Santai 04 Feb, 2020

BERSANTAI DI TASIK RABAN MACAM ADA DI PULAU

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SEBELUM siapnya lebuh raya dua lorong yang menghubungkan bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak dengan Gerik beberapa tahun lalu, Tasik Raban adalah lokasi yang mesti dilalui oleh mereka yang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Lenggong dan Gerik. Begitu juga bagi perjalanan sebaliknya. : KitaReporters.com

PEMANDANGAN indah Tasik Raban berlatarbelakangkan Jambatan Raja Nazrin Shah yang menghubungkan dua bahagian lebuh raya Kuala Kangsar-Gerik.


Dari Gerik, sebuah kawasan hitam ketika keganasan komunis dahulu, perjalanan boleh diteruskan menuju ke Pengkalan Hulu (Kroh) dan Baling, Kedah. 

Kedua-duanya juga pernah menjadi kawasan hitam akibat ancaman komunis.

Tasik Raban atau juga dikenali Dataran Tasik Raban, terletak dalam pekan kecil Raban, berhampiran pekan Sauk, kira-kira 34 kilometer dari Kuala Kangsar. Lenggong pula kira-kira 45 kilometer dari Kuala Kangsar sementara dari Lenggong ke Gerik pula 53 kilometer.

Dengan kedudukannya sebagai laluan utama yang disediakan dengan tempat rehat dan menjamu selera, mereka yang lalu pasti singgah untuk berehat dan makan minum sambil menikmati pemandangan indah sekeliling tasik.

DATARAN Tasik Raban... Jalan di hadapan ialah jalan utama lama Kuala Kangsar-Gerik yang mesti dilalui untuk sampai ke Lenggong dan Gerik sebelum siap lebuh raya.   


Dataran Tasik Raban bagaikan sebuah pulau kerana dikelilingi tasik. Juga begitu menarik kerana sepotong daripada jalan raya merentasi tasik, dipagari tasik kiri dan kanan memberi keseronokan apabila melaluinya.

Siapnya lebuh raya Kuala Kangsar-Gerik bererti Tasik Raban, yang sejak beberapa dekad menjadi laluan utama, tidak lagi berperanan sedemikian, kecuali bagi penduduk setempat atau mereka yang masih berminat melalui jalan lama.

Namun begitu Tasik Raban sudah terlalu lama mencipta nama dan terpahat dalam ingatan serta kenangan. 

Justeru walau pun kini sudah terletak di luar laluan utama disebabkan lebih ramai menggunakan lebuh raya, namun ia sama sekali tidak sunyi atau dilupakan.

SALAH satu mercu hiasan yang menyerikan Tasik Raban.


Mereka yang melalui lebuh raya akan mengambil susur keluar ke Tasik Raban mengunjungi tempat yang penuh nostalgia, indah dan tenang. 

Mereka berehat dan menjamu selera, sama ada minum pagi, makan tengah hari, minum  petang atau makan malam.

Antara menu pagi popular ialah roti canai di kedai Roti Canai Tasik Raban yang memang enak. Atau boleh memilih pelbagai kuih muih serta sarapan lain seperti nasi lemak, mi atau laksam.

Untuk makan tengah hari, kedai-kedai menyediakan pelbagai masakan lauk pauk memenuhi selera pengunjung. Pilih saja lauk ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran yang berkenan di hati.

Suasana pada sebelah petang dan malam tidak kurang meriahnya. 

Dihiasi sinaran lampu yang membias di permukaan tasik, mempamerkan pemandangan indah. Pada setiap malam Isnin pula ada pasar malam di situ.

KEDAI Roti Canak Tasik Raban. Roti canainya memang enak.


Di Tasik Raban juga pengunjung boleh beriadah, misalnya berbasikal atau berkayak. 

Selain itu, mereka boleh menaiki bot berkeliling tasik. Anak-anak pula boleh bermain di taman permainan disediakan.

Untuk kaki pancing, hobi anda juga tertunai di sini. Anda boleh memancing di kawasan tasik. Mana tahu, ada rezeki boleh dapat ikan besar.

Mungkin jika hanya sambil lalu pengunjung tidak puas. 

Oleh itu jika mahu tinggal lebih lama di Tasik Raban, usah bimbang dengan tempat menginap. Resort Tasik Raban sedia menunggu.

Resort ini yang menyediakan penginapan bilik dan dorm, terletak di sekeliling tasik dengan dipayungi pokok-pokok yang hijau menyegarkan. 

JOM berkayak di Tasik Raban. Peminat kayak jangan lepaskan peluang.


TAMAN permainan disediakan untuk kanak-kanak di Tasik Raban.


BOT juga sedia menunggu pengunjung yang ingin bersantai berkeliling tasik. 


Pekan Raban bukan hanya terkenal dengan keindahan Tasik Raban. 

Ia juga tempat kelahiran seorang pelukis komik yang terkenal dalam era tahun 60-an, Allahyarham Abdul Halim Teh. Komik-komik lukisan beliau meletup di pasaran pada tahun-tahun tersebut.

Allahyarham menghasilkan banyak komik. Namun karya ulung Halim Teh ialah komik bersiri ‘Keris Berpuaka’ yang sangat diminati ramai. 

Komik terbitan Sinaran Brothers Pulau Pinang ini bersaiz kecil seperti format War Library (seperti kebanyakan saiz komik lain ketika itu), dijual dengan harga 50 sen.

Sinaran Brothers merupakan penerbit komik yang aktif pada era itu. 

Selain Halim Teh, beberapa pelukis komik seangkatan beliau ialah ialah Alias Kulub dari Sungai Bayor, Selama Perak; Hassan Basri dari Bagan Datuk, Perak; K Bali (Sabah)  dan Raja Hamzah serta Sulaiman Awang dari Kuala Lumpur.

Sebelum Sinaran Brothers, komik-komik karya Halim Teh diterbitkan oleh Pustaka Antara Kuala Lumpur. Antaranya ‘Tuah Adik’ dan ‘Sumpah Ibu’.

'BIDAN MUDA' antara komik hasil karya Abdul Halim Teh yang diterbitkan oleh Sinaran Brothers, Pulau Pinang.


Penulis yang berkunjung  ke Raban pada Januari 2020, berkesempatan bertemu dan berbual dengan anak saudara Allahyarham serta kakak Allahyarham, Rashidah Teh yang sudah berusia 94 tahun.

Walau pun pada usia begitu, Rashidah masih sihat. Ingatannnya masih baik, begitu juga dengan penglihatan, pertuturan serta pendengaran.

Sesungguhnya Raban pekan kecil yang indah dan menyimpan nostalgia. Datanglah berkunjung! - KitaReporters.com

PENULIS bersama Rashidah Teh, kakak kepada pelukis komik terkenal dari Raban, Allahyarham Abdul Halim Teh.


Kedudukan Tasik Raban dan kampung-kampung di sekitarnya. - Gambar Peta GoogleMap


10
2
2
0
2
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago