Setiap hari kita jumpa orang, tetapi kita tidak tahu apa yang dia lalui, lain orang lain cerita hidupnya. Malah, kita tidak tahu pun jika rakan, saudara atau sesiapa sahaja yang kita kenali sedang berhadapan tekanan hidup atau stres iaitu salah satu masalah kesihatan mental. : KitaReporters.com
Stres perlu dirawat sebelum melarat. - Kredit foto: livescience.com
Kesihatan mental selalu dipandang ringan walaupun kajian WHO mengatakan tahun ini masalah kesihatan mental berada di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung.
Laporan statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai penyakit itu sangat membimbangkan kerana pada 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan. Bahaya kan?
Ada orang boleh hadapi stres dengan baik tetapi ada pula yang gagal tanganinya dengan cara betul.
Baru-baru ini, tular di media sosial kisah seorang bekas pensyarah wanita menengking pihak penguat kuasa yang cuba menyita kenderaannya sambil menghentak kaki, meludah dan sebagainya, tular juga kisah sang suami menengking isteri di sebuah pasar raya sebelum berlalu tanpa tinggalkan wang untuk bayar barang-barang di kaunter.
Semua itu tanda atau simptom mereka mengalami stres mungkin di tempat kerja atau sebagainya.
Bagaimanapun, memetik laporan Sinar Harian, seorang pakar kesihatan mendakwa 50 peratus rakyat negara ini hadapi stres.
Katanya lagi, jika stres dibiarkan tanpa diubati, dalam tempoh lima hingga 10 tahun, seseorang pesakit akan berdepan dengan kesannya.
Pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, stres ini juga mengambil masa untuk nampak kesan.
"Sebenarnya mengambil masa yang sama dengan serangan jantung. Kita tidak tahu kita ada penyakit kronik.
"Kalau ikut kajian, stres dalam kalangan rakyat Malaysia sudah makin tinggi.
"Selama ini kita hanya fokus kepada obesiti, tetapi kita juga harus fokus kepada stres sebab sekarang ini ramai orang dah stres. Kita stres di jalan raya. Itu tanda-tanda dia, " kata laporan itu.
Stres menjadi faktor utama golongan muda maut akibat serangan jantung. - Kredit foto: forbes.com
Pakar itu turut mendedahkan stres menjadi faktor utama golongan muda maut akibat serangan jantung.
Katanya, serangan sakit jantung bukan hanya dipengaruhi oleh faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan obesiti, bahkan stres telah dibuktikan berdasarkan penemuan baharu oleh pakar perubatan.
“Stres itu menjadi penyebab masalah serangan sakit jantung dalam kalangan orang muda.
"Banyak penemuan baharu yang diterbitkan dalam jurnal. Kita tengok stres berlaku kepada kebanyakan orang. Stres ini akan menyebabkan jantung kita tidak berfungsi dengan normal.
“Sesetengah orang, dia ingat dia tiada stres tetapi kalau lihat degupan jantung, degupannya laju. Tak cukup tidur, asyik bermimpi, naik baran tetapi dia kata dia tiada stres. Stres ini sukar dikesan bukan seperti penyakit kronik yang lain.
“Punca stres golongan orang muda ini saya percaya pertama faktor pekerjaan, kewangan, hubungan sesama kawan dan masalah persekitaran. Cuma tidak ada orang yang rasa dia stres,” katanya dalam laporan itu.
Dr Zubaidi turut berkongsi beberapa kes pesakit kronik yang disebabkan oleh stres.
“Contohnya saya berdepan kes seorang lelaki yang merupakan pengajar kecergasan di gimnasium.
Disebabkan dia banyak bekerja, tak banyak rehat, dia sendiri mengaku dia kena strok.
“Begitu juga dengan selebriti dan pelakon. Mereka banyak terlibat dengan penggambaran. Tidak cukup tidur. Itu menyebabkan stres pada diri dia dan mungkin ditambah dengan stres sekeliling. Anak dan isteri terpaksa tinggal. Ini menyebabkan jantung dia mengalami masalah fungsi,” katanya.
Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia pada 18 Februari 2020. - Kredit foto: Instagram BCL
Pada Selasa, 18 Februari 2020, negara dikejutkan dengan berita kematian pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, dipercayai akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.
Apakah ada kaitan?
Ashraf meninggal dunia awal pagi, kira-kira jam 3.45 waktu tempatan dan berita sedih itu disahkan oleh pengurus isterinya, Bunga Citra Lestari, Doddy menerusi perbualan aplikasi WhatsApp.
Selain arwah, beberapa selebriti seperti Mohd Faizal Yusof, Hani Mohsin dan Shamrin Fotograf turut menemui ajal secara mengejut dipercayai serangan jantung.
Wah bahaya kan?
Jadi jika kita rasa stres cuba salurkan pada cara yang betul contohnya cari sistem sokongan mungkin kumpulan kecil untuk meluahkan apa yang dipendam selain beriadah bersama keluarga atau rakan. - KitaReporters.com