan menyiarkan setiap perlawanan. Semua rakyat Malaysia sama ada pelanggan UniFi atau tidak, boleh menikmatinya jika memiliki Pek Ultimate. 

“Bagi pelanggan UniFi tanpa Pek Ultimate pula boleh memilih pas tontonan Liga Malaysia melalui Media Box atau UniFi PlayTV app dengan kadar bayaran - 

  • Pas Perlawanan Individu RM3; 
  • Pas Bulanan RM15; 
  • Pas Musim Liga Super/Pas Musim Piala FA RM100; 
  • Pas Musim Piala Malaysia RM50 dan 
  • Pas VVIP Pasukan Malaysia RM120,” kata siaran itu. - KitaReporters.com

0
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago