Politik & Negara 07 Nov, 2024

Israel bacul! Malu ngaku kalah kepada Hamas! Terus berperang walaupun ekonomi lumpuh! Hampir bankrap!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Sebahagian jemaah yang hadir mengikuti forum 1 Tahun Taufan Al-Aqsa: Apa Peranan Kita di Surau Ar-Raudhah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.


SEJAK 7 Oktober 2023, lebih 41,780 nyawa rakyat Palestin terkorban, ini tidak termasuk 10,000 jasad yang masih di bawah runtuhan bangunan. Dengan hampir 100,000 orang cedera sepanjang serangan Israel ke atas Gaza, masih tiada tanda-tanda segala peperangan itu akan segera berhenti.

Jika hukum adat, Hamas dan Briged Al-Qassam sudah lama dihapuskan kerana Gaza sudah lama dikepung dari semua aspek. Malah, Amerika Syarikat, Britain dan negara sekutu rejim memberikan bantuan yang sangat besar dari pelbagai aspek terutama persenjataan.

Tapi, pada 7 Oktober 2024, selepas setahun Gaza dihujani bom dan dimusnahkan, pejuang Hamas masih mampu melancarkan lima roket ke Tel Aviv selain menyerang hendap tentera musuh di utara Gaza dan tempat-tempat lain.

Seorang pakar ketenteraan yang mengupas isu ini di TV Al-Jazeera mengakui, serangan lima roket pejuang Hamas ke Tel Aviv itu memberi isyarat bahawa pejuang Palestin masih mampu berperang dengan rejim Zionis, walaupun mengalami korban yang besar selepas setahun.


Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Fauziah Hasan berkata, dalam tempoh setahun Taufan Al-Aqsa, Israel juga menyerang negara-negara lain yang menyokong perjuangan rakyat Palestin termasuk Lubnan dan Iran. 

Tentera Zionis menyerang penempatan pelarian warga Palestin terbesar di Lubnan, Kem En el-Hilwa yang terletak di Saida, bandar ketiga terbesar di Lubnan.  

Beliau berkata, serangan Israel ke atas Gaza ini bukan sekadar serangan melalui senjata, namun turut membabitkan serangan terhadap mental warga Gaza. Sejak 7 Oktober 2023, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan masalah kebuluran di Gaza semakin meruncing.

"Ini tidak termasuk laporan-laporan awal berkaitan kekurangan zat makanan, ketidakjaminan makanan, akses yang terhad kepada barang bantuan, sekatan perjalanan untuk barang-barang bantuan memasuki Gaza dan lain-lain lagi. 

"Dianggarkan 1.8 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. 

"Dan, laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC), sebuah sistem pemantauan kelaparan PBB pula menyebut bahawa hampir 1.1 juta warga Gaza terkesan dengan risiko “bencana ketidakjaminan makanan,” disebabkan kekurangan bekalan makanan yang melampau. 

"Ini akan membawa kepada kekurangan zat makanan terutama kanak-kanak, kebuluran dan kematian.

"Tapi umat Islam Palestin terus bertahan demi berjuang membebaskan negara mereka dan Masjid Al-Aqsa walaupun ramai masyarakat Kristian sudah meninggalkan Gaza kerana tidak tahan dengan kekejaman Zionis. Insya-Allah rakyat Palestin akan terus berada di Gaza dan sekitar Baitulmaqdis sehingga akhir zaman.

Dr Fauziah Hassan


"Saya pernah ditahan di penjara Israel ketika mengikuti Misi Kemanusiaan bersama kapal Women's Boat to Gaza (WBG). Kapal kami,  Zaytouna-Oliva bersama tiga anak kapal dan 10 aktivis wanita WBG ditunda tentera Israel di Pelabuhan Ashdod. 

"Walaupun hanya 24 jam di penjara Yahudi, saya dapat merasakan betapa mereka manusia tidak malu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri.

"Mereka menyekat bekalan dari luar termasuk air, makanan dan petrol, maksudnya tempat itu tiada apa-apa malah hospital tidak dibenarkan beroperasi. Jika enggan keluar, mereka akan bunuh sesiapa yang berdegil. Tujuannya, mereka mahu membangunkan kawasan itu dan menempatkan pendatang haram Israel yang kini menjadi pelarian dan tinggal di hotel selepas serangan 7 Oktober 2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum khas bertajuk "1 Tahun Taufan Al-Aqsa, Apa Peranan Kita?" di Surau Ar-Raudhah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor. Turut hadir, Pengerusi Surau Ar-Raudhah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor Kamarol Zaman Saban dan Bendahari Pertubuhan Ikram Malaysia cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor, Husni Azam Yusof.

Menurutnya, dengan penindasan Israel yang melampaui batas kemanusiaan, beliau sedih masih ada mempertikai serangan pada 7 Oktober 2023. Yang terkejutnya, orang Islam sendiri yang kata macam itu. 

"Tapi, kita usah terikut-ikut dengan mereka kerana PBB sendiri menyatakan serangan itu tidak akan berlaku secara tiba-tiba tapi ia hasil provokasi dan tindak tanduk Israel yang berlaku kejam terhadap warga Palestin.

"Bayangkan bukan sahaja Masjid Al-Aqsa dicemari kesuciannya tapi mereka turut membunuh orang Palestin yang bersolat di masjid suci itu. Tak kejam lagi ker? 

"Jadi serangan 7 Oktober itu sudah membuka mata masyarakat antarabangsa untuk melihat betapa ganasnya manusia bernama Yahudi. "Serangan itu satu bentuk penentangan Palestin melawan penjajah yang merampas tanah mereka. 

"Gaza ini sudah 17 tahun dikepung, jadi serangan 7 Oktober 2023 itu memberitahu dunia, Gaza masih menderita dan masyarakat antarabangsa perlu berbuat sesuatu untuk membantu. 

"Syukur, sekarang dunia sudah tahu tembelang Israel dan banyak negara yang dulu tidak menyokong Palestin termasuk di Eropah sudah membuat pusingan-U.


Pameran perjuangan rakyat Palestin di Gaza turut diadakan sempena forum 1 Tahun Taufan Al-Aqsa: Apa Peranan Kita?


"PBB sendiri sudah mengeluarkan arahan secara terbuka menyatakan apa yang dilakukan oleh Israel adalah sesuatu yang salah dan melanggar piagam antarbangsa. Dan, mereka meminta pencerobohan itu dihentikan dan mendesak pendatang haram Yahudi keluar daripada tanah Palestin.

"Serangan 7 Oktober juga meningkatkan demonstrasi pelajar universiti secara besar-besaran di seluruh dunia setiap hari, bukan sahaja di negara Islam tapi di Amerika Syarikat dan London. 

"Bayangkan benda yang kita tidak pernah fikir. Di Amerika Syarikat misalnya golongan pelajar mendesak kerajaan mereka menghentikan menghantar bekalan ketenteraan kepada Israel. Itu suatu kejayaan besar!

"Di Israel sendiri, warganya pun rasa tidak selamat tinggal di negara haram itu, buktinya ramai meninggalkan Israel dan kembali ke negara asal. 

"Mereka tidak yakin kerajaan mampu menyediakan keselamatan jika tinggal di negara haram itu. Lebih dahsyat cerdik pandai di universiti Israel sendiri memberi pandangan bahawa serangan 7 Oktober adalah tanda kehancuran dan tamat riwayat negara Yahudi itu.

"Ramai warga Israel enggan berperang di Gaza kerana tahu ia hanya menempah maut kerana mereka tahu kekuatan Hamas yang tidak takut mati. Ramai yang serik dan sanggup membunuh diri daripada mendapat panggilan ke medan peperangan melawan Hamas

"Peristiwa itu menjadikan umat Islam bersatu dalam satu kesatuan yang kuat termasuk negara-negara Arab yang dulunya tidak pernah bersetuju di antara satu sama lain. 

"Ia juga membantut usaha normalisasi untuk menubuhkan sebuah negara Israel yang penduduknya 100 peratus Yahudi. Itu matlamat mereka, tidak hairanlah mereka menindas dan mengusir warga Palestin keluar dari Gaza," katanya lagi. 


Sebahagian muslimat Surau Ar-Raudhah dan pelajar Akademi Tahfiz Quran Al-Fawwaz bergambar kenangan dengan Dr Fauziah Hassan.


Dr Fauziah berkata, perjuangan rakyat Palestin membebaskan bumi mereka berlaku sejak puluhan tahun malah ramai yang syahid tapi semangat itu diteruskan generasi muda kerana yakin janji Allah, kemenangan akan berpihak kepada mereka.

"Pemimpin-pemimpin Palestin ini bukan sebarangan orang, mereka kuat pegangan agama, berpendidikan tinggi termasuk belajar di Mesir, Syria dan Eropah, bukannya bodoh!

"Dalam poket pemimpin mereka sentiasa ada al-Quran, maksudnya mereka sentiasa membaca dan menyebut ayat-ayat suci setiap masa. Mereka tahu kekuatan mereka adalah al-Quran, justeru mereka sudah menghafal kitab suci itu sejak usia kanak-kanak lagi.

