KUALA Berang Waterfront di Bandar Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, yang merupakan lokasi beriadah, kini bertukar menjadi 'port' baharu merakam gambar setelah kawasan sekitar dipenuhi tumbuhan bunga lalang. Difahamkan, 'kehadiran' bunga pokok lalang atau nama saintifiknya Imperata cylindrica lebih seminggu lalu, namun beberapa hari ini kian menjadi tumpuan setelah ia tular dalam media sosial. : KitaReporters
Tinjauan penulis ke lokasi mendapati sebelah petang menyajikan pemandangan lebih menarik bagi diabadikan kenangan bergambar kerana orang ramai juga berpeluang melihat matahari terbenam di sebalik bukit-bukau.
Pelbagai aksi dan 'pose' orang ramai sewaktu bergambar dan rata-rata individu yang datang bukan sahaja dari Bandar Kuala Berang tetapi juga daripada pelbagai kampung di Hulu Terengganu serta daerah berdekatan.
Nampaknya bunga lalang di Kuala Berang menjadi port terbaru OOTD (outfit of the day), bagi merakam gambar OOTD pada hari itu digabungkan dengan lokasi yang menarik.
Seorang pengunjung, Fatihah Othman, 30, berkata dia tidak lepaskan peluang berkunjung ke kawasan itu selepas cerita pemandangan menarik bunga lalang itu tular dalam media sosial.
"Apabila dapat tahu fenomena bunga lalang ini, tentunya saya tidak mahu ketinggalan untuk turut datang abadikan gambar di sini, lagipun pemandangan begini bukannya selalu berlaku.
"Rugi rasanya kalau tidak ambil peluang ini. Sebelum ini lihat di tempat orang sahaja seperti di Kedah sekarang ini ada di daerah sendiri pula. Lokasi pula tidak berada jauh daripada rumah.
"Melihat gambar menarik yang tular dalam kumpulan WhatsApp beberapa hari lalu, saya terus berhasrat untuk datang ke sini.
"Dapat melihat sendiri ternyata pemandangan benar-benar cantik," katanya.
Bagi Zahani Ismail, 40-an, dari Kampung Tanjung Baru, meskipun bagi segelintir individu pemandangan bunga lalang begitu adalah sesuatu yang biasa namun baginya ia fenomena menarik.
"Bunga lalang begini tentunya ada juga di tempat-tempat lain tetapi di Kuala Berang Waterfront ini dirasakan begitu cantik, ditambah pula terletak di tepi sungai.
"Jika cuaca baik boleh lihat matahari terbenam, dapat rakam gambar lebih menarik di kawasan bunga lalang ini.
"Fenomena ini sekejap sahaja, rugi kalau tidak ambil peluang masa yang ada ini," katanya.
Sementara itu, untuk info pokok lalang adalah tumbuhan liar yang senang tumbuh di cuaca Malaysia tanpa ada penjagaan rapi dan dianggap sebagai rumpai air.
Nama lain bagi tumbuhan ini ialah pokok keladan dan ia turut berperanan di dalam kitaran kehidupan tumbuhan dengan antara peranannya menghalang tanah dari terus terhakis terutamanya ketika musim hujan. - KitaReporters