“BIAR lambat asal jadi”. Atau kata orang putih ‘Better late than never’. Inilah juga senarionya dengan beberapa projek pembangunan yang dirancang dalam daerah Bagan Datuk, Perak. : KitaReporters.com
PEMBINAAN Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk giat dijalankan.
Beberapa projek merangkumi sektor pendidikan, agama dan sosioekonomi sudah jauh melewati batas waktu ia sepatutnya disiapkan ekoran berlaku perubahan kerajaan pusat dan negeri pada 2018.
Ini
termasuklah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), politeknik, kompleks sukan, hotel
dan masjid terapung.
Bagaimanapun
tinjauan ke tapak projek berhampiran pekan Bagan Datuk pada Isnin (25/11/2019) lalu
mendapati pembinaan MRSM dan kompleks sukan rancak dijalankan setelah sekian
lama bergerak perlahan.
Kerja-kerja
maratakan tanah untuk Politeknik Bagan Datuk juga giat dijalankan. Pembinaan masjid
terapung yang dinamakan ‘Masjid Tuminah’ juga sedang berjalan.
Namun tidak nampak sebarang pergerakan bagi pembinaan hotel. Hanya semak samun yang sudah naik tinggi kelihatan di tapak hotel berkenaan.
PAPAN tanda pembinaan Politeknik Bagan Datuk yang kini dalam proses meratakan tanah.
Jelas dalam
aspek ini pendidikan dan agama diberi keutamaan. Usaha pentadbiran dahulu membawa
pembangunan ke kawasan parlimen bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Zahid Hamidi, tetap diteruskan oleh kerajaan sekarang.
Hal ini
jelas dinyatakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada
persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada 19 November lalu ketika menjawab soalan
Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup).
Dewan Undangan
Negeri Rungkup ialah satu daripada dua kerusi DUN dalam Parlimen Bagan Datuk.
Satu lagi Hutan Melintang.
Menurut
Ahmad Faizal, sejumlah 12 projek yang dirancang di Bagan Datuk akan tetap
diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 walaupun beberapa projek dibatalkan
akibat kekangan kewangan. Projek diteruskan termasuk MRSM, politeknik dan kompleks
sukan.
Beliau
memberitahu, Bagan Datuk juga akan mendapat lebih banyak projek pembangunan di
bawah Rancangan Pembangunan Tempatan Bagan Datuk 2035.
Sebelum ini, pada Julai 2019, Ahmad Faizal memberitahu sekurang-kurangnya 10 projek di Perak bernilai RM1 bilion dibatalkan ekoran pemotongan bajet.
Pembatalan
ini melibatkan tiga projek mega di Bagan Datuk iaitu menaik taraf Laluan 69
dari Hutan Melintang ke Bagan Datuk, pembinaan ‘flyover’ di Hutan Melintang dan
pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk.
Pembinaan kompleks
pentadbiran daerah Bagan Datuk sekalipun turut ditangguhkan kerana kekangan
kewangan, tidak akan menjejaskan pentadbiran di daerah berkenaan.
Untuk makluman, Bagan Datuk diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah ke-12 di negeri Perak pada 9 Januari 2017 oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
PAPAN tanda pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk.
Kehadiran MRSM akan menjadi satu lagi wadah pendidikan utama di Bagan Datuk selepas kehadiran Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk pada Mei 2009.
Proses rawatan tanah untuk pembinaan MRSM berharga RM110 juta ini dibuat pada 2017 dan sepatutnya telah siap dibina pada Ogos 2019.
Maktab ini mampu menempatkan 750 pelajar dengan model pelajaran berteraskan Ulul Albab.
Politeknik
Bagan Datuk pula juga bakal dikenali sebagai ‘Politeknik Marin’ kerana ia
menekankan kepada pendidikan marin. Lokasinya di seberang jalan besar
berhadapan Sekolah Menengah Sains.
Kursus
diploma ditawarkan dalam tiga bidang utama iaitu Kejuruteraan Marin, Naval
Arkitek dan Pembuatan Kapal.
Menurut
perancangan asal, politeknik berharga RM220 juta ini dibina September 2017, dijangka
siap Ogos 2019 dan beroperasi sepenuhnya pada 2020 dengan 1,200 pelajar. Namun
kini hanya proses meratakan tanah sedang berjalan.
Sekalipun bangunan politeknik ini belum menjadi kenyataan, pengambilan pelajar bagi Politeknik Bagan Datuk sebenarnya sudah dibuat. Pengambilan pertama pada Jun 2017 menggunakan bangunan sementara di Hutan Melintang.
PAPAN tanda pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk.
Kompleks
sukan pula sepatutnya mulai dibina pada Februari 2017. Kompleks bernilai RM31
juta ini dijadual siap pada Januari 2019. Namun ia kini masih dalam pembinaan.
Diharapkan
dengan siapnya projek-projek yang kini dalam pembinaan akan memberi manfaat bukan
sahaja kepada masyarakat Bagan Datuk dan negeri Perak khasnya, tetapi juga rakyat
seluruh negara, khususnya melalui peluang pendidikan di MRSM dan politeknik.
Dengan itu juga diharapkan ia dapat menambah kemeriahan Bagan Datuk yang selama ini dianggap sebagai pekan sepi di tebing Sungai Perak. - KitaReporters.com