Santai 31 Jan, 2020

KENAPA SUKAN PARA ASEAN TIADA TAKRAW??

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BOCCIA, goalball, bola sepak, bola tampar duduk, bola keranjang malah tenis berkerusi roda ada tetapi bagaimana dengan sepak takraw? Alangkah bagusnya jika sukan warisan tradisi Malaysia ini turut sebaris sukan-sukan di atas dan menjadi sebahagian daripada program Sukan Para ASEAN Kesembilan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu?: KitaReporters.com

ALIAS Ibrahim, 56, mahir menyalurkan umpanan tepat untuk rejaman mata regunya dalam Felda Wilayah Terengganu, di sebalik tangan kanannya yang kudung.


Sudah sembilan edisi temasya serantau dwitahunan untuk golongan atlet orang kurang upaya (OKU) ini dilangsungkan dan bakal memasuki yang ke-10 apabila Filipina menjadi tuan rumahnya pada Mac 2020.

Sepak takraw memasuki Sukan SEA/SEAP sejak 1965 di Kuala Lumpur sedangkan masih tiada badan induk pentadbirnya sama ada kebangsaan atau antarabangsa yang tergerak hati untuk melobi lalu menyelitkannya ke Sukan Para ASEAN.

Rasa terkilan ini dialami seorang pemain sepak takraw OKU dari Terengganu, Alias Ibrahim, 56, yang menceburi sukan ini sejak 1985 selepas tangan kanannya terpaksa dipotong dari atas siku kerana kemalangan di kilang memproses buah kelapa sawit.

Anak jati Kampung Temala Hilir, Ajil ini berusia 21 tahun ketika itu, namun dalam keadaan kekurangan fizikal itu, hatinya tetap cekal untuk bermain sepak takraw seperti  mana orang normal sehingga mengukir beberapa kejayaan sekitar Terengganu.

ALIAS (kanan) meraikan kejayaan Felda Wilayah Terengganu meraih pingat emas sepak takraw Sukan Felda Malaysia (Sufma) 2016 di Serdang.


“Saya main macam-macam kejohanan tertutup dan terbuka di Terengganu sebagai apit kiri atau pengumpan sampai terpilih mewakili Belia 4B Terengganu dalam Karnival Sukan Merdeka Gerakan Belia 4B Malaysia 2002 ketika berusia 38 tahun.

“Tiga tahun kemudian, saya mewakili dan membantu Wilayah Temerloh menjuarai Kejohanan Sepak Raga Bulatan antara wilayah Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) seluruh Malaysia,” katanya.

Langkah kerani Kilang Sawit Felda Kerteh ini semakin kencang dan menyerlah apabila Wilayah Temerloh yang dianggotainya, bergelar juara Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan Antara Wilayah Felda Malaysia 2006.

“Regu pertama pasukan kami kalah tetapi kedudukan mata diikat 1-1 oleh regu kedua dan saya yang main regu ketiga, meraih kemenangan 2-1 menerusi set penentuan. 

"Pengurus pasukan kami menganggap sayalah pemain terbaik, sekalipun penganjur tidak menyediakan anugerah khasnya,” katanya.

Ujarnya, “walaupun dalam kurang upaya begini, keadaan ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus aktif dengan sepak takraw. Saya buang jauh-jauh sikap malu dan rendah diri malah berazam untuk membuktikan kemampuan saya kepada orang sekeliling.”

Detik hitam 4 Mei 1984 masih terpahat pada ingatan Alias.

Ceritanya, “tangan kanan saya termasuk ke dalam mesin memproses buah sawit di kilang Felda Neram yang beroperasi tanpa henti, 24 jam dan buah sawit pula tengah banyak. Selepas kejadian 3.30 pagi, saya terus dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.  

“Doktor kata, tangan saya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong melebihi paras siku. Sebulan kemudian, saya berpindah tempat kerja dari bahagian operasi ke pejabat sebelum dinaikkan pangkat sebagai kerani di Kerteh pada 1985 sehingga mengambil VSS, dua tahun lalu,” katanya.

“Saya juga berasa cukup bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan karib,” kata suami kepada Kuntun Ali, 52.

Pasangan ini mempunyai lima anak yang berusia antara 16 hingga 29 tahun (Afiq Farhan, Rabiatul Adawiyah, Hafizatul Amirah, Hafizatul Aisyah dan Muhammad Amirul Hafizi).

ALIAS (kanan) bersama-sama rakan-rakan seperjuangan sepak takrawnya yang sentiasa memberikan galakan dan rangsangan.


Turut mewakili Felda Wilayah Terengganu, Alias membantu pasukannya muncul juara sepak takraw Sukan Felda Malaysia (Sufma) 2008 di negerinya dan 2016 di Serdang, Selangor selain dua pingat perak 2012 (Gua Musang) dan 2015 (Kuantan) serta gangsa 2017 (Trolak).

“Di Terengganu saya hanya pemain simpanan tetapi yang paling dikenang ialah sebagai pemenang emas 2016 apabila regu ketiga kami menewaskan Wilayah Segamat, Johor 2-1 dalam perlawanan akhir (15-12, 15-3), (15-8, 15-5) dan (15-11, 15-11),” katanya.

Peminat setia apit kiri negara yang meraih emas Sukan Asia 2018 dan Sukan SEA 2015 serta 2017, Farhan Adam ini, bergandingan dengan tekong, Kamarul Azhar dan apit kanan atau pelibas, Mohd. Anuar Mohd. Nor yang memastikan kejuaraan milik Wilayah Terengganu.

BAPA kepada lima anak ini turut menumpahkan ilmu dan pengalaman sepak takrawnya kepada sebuah sekolah menengah sehingga muncul juara peringkat Zon Dungun.


Terselit juga satu peristiwa yang boleh dianggap melucukan dalam karier sepak takraw Alias. 

“Perlawanan antara regu itu terheret sehingga sejam setengah. Sengit kami bertarung dalam kiraan 15 mata hingga pecah kasut perejam regu saya dan terpaksa berganti baharu.”

Alias yang turut mampu bermain sukan lain seperti bola sepak, badminton, ping pong dan karom, sudah menamatkan perkhidmatannya dengan mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) dengan Felda, kini menetap di Gugusan Felda Kerteh, Ketengah Jaya, Dungun. - KitaReporters.com

ALIAS menunjukkan isyarat bagus di samping koleksi piala dan pingat yang pernah dimenanginya.


Pencapaian lain :

  • Jurulatih sukarela pelajar sekolah menengah pada Sukan Sekolah-sekolah (juara peringkat Zon, mewakili Dungun dan memenangi tempat ketiga peringkat Daerah)
  • Juara Sukan Antara Kilang Felda (Kerteh) 1988
  • Naib juara Sukan Antara Kilang Sawit Felda 1989
  • Juara Liga Sukan Untuk Semua Daerah Dungun 1997
  • Juara Kejohanan Pemuda PAS Felda Kerteh 2002/03
  • Juara Kejohanan Jemputan 4B Padang Kemunting, Kemaman, Terengganu
  • Naib juara Kejohanan Ulang Tahun Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) 2005

 

1
2
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago