BAGI peminat aktiviti mendaki di Terengganu tentunya bukit seperti Harimau Menangis, Tawang, Batu Kapal, Maras, Jong, Bauk, Temiang atau Bukit Besar bukanlah lokasi asing bagi mereka. Lokasi 'hiking' berkenaan pastinya menjanjikan sebuah pengalaman riadah serta pemandangan yang menarik untuk diabadikan lensa kamera sebagai kenangan. : KitaReporters
Maliaman Kassim yang turut sertai pendakian mengabadikan kenangan bergambar dengan memegang bendera Negeri Terengganu di Bukit Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu.
Kini, kaki-kaki 'hiking' di negeri Sang Penyu khususnya mempunyai satu lagi pilihan bagi melempiaskan minat mereka iaitu di Bukit Ajil yang terletak di Kampung Baru Ajil dalam daerah Hulu Terengganu.
Bukit berketinggian kira-kira 292 meter dari paras laut ini begitu berpotensi dimajukan sebagai lokasi agro 'hiking' memandangkan trek laluan ke kemuncak terletak di kawasan kebun penduduk.
Persekitaran tersebut bukan sekadar memberikan daya tarikan tersendiri tetapi juga sebagai satu nilai tambah terutamanya sewaktu musim buah-buahan.
Mengorak langkah awal ke arah usaha mempopularkan lagi Bukit Ajil sebagai lokasi hiking, Lajnah NGO Dun Ajil dan Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) Daerah Hulu Terengganu berkolaborasi anjurkan Program Khabat Bukit Ajil pada 11 Mac 2020.
Program disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliman Kassim itu dimeriahkan penglibatan hampir 80 pendaki termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung serta persatuan dan kelab berkaitan rekreasi hiking.
Maliaman berkata Bukit Ajil berpotensi dikomersialkan sebagai lokasi hiking, sekali gus memperkenalkan lagi Pekan Ajil yang kini kian rancak dengan fasa pembangunan.
"Aktiviti hiking bukan sekadar menjadi medium senaman tetapi juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.
"Adab dan keselamatan diri antara perkara-perkara yang perlu diberikan keutamaan atau perhatian oleh setiap peserta yang menyertai aktiviti mendaki," katanya.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap pendaki yang berjaya sampai ke puncak Bukit Ajil sempena Program Khabat Bukit Ajil pada 11 Mac 2020.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Mendaki, Rekreasi dan Kecergasan Hulu Terengganu, Raziei Md Rahim berkata Bukit Ajil punyai potensi untuk dikomersialkan sebagai lokasi hiking yang bersesuaian bagi semua peringkat usia.
"Trek sesuai untuk mereka yang mungkin baharu berjinak-jinak dalam dunia 'hiking'.
"Bukit Ajil juga mungkin berbeza dengan kebanyakan bukit di daerah ini kerana sebahagian laluan berada di kawasan kebun penduduk.
"Tentunya memberikan daya tarikan tersendiri apabila tibanya musim buah-buahan nanti kerana selain dapat melihat panorama alam serta pembangunan Bandar Baharu Pekan Ajil, pendaki juga boleh nikmati buah-buahan tempatan.
"Kelak ia dapat menjana pendapatan para pekebun dan apabila Bukit Ajil ini dikomersialkan lagi, sosioekonomi penduduk setempat juga mampu dirancakkan lagi," ujarnya. - KitaReporters
Para pendaki sempena Program Khabat Bukit Ajil tidak ketinggalan bergambar kenangan.