"Saya sering mendapat pertanyaan, apakah kekuatan orang Palestin ini sehingga masih bertahan walaupun dibantai setiap hari?

"Pertama, mereka membaca dan menghafal al-Quran setiap hari dan faham apa yang diceritakan dalam kitab suci itu. Ini menyebabkan mereka yakin dengan Allah. Apa yang berlaku adalah ujian Allah untuk melihat kesabaran hamba-Nya kerana di penghujungnya ada hikmah besar diberikan kepada mereka yang bersabar.

"Bayangkan dalam keadaan serba kekurangan, masjid yang musnah, tiada bekalan air dan makanan mencukupi, mereka masih menunaikan solat jemaah dan membaca al-Quran. Malah tiada sempurna hidup mereka setiap hari tanpa membaca al-Quran, seperti satu cara hidup dan budaya masyarakat Palestin. 

"Di negara yang aman seperti Malaysia pun belum tentu dapat melakukan seperti mereka!," katanya.     


Pengunjung yang hadir sempena Forum 1 Tahun Taufan Al-Aqsa: Apa Peranan Kita turut berpeluang menderma bagi membantu penderitaan rakyat Palestin di Gaza.


Mengenai ramalannya bila peperangan itu akan tamat dan bagaimana dengan masa depan rakyat Palestin nanti, beliau berkata, semua orang mahu peperangan ini dihentikan serta merta. 

Malah, beliau banyak membaca analisis mengenai perkara itu, ada kata lama lagi tapi dia berpendapat, Israel tidak akan menghentikan peperangan ini selagi belum merasakan diri mereka menang.

"Saya rasa apabila Israel merasakan mereka menang atau boleh memberitahu rakyat sudah memenangi peperangan itu, baru mereka akan menerima cadangan gencatan senjata. 

"Sekarang nak beritahu apa, tahanan pun tidak dapat dibebaskan hidup-hidup dan Hamas pun masih terus memberi tantangan walaupun dua pemimpin mereka dibunuh.

"Tapi, analisis yang saya baca, jika terus berperang, mereka akan menanggung kerugian terlalu besar dan tidak mungkin dapat bangun seperti sebelumnya. 

"Dari segi ekonomi, pelabuhan dah lumpuh, tenaga pekerja sudah tiada kerana dikerah untuk berperang. Mereka ini "under service" kepada negara, bukan askar ori dan kerajaan pula perlu menanggung keluarga pekerja yang dikerah berperang. Jadi, semua aspek mereka kalah!

"Justeru, mereka cuba membawa Iran dalam kancah peperangan ini untuk menarik sokongan negara luar kepada mereka. Jika Iran terbabit, pasti negara-negara di Eropah dan Amerika Syarikat akan menyokong mereka. Itu matlamat Israel. 

"Tak hairanlah Amerika Syarikat dah "warning" jika nak serang Iran pun, usah musnahkan loji nuklear dan kilang memproses minyaknya.  Itulah strategi peperangan mereka!

"Mereka tahu ekonomi mereka sudah hampir lumpuh dan menjadi negara "pariah" pada peringkat dunia tapi kerana kesombongan dan mahu membuktikan boleh memenangi peperangan ini, mereka enggan menerima gencatan senjata. 

"Insya-Allah dengan doa umat Islam di seluruh dunia, Israel akan kalah, malah sekarang pun mereka sudah kalah kerana dikecam sebahagian besar masyarakat antarabangsa. Sepatutnya mereka malu! 

"Sekarang pun banyak negara sudah beralih kepada BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global. Selepas ini orang dah tak hormat kepada Amerika Syarikat. Malah, dalam BRICS pun ada perbincangan untuk menukar undang-undang lapuk dalam PBB yang tidak menguntungkan negara-negara kecil.

"Mereka mahu kuasa veto itu lebih adil bukan seperti sekarang yang hanya dimiliki negara kuasa besar. Selain itu, ada usaha-usaha untuk mengeluarkan Israel dari PBB. 

"Tapi, saya mengharapkan OIC memainkan peranan itu tapi kita pun tahu pertubuhan itu tidak boleh berbuat apa-apa, memang mengecewakan!

"Bagi saya, jika peperangan ini tamat, banyak negara berebut-rebut mahu membantu penduduk Palestin terutama di Gaza. Malah, kebanyakan NGO pun sudah berbincang termasuk MyCare. 

"Kami tunggu saja gencatan senjata, hari ini henti peperangan, kita akan masuk secepat mungkin untuk beri bantuan. Malah, kami sudah membawa masuk 5,000 ayam segar ke Gaza di sebalik banyak sekatan Israel. Alhamdulillah!," katanya.


