AKTIVITI membersihkan dasar laut dan unjam daripada pukat ditinggalkan nelayan memberi kesan signifikan bertujuan mengelak kepupusan pembiakan ikan dan sekiranya dibiarkan berterusan ia akan menutupi unjam dan berisiko mengakibatkan hidupan marin di kawasan itu terjejas dan pupus. : KitaReporters.com
PASUKAN penyelam membuat persedian untuk turun ke laut melakukan pembersihan unjam di Bagan Lalang, Sepang, Selangor baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kumpulan (PNK) Sepang, Md Sani Jailani, bagi memelihara pembiakan ikan terus kekal, sekumpulan penyelam mengadakan misi membersih dasar laut dan unjam berhampiran rumah api Pantai Bagan Lalang di Sepang, Selangor pada Khamis (21/11/2019) lalu.
Inisiatif diadakan sejak beberapa tahun lalu itu bertujuan memelihara habitat ikan yang menjadi sumber protein penting kepada orang ramai.
Program yang berjaya membawa naik kira-kira 100 kilogram (kg) jaring melalui program membersih laut dan unjam itu diadakan oleh PNK Sepang dengan menyediakan bot serta kelengkapan menyelam.
PASUKAN penyelam bersiap sedia untuk turun ke dasar laut
Md Sani berkata, unjam itu adalah satu-satunya yang terdapat di kawasan itu dan dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sejak 2003 yang menelan belanja kira-kira RM300,000 bagi program pembangunan industri perikanan secara holistik yang memberi penekanan kepada pemuliharaan sumber perikanan pantai.
Menurut Md Sani, unjam berkenaan perlu dijaga dengan baik dan jaring nelayan yang hanyut dan sangkut di unjam itu boleh mengancam hidupan marin yang terdapat di sekitar unjam terbabit.
Katanya, PNK Sepang mengambil serius perkara itu kerana jaring berkenaan memberi tindak balas warna berkilat dan menimbulkan rasa takut kepada spesisi ikan untuk membiak dan menghampiri kawasan unjam itu.
PASUKAN penyelam bersiap sedia untuk turun ke dasar laut.
"Kita mengambil tindakan segera untuk menangani masalah itu pada setiap tahun di bulan November kerana ketika itu keadaan air tenang dan dasar laut juga cerah bagi memudahkan pembersihan diadakan.
"Bagi jaring yang sudah terlalu lama berada di bawah laut, ia perlu diteliti dan dibuka secara berhati-hati supaya tidak merosakan unjam dan hidupan laut yang tumbuh disekitarnya.
"Aktiviti tahunan yang diadakan oleh PNK Sepang itu kekal komited ke arah melindungi biodiversiti marin bagi membantu nelayan persisiran pantai dan aktiviti memancing di kawasan itu.
"Kita berkerjasama dengan kumpulan penyelam dari Terengganu dan LKIM bagi menjayakan aktiviti itu dan secara tidak langsung dapat mendedahkan kepentingan pemeliharaan marin dalam kalangan orang ramai,” katanya kepada wartawan KitaReporters.com yang mengikuti ekspedisi tersebut.
PETUGAS dibantu oleh kumpulan penyelam untuk menarik naik jaring yang tersangkut pada unjam di dasar laut
Di kawasan Sepang, terdapat kira-kira 120 nelayan pantai yang bekerja sepenuh masa sebagai nelayan dan kawasan unjam itu menjadi habitat beberapa jenis ikan seperti jenahak, kerapu, talang, gerepu, parang, merah dan cencaru.
Selain menjadi tumpuan nelayan pantai, sumber ikan yang banyak di kawasan itu turut dijadikan sebagai agro pelancongan dan lubuk bagi kaki pancing pada setiap hujung minggu.
SEORANG penyelam membawa naik jaring yang tersangkut pada unjam di dasar laut
Ketua penyelam, Ibrahim Muhamad, 57, dari Terengganu berkata, unjam yang menjadi habitat ikan di kawasan itu tercemar dengan lambakan jaring memenuhi di sekelilingnya, sekali gus memerangkap dan menimbulkan kesukaran perkembangan hidupan laut di kawasan itu.
Menurut Ibrahim yang beberapa kali terbabit dalam aktiviti pembersihan di kawasan itu berkata, pembiakan ikan dan biodiversiti marin boleh tergugat sekiranya lambakan jaring terus berleluasa di kawasan tersebut.
Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang itu berkata, pihaknya juga menemui banyak mata pancing atau 'appolo' yang sangkut di jaring dan tindak balas warna dari mata pancing itu juga boleh menimbulkan rasa takut dari ikan-ikan untuk menghampiri kawasan unjam berkenaan.
PETUGAS dibantu kumpulan penyelam untuk menarik naik jaring yang tersangkut pada unjam di dasar laut.
Katanya, empat anggota penyelam terbabit dalam aktiviti itu dan pasukannya juga sudah mengeluarkan jaring ketika menyelam serta percaya jaring terbabit bukan dipasang secara sengaja, sebaliknya dihanyutkan air ketika dilabuhkan ke dasar laut.
"Kebiasannya penyelam akan mengambil tanggungjawab memotong jaring yang tersangkut pada unjam sebelum membawanya ke daratan.
"Kita harap nelayan lebih peka kepada masalah ini dan sekiranya berlaku ia bukan saja merugikan nelayan apabila jaring sangkut, malah pendapatan mereka turut terjejas," katanya. - KitaReporters.com.
SEORANG penyelam menunjukkan jaring yang berjaya dinaikkan tersangkut pada unjam di dasar laut
PENYELAM bersama jaring yang berjaya dibawa naik tersangkut pada unjam di dasar laut
JARING yang berjaya dibawa naik dari dasar laut dikumpul di jeti nelayan Bagan Lalang, Sepang.