AGENSI yang membawa ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat mengerjakan umrah, mengesahkan ahli perniagaan itu sudah dibawa keluar dari Tanah Suci Mekah dan kini berada di Madinah. : KitaReporters.com
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat (bertelekung, tengah) ketika mengerjakan umrah di hadapan Kaabah. - Kredit foto Twitter Nur Sajat
Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan terbabit selepas ia menjadi kontroversi dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
“Mereka kini dibawa untuk sesi lawatan di sekitar Madinah.
“Setakat ini, sukar untuk mendapat kerjasama Nur Sajat, sebaliknya perbincangan lebih banyak menerusi pembantu peribadinya,” kata jurucakap itu dalam satu laporan online.
Albayt Travel turut meminta Nur Sajat membuat permohonan maaf secara terbuka khususnya kepada umat Islam di tanah air, susulan kekecohan dan kecaman terhadap video yang dimuat naiknya dalam media sosial, baru-baru ini.
“Setakat ini, Nur Sajat hanya menjawab meminta tunggu sehingga dia kembali ke tanah air.
“Pihak kami terutama mutawwif cuba berhubung dengan ibu bapanya, kerana hanya keluarga terdekat yang mengetahui status jantinanya.
“Bagaimanapun, ibu bapa Nur Sajat juga agak sukar diajak berbincang,” katanya.
Jurucakap Albayt Travel turut memaklumkan, dakwaan kononnya Nur Sajat ditangkap oleh polis Arab Saudi belum disahkan oleh pejabat kedutaan di Madinah.
Terdahulu pada Isnin, 3 Februari 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof melahirkan rasa kesal akan tindakan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 35, yang telah menukar perawakan menjadi wanita ketika mengerjakan umrah di Mekah.
Media sosialnya terutama Twitter dan Instagram dihujani dengan sejumlah pandangan orang ramai yang mengecam akan tindakannya.
Antara dokumen dan gambar Nur Sajat, yang tertera nama penuhnya, yang diuruskan oleh Albayt Travel bagi tujuan melakukan umrah di Arab Saudi.
Rombongan umrah itu terdiri sembilan orang iaitu tujuh dewasa dan dua kanak-kanak serta seorang mutawwif dari 28 Januari 2020 hingga 7 Februari 2020 dengan menggunakan visa melancong.
Menurut agensi itu, mereka memberitahu pelanggan urusan pengurusan dan prosedur umrah terpaksa dilakukan agak berlainan kerana identiti Nur Sajat sebagai ‘transgender’.
Dalam kenyataannya, Albayt Travel meminta Nur Sajat dan rombongan umrah tidak menghebahkan.
Namun Nur Sajat melanggar nasihat itu dengan menyiarkan gambar dan video dalam media sosial Twitter dan Instagramnya.
Wajah Nur Sajat bertelekung dalam Instagramnya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada media pada 28 Disember 2018, Nur Sajat menyatakan namanya ialah Nur Sajat, bukan Muhammad Sajjad.
“Nama saya bukan Muhammad Sajjad, nama penuh saya ialah Sajat Kamaruzzaman,” katanya.
"Nama saya dalam kad pengenalan ialah S-A-J-A-T Kamaruzaman. Tak ada 'Muhammad'," tambahnya.
Tidak lama kemudian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akhirnya tampil membuat pendedahan mengenai isu identiti usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.
Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, ia dibuat susulan kenyataan Sajat mengenai identiti sebenarnya.
Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi Jakim mengakui dimaklumkan bahawa identiti usahawan itu sebagai khunsa, iaitu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin.
“Ya betul, ibu bapa Sajat telah bersumpah bahawa Sajat adalah khunsa,” kata Mohd Izwan pada 15 Februari 2018.
Sajat dilaporkan mendedahkan identiti sebenar dirinya kepada Jakim, dalam pertemuan pertama beliau dan kedua-dua ibu bapanya dengan Mohd Izwan di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, 16 Januari 2018.
Bagaimanapun Mohd Izwan menegaskan, pengakuan atau sumpah tetap memerlukan pengesahan pihak berautoriti dari sudut perubatan. - KitaReporters.com
Antara tulisan Nur Sajat dalam laman media sosialnya