Santai 26 Feb, 2020

SIAPA BURU GELARAN 'BLACK CAT' JR?? SIAPA TU?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

‘BLACK Cat’, penjaring gol pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Munich 1972, pemenang Pestabola Merdeka tiga kali dan pingat gangsa Sukan Asia Tehran serta Piala Malaysia 1974 bersama Pulau Pinang. Tapi siapa 'Black Cat' ini? : KitaReporters.com

SHAHARUDIN Abdullah @ 'Black Cat' (berdiri, tiga dari kanan) menganggotai dan menjaringkan satu gol buat skuad negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972.


Turut pernah ditawarkan menyertai Bayern Munich (Jerman), kelab Indonesia dan Hong Kong, anak jati Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang ini ternyata berada dalam kelas tersendiri sepanjang era kegemilangan bola sepak 70-an negara.

Menewaskan penjaga gol Amerika Syarikat, Michael Ivanov pada minit ke-14 perlawanan Kumpulan A Olimpik pada 29 Ogos 1972, siapa peminat tanah air era itu yang tidak kenal Shaharudin Abdullah yang kini berusia 72 tahun. 

Abangnya, Datuk Namat Abdullah juga kapten negara selepas persaraan mendiang Datuk M. Chandran pada 1974 dan seangkatan mereka ialah dua lagi pembolos gol di Ingolstadt itu, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff dan Salleh Ibrahim.  

SHAHARUDIN Abdullah (dua dari kiri) bersama-sama rakan sepasukan Olimpik Munich 1972, antaranya Wong Kam Fook (kiri), Abd. Rahim Abdullah (tiga dari kiri) dan Mohamad Bakar (tiga dari kanan), di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur pada 2019.


Seorang puteranya daripada tujuh anak hasil perkongsian hidup dengan Raden Tarminah Raden Salleh, Shafiq Shaharudin kini mewarisi bakat besar bola sepaknya dengan memulakan karier dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 2014. 

Dia muncul penjaring terbanyak dengan skuad Piala Presiden JDT II, 14 gol sehingga jurulatih belia negara, Datuk Ong Kim Swee memanggilnya ke kem latihan pusat skuad Sukan SEA Singapura 2015. 

Belang awal anak jati Pontian, Johor ini kian terserlah apabila enam gol melonjakkannya sebagai pemenang Kasut Emas pemain tempatan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 bersama Kelantan yang disertainya sejak 2016. 

Penampilan sulung antarabangsa turut berjaya dikecapi Shafiq. 

Memikat ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, Shafiq sempat bermain lebih sejam dalam perlawanan persahabatan menentang Fiji pada 5 Julai 2018. 

Dia masuk menggantikan Syafiq Ahmad yang tercedera selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan yang disaksikan 4,000 penyokong Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

SHAFIQ Shaharudin, pemain Kuala Lumpur.


“Selepas Kelantan, saya berhijrah ke PKNS FC dan pada pertengahan musim 2019, saya dipinjamkan ke Kuala Lumpur dan terus menyambung kontrak dengan KL Hawks bagi musim 2020,” katanya. 

Shafiq kerap diuji sebagai penyerang dan sayap oleh jurulatih skuad ibu kota itu, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff sepanjang siri perlawanan persahabatan pramusim dan sempat menjaringkan beberapa gol. 

“Saya kena bersaing sengit dengan pemain import kerana mana-mana pasukan pasti akan gunakan khidmat mereka di posisi depan. 

"Saya kena cuba dan jika ada rezeki, saya mainlah,” katanya.

SHAFIQ Shaharudin (depan, kiri) beraksi buat Kuala Lumpur dalam siri pramusim Liga M 2020 menentang Tambun Tulang di Kangar, Perlis. - Foto facebook Kuala Lumpur Hawks


Kerapkah orang membandingkan anda dengan Shaharudin - legenda negara?   

“Tahap ayah berlainan sebab dulu tiada pemain import. Juga banyak bezanya corak permainan bola sepak ketika itu (70-an) dengan sekarang. 

“Hendak setaraf atau saingi pencapaian ayah memang susah dan macam hampir mustahil apatah lagi dia pernah dapat tawaran Bayern Munich. Saya pun baru satu cap (penampilan) antarabangsa menentang Fiji. 

“Namun azam saya untuk memburu kejayaan bersama pasukan negara, tidak pernah padam,” kata Shafiq, 26, penyarung jersi bernombor sama dengan KL Hawks yang meletakkan sasaran menjuarai Liga Perdana 2020 untuk kembali melonjak ke Liga Super 2021. 

Nidzam mengakui, hanya penggantungan kerana kad atau tercedera tonggak import yang bakal membuka laluan XI KL Hawks kepada ‘Black Cat Junior’ ini memandangkan dia kerap hanya sebagai pilihan kedua. 

“Saya sudah mengujinya sebagai penyerang dan sayap dalam pramusim, baru-baru ini dan dia sempat jaringkan gol ketika persahabatan dengan Selangor 2. 

“Kalau ikut pengamatan saya, taraf permainannya masih jauh beza atau belum sampai tahap ayahnya,” kata bekas penyerang negara, Perak, Kedah dan Kelantan ini. - KitaReporters.com


 UKUR TARA

SHAHARUDIN ABDULLAH

Tarikh lahir: 29 Ogos 1948

Umur: 72 tahun

Tempat lahir: Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang

Pekerjaan tetap: Wadar penjara

Adik-beradik: 10 orang

Bapa: Abdullah Mohd.

Ibu: Mariam Saat

Posisi: Sayap kanan, penyerang

Nombor jersi: 11, 8

Gelaran: Black Cat, Sharpshooter, Si Helang

Pasukan: Pulau Pinang (1967-1982), Malaysia (1968-1981)

Pencapaian: Juara Pestabola Merdeka 1968, 1973 dan 1974, pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 dan layak Sukan Olimpik Munich 1972 (Malaysia), Piala Malaysia 1974 (Pulau Pinang)

SHAFIQ (kanan) pernah dinobatkan pemenang Kasut Emas Pemain Tempatan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018. - Foto facebook Kuala Lumpur Hawks


SHAFIQ SHAHARUDIN

Tarikh lahir: 26 Mac 1994

Umur: 26 tahun

Tempat lahir: Pontian, Johor

Pekerjaan tetap: Pemain bola sepak profesional

Adik-beradik: Tujuh orang

Bapa: Shaharudin Abdullah

Ibu: Raden Tarminah Raden Salleh

Posisi: Penyerang, sayap

Nombor jersi: 26

Gelaran: Macha

Pasukan: JDT II (2014-2016), Kelantan (2016-2018), PKNS (2019), Kuala Lumpur (pinjaman 2019 - kini)

Pencapaian: Penjaring terbanyak Piala Presiden 2014 (JDT II), Kasut Emas Pemain Tempatan ABK 2018 (Kelantan), penampilan sulung Malaysia melawan Fiji 2018 (persahabatan)

1
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago