SATU kebetulan yang pasti kurang disenangi! Sama ada bagi Kedah atau Pahang apabila diundi bertemu sesama sendiri seawal pusingan kedua bola sepak Piala FA 2020 lagi. : KitaReporters.com
CARTA undian pusingan kedua Piala FA 2020 selepas majlis cabutannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 24 Februari 2020. - Foto MFL
Majlis undian saingan kalah singkir kebangsaan di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin, 24 Februari 2020, sebaliknya menyaksikan laluan mudah buat naib juara musim lalu.
Perak sudah tentu tersenyum lebar kerana hanya akan menanti satu daripada 12 pasukan amatur yang lolos ke pusingan ini, KT Rovers bertandang ke Ipoh dalam perlawanan antara 17 atau 18 Mac 2020.
Pahang disekat Perak secara agregat 4-3 dalam kebangkitan luar biasa separuh akhir 2019, namun Bos Gaurus kecundang dengan jaringan tunggal pemain Kedah, Fadzrul Daniel dalam masa tambahan final di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menariknya itulah babak kemuncak kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang pertama kalinya diadili pengadil import, Takuto Okabe dari Jepun.
Juara trebel musim lalu termasuk Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula mungkin cuma perlu berharapkan barisan simpanan apabila berdepan satu lagi pendatang baharu amatur, KL Rovers di venue lawan.
BARISAN pegawai jawatankuasa pertandingan FAM dan MFL bergambar di samping Piala FA yang terus diburu 32 pasukan Liga Super, Perdana dan amatur M3 dan M4. - Foto MFL
Perlu diingat bahawa menurut Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM dan badan pengurus Liga M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), keempat-empat pasukan pengumpan atau simpanan (feeder/reserve team) tidak dibenarkan menyertai Piala FA mahupun Piala Malaysia.
Justeru tiada penyokong setia yang wajar terkejut sekiranya mendapati ke mana menghilangnya JDT II, Perak II (PKNP FC 2019), Terengganu FC II dan Selangor 2 (PKNS FC 2019).
Elemen kejutan yang memungkinkan gergasi ternama ditumbangkan si kerdil sentiasa menanti dan mampu mewarnai saingan Piala FA yang bagi musim ketiga berturut-turut ditaja oleh Shoppe, jenama portal beli-belah dalam talian.
WAKIL pasukan yang bertanding dalam pusingan kedua Piala FA bergambar kenangan dengan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd. Amin (lapan dari kanan), Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi (tujuh dari kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan (tujuh dari kanan). - Foto MFL
Dua United turut bertembung.
Felda United menanti bekas pasukan Liga M3, Kelantan United, manakala dua pasukan berlainan darjat - Sabah yang baru menyertai Liga Super, mengalu-alukan Kuala Lumpur dari Liga Perdana, sementara Melaka bakal disaingi Langkawi City FC.
Sekali imbas, seperti tiada yang menarik mengenai pertembungan juara lima kali, Selangor dan Sarawak United. Namun kepada peminat setia bola sepak tanah air, Sarawak United merupakan penjenamaan semula dari Selangor United yang tidak pula bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam tiga penampilannya sejak 2017.
Memetik kata bekas kapten Red Giants yang kali terakhir turut menyarung jersi Harimau Malaya tiga tahun lalu, Mohd. Amri Yahyah selepas khidmatnya tidak lagi disambung oleh FAS dari musim lalu dan kini menyertai Sarawak United.
“Saya belum mahu bersara lagi dan saya nak ingatkan, pasukan baharu yang saya sertai ini, Selangor tidak akan menang dengannya,” kata anak jati Tanjung Karang berusia 39 tahun ini.
BEKAS ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal menayangkan kertas undian bertanda nama Pahang yang terpaksa berjumpa juara bertahan Piala FA lebih awal dalam pusingan kedua, Kedah. - Foto MFL
Lain-lain ialah pertembungan pasukan sedarjat Liga Perdana, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sementara Melaka dengan Langkawi City FC, Markless ST menentang Armed Forces FC, PJ City FC berdepan Imigresen FC dan Kuatagh FC melayani KSR Sains.
Turut beraksi ialah NLFC-Mahsa melawan PDRM, UiTM FC melawan Kuching FA, Sarawak melawan Terengganu FC, SSFC melawan UKM FC dan Kelantan melawan Protap FC. - KitaReporters.com
NORTHERN Lions FC-Mahsa (kanan) menewaskan Harini KS FC 1-0 dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Universiti Putra Malaysia, Serdang, pada 22 Februari 2020 untuk mara ke pusingan kedua bertemu lawan lebih berpengalaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac 2020. - Foto MFL
JUARA-JUARA LALU PIALA FA
- Selangor, Kedah (lima kali)
- Pahang, Kuala Lumpur (tiga kali)
- Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan (dua kali)
- Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, JDT, Johor, LionsXII (sekali)