Santai 25 Nov, 2019

KEBERSIHAN TANDAS DI KLIA DIJAMIN FIRST CLASS

@samadi ahmad
Experience as a Independent Journalist for 20 year, covering various aspect of the news including politics, business, crimes and specializing in Media Events.

Share this

NAMPAK pelik dan lucu, namun setiap  tahun pada 19 November ialah Hari Tandas Sedunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan disambut di seluruh dunia sebagai satu langkah bagi membantu orang ramai  menikmati tandas yang bersih, di samping memupuk kesedaran orang ramai kepada kepentingan menjaga kebersihan tandas. : KitaReporters.com

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah selepas perasmian Hari Tandas Sedunia Malaysia Airports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. 


Sempena Hari Tandas Sedunia itu, Malaysia Airports turut mengadakan kempen kebersihan tandas  yang  dilaksanakan sejak 2017 yang bertujuan mempromosikan etika di dalam tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dianggap sebagai pintu utama kepada pelancong luar yang datang ke negara ini.

Kempen diadakan itu seiring seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kesedaran sivik membabitkan kebersihan tandas dengan memperkenalkan kempen ‘Balas Kebaikan Dengan Kebaikan’ kepada setiap orang.

Majlis perasmian Hari Tandas Sedunia Malaysia Airports itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah di KLIA baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah  Raja Ahmad Baharuddin Shah merasmikan Hari Tandas Sedunia Malaysia Airports.


Raja Kamarul Bahrin berkata, Hari Tandas Sedunia adalah satu inisiatif untuk memaklumkan, melibatkan diri, dan yang paling penting memberi inspirasi kepada rakyat untuk mengambil tindakan dalam menangani krisis sanitasi global.

Memetik laporan air PBB, beliau berkata, 4.2 bilion populasi dunia hidup tanpa sanitasi yang selamat dan terdapat kira-kira 673 juta orang yang masih bergantung pada pembuangan air terbuka sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Katanya, bahagian paling menakutkan adalah di mana 432,000 kematian dicatatkan setiap tahun akibat kekurangan sanitasi yang mencukupi.

"Malaysia bernasib baik diberkati dengan banyak infrastruktur kelas pertama seperti di lapangan terbang utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini, namun masih banyak yang diperlukan dari segi mencapai mentaliti kelas pertama dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.


Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata semenjak kempen itu diadakan, Malaysia Airports berjaya menurunkan sebanyak 70 peratus aduan mengenai tandas di KLIA berbanding dua tahun lalu.

Mohd Shukrie berkata, etika kebersihan tandas itu bukan hanya dilaksanakan di KLIA sahaja, malah pihaknya turut membantu kawasan komuniti berdekatan seperti sekolah dengan membantu mengajar penggunaan tandas yang betul bagi memastikan kempen itu dapat dipraktikkan.

Menurut beliau, etika kebersihan tandas ini perlu disebar bagi memastikan ia dipraktikkan, sekali gus melambangkan tahap sivik seseorang itu.

Katanya, selain menyebarkan mesej kepada orang ramai, ia turut dilaksanakan kepada lebih 800 pelajar di 10 sekolah di sekitar Sepang sejak kempen itu bermula bagi mendidik mereka daripada peringkat  rendah  mengenai etika berkenaan.

"Bagi memastikan pelajar memahami dan mempraktikan kempen itu Malaysia Airports turut  mengadakan pertandingan mengarang dan kebersihan tandas secara keseluruhan bagi memilih seorang pemenang dari setiap sekolah yang terbabit.

"Apabila kesedaran ini dididik dari peringkat awal, secara tidak langsung mereka akan memahami kepentingan kebersihan tandas, memberi tindak balas dan akhirnya menyebarkan mesej berkenaan.

"Terdapat sebanyak 390 buah tandas di KLIA dan KLIA2 dan menerusi kempen berkenaan, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk penambahbaikan 140 tandas yang dipantau oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang menetapkan 20 elemen yang perlu dipatuhi termasuk lapan berkaitan kebersihan.

"Sebanyak 45 buah tandas telah siap dibaik pulih dan baki 95 lagi dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

"Proses menaik taraf tandas itu turut mengambil kira keperluan yang dibangkitkan oleh pengguna dan antara perubahan yang dilakukan ialah berkenaan pengudaraan dan kelengkapan sanitasi.

"Malaysia Airports  turut bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pembersihan tandas.

"Kami yakin melalui kempen dan pelbagai inisiatif ini akan berjaya mencapai objektif agar semua tandas di KLIA mencapai piawaian, sekali gus memberi keselesaan kepada semua pengguna lapangan terbang dan meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kami," katanya.

Para pemenang hadiah tandas terbersih sekolah bergambar beramai-ramai. - Foto Bernama


Kesemua tandas penumpang dilengkapi dengan Customer Realtime Feedback (CRF) yang membolehkan penumpang memberi maklum balas.

Sistem Washroom Response Management System (WRMS) akan memantau maklum balas penumpang, sama ada ‘teruk’ atau ‘sangat teruk’ dan apabila pasukan teknikal menerima maklumat, mereka akan segera mengatasi permasalahan itu.

Sistem WRMS yang digunakan itu juga membolehkan Malaysia Airport's  berjaya memenangi Best ASEAN Public Terminal Toilet 2018 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Pemenang hadiah tandas terbersih peringkat sekolah bersama hadiah dimenangi.


Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah tandas terbersih sekolah yang disampaikan oleh Raja Kamarul  Baharin.

Johan dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang menerima hadiah berupa wang tunai RM2,000, manakala tempat kedua dimenangi SK Kota Warisan,Dengkil (RM1,500) dan ketiga ialah SK KLIA (RM1,000).

Sebanyak 10 sekolah yang terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jenderam Hilir, SK Bukit Changgang, SK Jenderam, SK Salak, SK Taman Seroja, SK Kota Warisan, SK Sungai Melut (A), SK KLIA, SK Bandar Baru Salak Tinggi dan SK Kg Baharu Lanjut. - KitaReporters.com

Pemenang mengarang peringkat sekolah bersama hadiah dimenangi.

0
2
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago