JASA orang baik sentiasa dikenang. Apabila nyawa sudah diambil, perkara yang baik sahaja diperkatakan oleh saudara mara atau kenalan. Itu adalah ‘hadiah baik’ untuk orang yang sudah menghadap Ilahi. Dan bukan perkara mengejutkan apabila orang berhati mulia diambil semula lebih awal. Ada hikmahnya. : KitaReporters.com
Keluarga bahagia Ashraf, BCL dan Noah. Kredit foto: Instagram @Asrafsinclair
Rupa-rupanya pelakon Ashraf Sinclair, 40, adalah seorang dermawan dan suka membantu anak-anak yatim.
Dia merupakan salah seorang penyumbang tetap Yayasan Yatim Piatu Darrul Rahman, Jakarta Selatan.
Kebaikan Ashraf didedah oleh Pengurus yayasan, Ahmad Habib yang berkata, Ashraf terakhir datang ke yayasan itu kira-kira dua bulan lalu.
Ashraf membawa anaknya, Noah mengunjungi rumah anak yatim. - Kredit foto; Instagram Ashrafsinclair
Ahmad berkata kepada Detik.com, para penghuni rumah kebajikan itu sudah mesra dengan Ashraf yang kekadang membawa anaknya, Noah bersama dan amat merasakan kehilangan selebriti berbudi mulia itu.
Sebagai rasa hormat sebahagian penghuni rumah kebajikan itu hadir dalam majlis doa selamat di kediaman Asraf-BCL.
Sementara itu, Ahmad yang dilaporkan turut memandikan jenazah Ashraf berkata, wajahnya dalam keadaan senyum.
Anak Ashraf, Noah turut melihat pemandian dijalankan.
Jenazah Ashraf Sinclair bersemadi di San Diego Hills, Kirawang, Jawa Barat. - Kredit foto: Kompas.com
Ramai rakan artis turut sama melakukan solat jenazah dan dalam yang sama menenangkan isteri Allahyarham yang juga pelakon dan penyanyi, Bunga Citra Lestari (BCL).
Dalam pada itu, penyanyi Maia Estianty menyifatkan pemergian Ashraf ‘terlalu mudah’ dan wajah Allahyarham ketika dikapankan juga seakan-akan sedang tidur.
Walaupun bertaraf warga negara asing ketika berada di Indonesia, namun Ashraf disenangi dalam kalangan artis Indonesia kerana sikap rendah dirinya.
Dan dia cepat belajar bercakap dalam bahasa Indonesia apabila berkahwin dengan BCL dan hidup dalam masyarakat Indonesia.
Allahyarham selama ini diketahui mengamalkan gaya hidup sihat dan sering melakukan senaman riadah di gim dan tiada sejarah penyakit jantung.
Malah beberapa jam sebelum kematiannya, Sinclair dilaporkan melakukan latihan di sebuah gim tidak jauh dari kediamannya.
Gambar kenangan bersama keluarga di Kuala Lumpur. - Kredit foto: Instagram Ashrahsinclair
Namun ketentuan Illahi tiada siapa dapat menduga.
Ada pihak menyatakan, manusia berhati mulia ramai yang dipanggil kembali lebih awal oleh Tuhan.
Kebaikan yang dilaku Ashraf Sinclair atau nama penuh, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair ada persamaan dengan Abam Bocey, 38.
Kebetulan pemergian dua insan seni ini berselang seminggu.
Sementara itu, bapa Ashraf, Mohammed Anthony John Sinclair dalam kenyataan kepada media Indonesia menyatakan, sepatutnya dirinya yang pergi dahulu.
Tetapi yang menjadi kenyataannya dirinya yang membantu menurunkan jasad Ashraf ke liang lahad.
Kenyataan Anthony dalam bahasa Inggeris dan aksinya turut turun ke liang lahad dapat disaksikan dalam sejumlah program berita hiburan di pelbagai stesen TV Indonesia. - KitaReporters.com