Santai 02 Nov, 2019

JOM MANDI SUNGAI DI KAMPUNG PASIR PUTIH..

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
UNTUK mengisi slot percutian sama ada di dalam mahupun luar negara sudah tentulah anda akan mencari tempat-tempat menarik, memberi ketenangan, suasana aman, sekitaran bersih daripada pelbagai pencemaran termasuklah kawasan perkelahan serta rekreasi sesuai untuk santai.


J

Jalan masuk utama ke Kampung Pasir Putih, Kalumpang, Hulu Selangor yang terletak berhampiran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Tanjung Malim.


Hulu Selangor merupakan antara daerah di Selangor yang mempunyai banyak tempat perkelahan dan rekreasi berpotensi sebagai kawasan pelancongan menarik. Salah satunya ialah Kampung Pasir Putih dalam Mukim Kalumpang tidak jauh dari Pekan Kuala Kubu Baru.

Sesuai dengan keadaan alam semula jadinya yang indah dan menarik, kesegaran udara dan ketenangan serta kedamaian yang menjadi impian semua orang kampung, kampung ini bakal menjadi tumpuan ramai dalam tempuh jangka panjang tertentu pada masa hadapan. 

Bahagian sungai yang cetek dan tenang sesuai untuk aktiviti riadah dan mandi manda.


Perkampungan tersusun tradisonal ini diwujudkan melalui penempatan semula semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dan penduduknya berasal daripada Kampung Sabai.

Para penduduknya majoriti berketurunan dan bertutur dalam dialek Kerinci. Perkampungan ini yang di bawah tadbiran Pejabat Daerah Hulu Selangor merupakan kawasan dusun, getah dan kelapa sawit.

Buat masa ini, banyak resort dan homestay didirikan sama ada oleh syarikat-syarikat tertentu mahupun orang perseorangan di sekitar kampung berkenaan.

Airnya yang dingin dan alirannya sederhana memikat sesiapa sahaja untuk mandi manda.


Antaranya termasuklah Kalumpang Resort, Sri Damai Resort, Pasir Putih Resort, Refreshing Springs Resort, The Nahara Kalumpang, Kalumpang Farm, Adellia Hill Farm, Chalet Keluarga Sakri, Homestay Haji Raja & Puan Siti, dan Mashomestay.

Bagi para pencinta kawasan rekreasi dan perkelahan yang ingin bercuti dan menginap di kawasan ini boleh mendapatkan maklumat mengenai resort mahupun homestay dari pelbagai sumber sama ada dalam laman web, media sosial dan orang perseorangan kerana boleh dikatakan sentiasa dilanggan terutama pada hari-hari cuti. Tempat penginapan di sini kategorinya ada harga mewah, sederhana dan ekonomi, sesuai dengan tahap mahupun kelengkapan kediaman berkenaan.

Berkelah dan mandi manda merupakan antara aktiviti percutian keluarga bila berada di Kampung Pasir Putih, Kalumpang, Hulu Selangor.


Cabang Sungai Bernam dan Sungai Inki yang merentasi kawasan perkampungan ini menjadi salah satu tarikan utama orang ramai berkunjung untuk bercuti dan berkelah serta mandi sungai pada musim cuti hujung minggu atau cuti umum.

Penulis yang berkesempatan bercuti di perkampungan ini dan menghuni salah sebuah homestay berstatus ekonomi tetapi lengkap dengan kemudahan memasak dan peralatan televisyen baru-baru ini merasakan  ia sesuai untuk percutian keluarga, berkumpulan atau rakan-rakan sekerja.

Kampung Pasir Putih yang terletak berhampiran Lebuh raya Kuala Lumpur-Tanjung Malim mudah untuk sampai ke situ sama ada menggunakan pengangkutan awam termasuk keretapi atau kereta persendirian. 

Cumanya untuk sampai ke kawasan di mana tempat sesuai untuk aktiviti perkelahan, rekreasi dan mandi manda agak ke dalam sedikit, kira-kira lapan kilometer dari lebuh raya.

Antara penginapan di The Nahara Kalumpang di Kampung Pasir Putih.


Melalui kombinasi keindahan alam semula jadinya,kesegaran udara kampung, ketenangan daripada kesibukan, desiran aliran air sungai, bunyi kokok ayam, suara cengkerik, kicauan burung, bunyi monyet dan sebagainya merupakan aset penting yang perlu dijaga dan dibelai sebagai antara daya tarikan ke sini.

Kedinginan air sungainya menjadi igauan kepada sesiapa yang pernah mandi manda dan berkelah di kedua-kedua  sungai berkenaan. Selain kedudukannya yang strategik, sungai di sini juga landai dan berbatu-batu.

Adelia Hill Farm menyediakan penginapan untuk orang ramai bercuti.


Sesuai dengan keadaan muka buminya yang indah dan pesisir sungainya ditumbuhi pelbagai pokok bersaiz sederhana ia wajar dijadikan sebagai kawasan rekreasi dan perkelahan.

Salah seorang daripada pengusaha homestay di kawasan ini yang sempat ditemui Haji Raja memberitahu, untuk tidak menghampakan kalau nak bercuti di sini perlu membuat tempahan awal kerana orang ramai selalu datang sama ada cuti hujung minggu atau cuti umum, lebih-lebih lagi bila cuti panjang seperti perayaan Deepavali baru-baru ini mahupun cuti hujung tahun pada Disember akan datang.

Chalet Keluarga Sakri menyediaan penginapan dan sekitaran yang nyaman dan indah.


Kawasan homestay kendalian Haji Raja bersama Puan Siti serta Mashomestay yang diurus tadbir oleh Razali terletak 20 meter dari Sungai Inki dan cabang Sungai Bernam untuk aktiviti berkelah, mandi sungai mahupun riadah adalah tanah persendirian yang merupakan dusun, kebun getah dan kelapa sawit.

Homestay bertaraf ekonomi dengan kadar sewanya antara RM100 ke RM130 sehari semalam mengikut keluasan bilik selain kemudahan parkir. Turut disediakan kolam renang.

Bagi mereka yang menginap di Sri Damai Riverside merasakan suasana tenang,damai dan menyegarkan.


Haji Raja berkata, mereka yang datang ke sini kebanyakannya dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya dan Klang. Selain itu, ada juga mereka yang duduk di Ipoh, Pulau Pinang, Seremban dan Melaka.

Malahan pelancong dari luar negara seperti England, Korea, Jepun, China, Amerika, negara-negara Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Australia tidak ketinggalan sering berkunjung ke sini.

Beliau menasihatkan orang ramai yang datang bercuti di kampung tersebut supaya berhati-hati bila mandi manda, berkelah dan beriadah di kawasan sungai terutama sekarang musim hujan yang tidak menentu.

"Jangan leka daripada mengawasi anak-anak dan ahli keluarga, bimbang hujan lebat di hilir sungai yang boleh menjadikan aliran airnya terlalu deras dan paras ketinggian airnya juga meningkatkan," tegasnya.

Apa yang perlu, nasihatnya jika berlaku hujan elakkan daripada mandi manda, berkelah atau beriadah di kawasan-kawasab sungai untuk mengelakkan sesuatu tidak diingini berlaku.

Batu-batu sederhana besar bersama air sungai merupakan kombinasi menarik untuk aktiviti perkelahan dan percutian di Kampung Pasir Puth,Kalumpang.


Memandangkan Kampung Pasir Putih Kalumpang mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong daripada luar, Kerajaan Selangor melalui Pejabat Daerah Hulu Selangor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan perlu mencari jalan ke arah menjadikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan negara dan wajar dimasukkan dalam aktiviti kalendar pelancongan sama ada pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Sungai Inki yang mengalir tenang memberikan suasana damai bagi setiap mereka yang bercuti di Kampung Pasir Putih, Kalumpang.  


Bagi masyarakat setempat pula jadikanlah perkampungan anda sebagai salah satu kawasan yang sentiasa dikunjungi ramai sama ada untuk aktiiviti rekreasi dan perkelahan menarik di samping produk-produk asli tidak kira barangan kraf, hasil perusahan kecil dan sederhana (IKS) atau apa sahaja barangan boleh diketengahkan.

Bagi menjamin kelestarian Perkampungan Pasir Putih Kalumpang sebagai destinasi percutian menarik dan jadi tumpuan termasuk pelancong pada masa depan, semua pihak wajar bekerjasama ke arah menjayakannya dengan memelihara setiap khazanah alam sedia ada, di samping menambah baik kemudahan-kemudahan seperti wakaf untuk istirehat, tandas awam dan tempat membuang sampah.

Peliharalah keindahan dan kedamaian kawasan kampung serta sungai-sungai sedia ada daripada pelbagai pencemaran tidak diingini.

Salah sebuah penginapan yang sesuai untuk satu keluarga terdapat di Homestay milik Haji Raja dan Puan Siti yang terletak hanya 20 meter dengan kawasan perkelahan Sungai Inki.


Jalan masuk utama kekawasan Homestay milik Haji Raja dan Mashomestay kepunyaan Razali di Kampung Pasir Putih.


Homestay milik Haji Raja sentiasa mendapat tempahan pengunjung tidak kira cuti hujung minggu mahupun cuti umum.

2
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago