CUTI sekolah! Sudah pasti itu detik yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak untuk berehat setelah melalui jadual padat sepanjang musim persekolahan. : KitaReporters.com
Jangan lepaskan peluang untuk minum petang bersama Barbie jika berkunjung ke taman tema terkenal, Sunway Lost World of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak.
Pada waktu ini, pelbagai agenda dirangka si anak dalam memastikan cuti persekolahan mereka diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan, sekali gus meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Oleh itu, sempena cuti panjang hujung tahun ini, ibu bapa tidak perlu runsing memikirkan lokasi terbaik untuk berseronok kerana Sunway Lost World of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak membawa kelainan yang begitu mengujakan untuk anda sekeluarga.
Taman tema terkenal itu bakal mengejutkan para pengunjungnya apabila membawa ikon kegilaan kanak-kanak perempuan iaitu Barbie selain mainan kereta popular, Hot Wheels sepanjang musim cuti persekolahan ini.
Pengunjung cilik tidak melepaskan peluang bermain dengan karakter Barbie pada pelancaran kempen 'Awesome Holidays, Time To Play' di Lost World of Tambun di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengurus Besar Sunway LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azhari berkata, pihaknya amat teruja dapat bekerjasama dengan dua jenama mainan paling ikonik di dunia ini untuk menghiburkan para pengunjung LWOT.
"Seperti kita maklum, Barbie dan Hot Wheels ini mempunyai peminat setia mereka tersendiri bukan sahaja kanak-kanak bahkan orang dewasa pun turut sama.
"Jadi, sempena cuti sekolah yang panjang pada hujung tahun ini, LWOT dengan sukacitanya membawakan kedua-dua ikon ini bagi kempen 'Awesome Holidays, Time To Play'.
"Kami amat bertuah kerana ia merupakan kerjasama pertama Barbie dan Hot Wheels dengan taman tema," katanya.
Tambah Nurul Nuzairi, kolaborasi berkenaan akan berlangsung di LWOT bermula pada 23 November hingga 31 Disember depan.
"Tahun ini syarikat pengeluar Barbie iaitu Mattel mengumumkan Jelajah Barbie 'You Can Be Anything' sempena 60 tahun ia memberikan inspirasi tanpa batasan kepada setiap gadis.
"Sepanjang kempen ini juga, LWOT akan menyediakan lokasi untuk para pengunjung bermain dengan imiginasi masing-masing dan berdandan untuk menjadi pelbagai karakter selain berpeluang mengambil gambar di rumah impian kerjaya Barbie, di samping minum petang bersama Barbie," katanya.
Karakter patung Barbie yang bakal menghiburkan pengunjung sepanjang musim cuti persekolahan di Sunway Lost World of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak.
Menurutnya lagi, para pengunjung turut dihidangkan dengan cabaran baru iaitu perlumbaan untuk kanak-kanak di trek yang disediakan setiap hari selain berpeluang memenangi hadiah premium dari Hot Wheels.
Pengunjung boleh mendapat akses ke acara ekslusif ini pada harga RM77 dan berpeluang mendapat 4,000 barangan premium untuk pengunjung yang membeli tiga tiket dan ke atas bagi setiap transaksi.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web sunwaylostworldoftambun.com. - KitaReporters.com