Santai 11 Mar, 2020

KAREENA, KARISHMA LERAIKAN "TABU" KAPOOR

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this
KELUARGA besar dan ternama dalam industri filem Bollywood, Keluarga Kapoor, menetapkan  syarat anak-anak perempuan keluarga tersebut, atau sesiapa juga yang menjadi isteri kepada mana-mana ahli keluarga, dan anak-anak perempuan pasangan tersebut, tidak boleh terlibat dalam filem. : KitaReporters

'Tuan Besar' Keluarga Kapoor, Prithviraj Kapoor. - Kredit foto: imdb.com


Ini bererti anak-anak perempuan dalam keluarga Kapoor tiada harapan untuk berlakon. 

Jika wanita yang berkahwin degan ahli keluarga tersebut memang seorang aktres, dia hendaklah bersara daripada pelakon setelah berkahwin. 

Jika bukan aktres, jangan cuba berharap atau bermimpi untuk menjadi bintang layar perak.

Syarat ini merupakan peraturan keluarga yang tidak boleh diingkari. 

Mereka yang ingin menjadi ahli keluarga besar dalam dunia Bollywood itu mesti mematuhi syarat tersebut, walaupun terpaksa mengorbankan karier yang mereka sayangi.

Namun bagi aktres terlibat pula, menjadi anggota keluarga Kapoor dianggap sesuatu yang hebat kerana berada dalam kelompok keluarga seni yang dihormati dan disanjung tinggi.

FILEM 'Kal Aaj Aur Kal' menggabungkan tiga generasi iaitu datuk, Prithviraj (kanan); anak, Raj Kapoor (kiri) dan cucu, Randhir Kapoor. Filem tahun 1971 ini turut dibintangi Babita yang kemudian berkahwin dengan Randhir Kapoor pada tahun yang sama. - Kredit foto: YouTube. 


Justeru apabila aktres jelita Babita berkahwin dengan aktor Randhir Kapoor, anak bintang tersohor Raj Kapoor, pada 1971 dia terpaksa melupakan layar perak walau pun ketika itu dia adalah antara bintang ternama Bollywood.

Begitu juga apabila aktres Neetu Singh berkahwin dengan Rishi Kapoor iaitu adik Randhir, pada 1980, dia juga terpaksa mengorbankan kariernya demi bersama bintang filem ‘Bobby’ itu.

Walaupun ini adalah peraturan keluarga yang lama ditaati dan dipertahankan, akhirnya ia luntur juga dengan peredaran masa. 

Ini kerana ada dalam kalangan ahli-ahli keluarga Kapoor itu sendiri yang tidak mahu terkongkong dengan syarat sedemikan.

Mereka berhujah, bakat yang ada tidak harus disekat. 

Selain itu, jika mereka menempa kejayaan maka kejayaan itu akan tambah mengharumkan nama keluarga Kapoor.

KAREENA (kiri) dan Karishma Kapoor bersama ibu mereka, aktres Babita. - Kredit foto: Gulf News


Antara yang tidak bersetuju dengan peraturan tersebut ialah aktres Babita. 

Dia merasakan kaum wanita dalam keluarga itu mesti diberi kebebasan mengguna dan mengembangkan bakat yang mereka miliki.

Kerana itulah Babita dengan berani melanggar peraturan ini dan membenarkan serta menyokong anak-anaknya menceburi dunia Bollywood. Mereka ialah Karishma Kapoor dan Kareena Kapoor.

Langkah Karishma dan Kareena terjun dalam filem bagai meleraikan peraturan ciptaan sendiri yang selama ini membelenggu keluarga Kapoor. 

Keluarga besar Kapoor bagaikan itidak dapat menghalang gelombang ini, termasuk bapa Karishma dan Kareena, Randhir Kapoor.

Terbukti Karishma dan Kareena berjaya dalam karier dan menempa nama sebagai aktres terkenal dalam Bollywood. 

Ternyata usaha ibu mereka menggalakkan mereka aktif dalam filem membuahkan hasil membanggakan.

Kini Karishma tidak aktif lagi dalam filem. 

Namun Kareena masih berdiri sebagai seorang aktres unggul dan  menerima bayaran paling tinggi dalam setiap filem lakonannya. 

Dia adalah isteri kepada aktor Saif Ali Khan dan mempunyai seorang anak bernama Taimur Ali Khan.

TIGA beradik bintang ternama dalam dunia perfileman Hindi. Dari kiri Raj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor. - Kredit foto: hindi.shashi.com


Keluarga Kapoor mendominasi dunia filem Bollywood bermula dengan ‘tuan besar’ iaitu Prithviraj Kapoor (1906 hingga 1971)

Dia memulakan karier seninya dengan memiliki syarikat teater bergerak yang membuat pertunjukan di merata-rata tempat.

Dari situ teaternya berkembang dan menembusi pula dunia perfileman. 

Prithviraj pernah muncul bersama cucunya, Randhir Kapoor dan Babita dalam filem Kal Aaj Aur Kal keluaran tahun 1971.

Bakat seninya diwarisi tiga anak lelakinya iaitu Raj Kapoor (1924-1988), Shammi Kapoor (1931-2011) dan Shashi Kapoor (1938-2017). Ketiga-tiganya merupakan  bintang ternama.

Kejayaan Raj Kapoor dalam industri menyerlah dengan memiliki studio filem sendiri, RK Studio. 

Dia adalah bintang filem, pengarah dan produser yang menghasilkan beberapa filem pecah panggung seperti Sangam, Mera Naam Joker, Bobby dan Satyam Sivam Sundaram.

Shammi dan Shashi juga tidak kurang hebatnya. Kedua-duanya bintang idola ramai pada zaman kegemilangan mereka. 

Antara filem-filem popular Shammi ialah An Evening in Paris, Andaz, Pagla Kahin Ka, Brahmachari, Kashmir Ki Kali, Professor  dan banyak lagi.

Antara filem-filem hebat Shashi Kapoor pula ialah Deewar, Aa Gale Lag Ja, Kala Pattar,Trishul, Pyar Ka Mausam, Jahan Pyar Miley dan banyak yang lain.

RISHI Kapoor (kanan) dan Neetu Singh bersama anak mereka, Ranbir Kapoor, yang kini antara bintang top Bollywood. - Kredit foto: Wiki Bio


Namun keturunan Shammi dan Shashi tidak menyerlah dalam filem. 

Shashi pernah cuba mengetengahkan anaknya, Kunal Kapoor dalam filem Ahista-Ahista. Tetapi filem ini gagal di pasaran.

Yang nampak menonjol ialah anak-anak Raj Kapoor iaitu Randhir Kapoor dan Rishi Kapoor.  

Bakat Randhir yang berkahwin dengan Babita diteruskan oleh anak-anak mereka, Karishma Kapoor dan Kareena Kapoor.

Bagi Rishi yang berkahwin dengan Neetu Singh pula, bakat mereka diwairisi anak lelaki mereka, Ranbir Kapoor yang kini antara  bintang top di Bollywood.

Apa yang pasti pantang larang dalam keluarga Kapoor yang menghalang wanita dalam keluarga itu berlakon telah dipecahkan oleh Karishma dan Kareena Kapoor. Lulus jarum luluslah kelindan.  

Selepas ini tiada masalah lagi bagi wanita dalam keluarga Kapoor untuk berlakon. Larangan ini sudah tidak terpakai. - KitaReporters

KAREENA Kapoor bersama kakaknya, Karishma Kapoor, dua nama hebat dalam dunia Bollywood. - Kredit foto: Prokelara.com

3
2
1
1
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago