LIGA Super Inter Club Football League (ICFL) 2019 diadakan bertujuan mencungkil dan mengetengahkan bakat terutama pemain di luar bandar, di samping mencorakkan dan menjadi penentu hala tuju bakat muda negara. : KitaReporters.com
PASUKAN TSS-AAB menampilkan pemain berpotensi dalam pertanding Piala Super Inter Club Football League (ICFL) 2019.
Pasukan TSS-AAB muncul juara ulung Piala Super Inter Club Football League (ICFL) 2019 selepas menundukkan Petaling Utama FC 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini (22/12/2019).
Kejayaan itu membolehkan TSS-AAB membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM10,000 berserta piala kejohanan, sekali gus mengecewakan Petaling Utama yang berpuas hati dengan RM5,000.
Hadiah pertandingan akhir itutelah disampaikan Timbalan Presiden ICFL, Ahmad Zazley Mat Nasir.
PASUKAN TSS-AAB muncul juara ulung Piala Super Inter Club Football League (ICFL) 2019.
Dalam perlawanan akhir itu, TSS-AAB menguasai hampir keseluruhan permainan dan berpeluang mendapat jaringan awal pada minit ke-23 bagi membolehkan pasukan itu menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, permainan berlangsung agak seimbang dengan asakan jentera serangan Petaling Utama FC bijak dipatahkan oleh barisan benteng pertahanan TSS-AAB
Pada minit ke-50, Shamsul sekali kali berjaya menjaringkan gol kedua bagi memastikan Petaling Utama berputih mata pada pertandingan ulung berprestij itu.
Sehingga wisel penamat ditiup, TSS-AAB kekal dengan jaringan 2-0 dan pulang ceria selaku juara edisi pertama Piala Super ICFL 2019.
Ketua Jurulatih TSS-AAB, Amri Husin berkata, taktikal 4-2-3-1 yang meletakkan Shamsul selaku penyerang tunggal berjaya pada hari ini dan dilaksanakan dengan baik oleh pasukan.
“Kita guna 4-2-3-1... Alhamdulillah, Shamsul dengan bantuan rakan sepasukan berjaya jalankan tugas dengan baik. Setiap arahan mereka dengar dan buat diatas padang,” katanya.
Selain berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir, Shamsul juga dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan dan membawa pulang piala dan wang tunai RM500.
Tempat ketiga Piala Super ICFL 2019 dimenangi Gombak FA yang menang 2-1 ke atas KB Bintang Gombak di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Ahmad Zazley berkata, kejohanan bermula pada September lalu itu bertujuan memberi peluang kepada pemain muda negara untuk mengetengahkan bakat mereka dalam bidang bola sepak. Menurut beliau, sebelum ini sebanyak 32 pasukan sudah melalui peringkat kelayakan dan hanya 16 berpeluang bermain di Liga Super Bawah 14 ICFL.
Katanya, antara pasukan yang menyertai liga itu terdiri dari Gombak FC, Armada Belia Pandan, Panther FC dan beberapa lagi pasukan akademi serta kelab bola sepak terkemuka.
"Penganjuran ICFL 2019 itu juga menyasarkan untuk menyediakan pemain bola sepak berkualiti untuk negara pada masa hadapan.
"Kejohanan membabitkan pemain berusia 14 tahun itu diadakan bagi memberi peluang kepada bakat-bakat muda menonjolkan potensi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.
"ICFL menyasarkan pembabitan pasukan terbaik, sebab itu kami adakan pusingan kelayakan dan hanya pasukan dengan pemain terbaik sahaja beraksi pada pusingan akhir," katanya. - KitaReporters.com
PASUKAN TSS-AAB muncul juara ulung Piala Super Inter Club Football League (ICFL) 2019 selepas menundukkan Petaling Utama FC 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 22 Disember 2019.