ANDA minat nombor plat eksklusif?? Kini anda bernasib baik dan berpeluang. Tapi kena cepat, takut-takut terlepas. Dapatkan segera plat eksklusif UUM. : KitaReporters.com
Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani (kiri sekali) melancarkan bidaan plat eksklusif UUM pada 16 Februari 2020.
Alumni, staf, pelajar dan orang ramai boleh membuat bidaan plat eksklusif secara dalam talian mulai Ahad, 16 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, Universiti Utara Malaysia (UUM) membuka bidaan plat itu sempena Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-36 di Dewan Mu’adzam Shah (DMAS), Sintok, Kedah pada Ahad, 16 Februari 2020.
Beliau yang ditemui berkata, matlamat inisiatif ini ialah untuk memberi peluang kepada semua pihak sama ada staf, alumni, orang awam dan penduduk Kedah amnya dalam menzahirkan kebersamaan dengan universiti yang terdapat di Lembah Sintok dahulunya kini menjadi lembah ilmu.
Dr Ahmad Bashawir menambah universiti keenam yang diilhamkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini menjadikan UUM sebagai universiti awam ketiga yang membuka pelawaan bidaan nombor pendaftaran khas tersebut.
Bidaan boleh dibuat di laman web https://uumplate.uum.edu.my sepanjang tempoh tersebut.
“UUM telah mendapat kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk nombor pendaftaran khas UUM 1 hingga UUM 9999 pada 2 Disember 2019.
"UUM juga akan menguruskan penjualannya secara bidaan dalam talian sepanjang tempoh yang diluluskan oleh JPJ mengikut panduan yang telah digariskan iaitu setiap pembida perlu mendaftar dan boleh merujuk panduan untuk membida," ujar beliau lagi.
Sempena Hari Pengasasan UUM dan Perhimpunan Bulanan Staf itu, Dr Ahmad Bashawir turut menyempurnakan gimik pelancaran plat eksklusif UUM di Dewan Mu’adzam Shah itu.
Secara umumnya terdapat lima kategori nombor pendaftaran dengan nilai minimum bidaan yang berbeza mengikut kategori iaitu Utama, Menarik, Popular, Popular (UUM) dan Biasa dari serendah RM500 sahaja.
Dalam pada itu, UUM turut menawarkan beberapa insentif menarik kepada pembida yang berjaya antaranya yuran masuk keahlian percuma Kelab Golf dan Rekreasi UUM bernilai sehingga RM5,000 kepada pembida yang berjaya dengan nilai bidaan RM20,000 dan ke atas, serta yuran keahlian seumur hidup percuma Persatuan Alumni UUM kepada alumni yang berjaya dengan nilai bidaan minimum RM1,000 untuk mana-mana kategori.
"Saya harap alumni UUM juga tidak melepaskan peluang memiliki nombor pendaftaran khas ‘UUM’ ini dan seterusnya menjadi sebahagian daripada penyumbang universiti kerana hasil pendapatannya akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan universiti," katanya.
Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani (empat dari kiri) bersama Pengurusan Universiti pada majlis pelancaran.