Ustaz Ahmad Firdaus Kadir


Sementara itu, Imam Surau Ar-Raudah, Ustaz Ahmad Firdaus Kadir, berkata bagaimana kita mahu mengalahkan satu bangsa yang boleh melakukan sesuatu yang hebat dalam keadaan sukar. 

Contohnya, seorang pelajar di Gaza boleh  menyiapkan tesis PhD walaupun berada dalam keadaan peperangan dan runtuhan bangunan. Bukan calang-calang tapi tapi memang hebat! Cerita itu dikongsi kawannya, seorang pensyarah di UUM.

"Bayangkan kebanyakan pejuang Hamas yang berperang dan mati syahid berusia 50 hingga 60 tahun. Bagi mereka, umur sekadar angka tapi yang penting semangat untuk berjuang dan mengangkat senjata demi agama, bangsa dan negara.

"Saya mahu menyebut nama ini iaitu Yusuf Saqr Abu Rabee’. Ketika dalam peperangan, dia masih menanam pokok untuk dijadikan makanan kepada penduduk Palestin. Pelik kan? 

"Tapi, itu yang diajarkan oleh Nabi SAW, menjadi Muslim bukan sekadar solat tapi mengimarahkan dunia. Yusuf Saqr bagaimanapun syahid ketika serangan udara Israel di Beit Lahia.      

"Kita perlu ambil contoh dan teladan warga Palestin. Di Malaysia ni saya nampak kita jarang menggunakan potensi diri, malah lebih banyak mengkritik tapi jarang menghasilkan sesuatu yang baik. 

"Umat Islam lebih berbangga menjadi pengguna tapi bukan pengeluar atau pembuatan. Jangan terlalu salahkan orang lain jika kita tertinggal tapi salahkan diri atau bangsa kita sendiri! 

"Contoh kedua ialah insan bernama Husam Ali Alaqra, seorang jurutera. Dalam keadaan Gaza yang terkepung sebelum serangan 7 Oktober 2023 lagi, dia mampu menghasilkan batu batan daripada sampah sarap. Bayangkan betapa hebat dan pintarnya warga Palestin. 

"Ini yang terjadi ketika Nabi SAW bersama para sahabat, lalu Baginda bertanya apa yang boleh dilakukan dengan bangkai di depan mereka? Para sahabat menjawab, inikan bangkai, apa yang boleh kita buat? 

"Tapi, Nabi SAW memberitahu, memang daging bangkai tidak boleh dimakan tapi kulitnya boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan. Kita perlu berfikir di luar kotak dan bukan menjadi manusia jumud.


Tetamu VIP dan AJK Muslimat Surau Ar-Raudhah bergambar kenangan bersama Dr Fauziah Hassan dan Ustaz Ahmad Firdaus Kadir.


"Saya mahu sentuh sedikit mengenai permainan media antarabangsa yang menggambarkan Gaza sebagai bumi tanpa penduduk.

"Tapi, hakikatnya penentangan terhadap Zionis bukan saja daripada umat Islam tapi bangsa Yahudi pun bangun menentang malah ada yang sanggup masuk penjara semata-mata enggan ke Gaza untuk berperang dengan Hamas.

"Kehebatan orang Palestin mereka bukan saja hafal al-Quran di masjid tapi ia budaya mereka. 

"Saya juga mahu mengambil contoh Khalifah Umar Abdul Aziz. Ketika kecil dihantar belajar dengan ulama besar, Shalih bin Kaisan al-Yamani. 

"Pada suatu hari khalifah lewat hadir solat dan apabila ditanya gurunya, dia memberitahu kelewatan itu kerana mahu membetulkan rambutnya supaya kemas untuk bersolat. Lalu, gurunya menasihatkan Umar membotakkan rambutnya. Ini yang patut kita jadikan teladan!

"Bekas Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin pernah berkata, jarang bangsa Yahudi dapat memerintah melebihi 80 tahun, jadi pusingan atau zaman mereka untuk jatuh semakin hampir. 

"Ini adalah sumpahan yang semakin dekat. Jika ini menjadi kenyataan, bersiap sedialah kita untuk menunaikan solat jemaah di Masjid Al-Aqsa.      

"Ada juga orang bertanya saya, tidak cukupkah pengorbanan rakyat Palestin yang kini melebihi angka 42,000 orang, tapi saya mahu katakan begini. 

"Jika kita membaca sejarah, kita tahu sejuta Algeria rakyatnya terkorban sebelum negara itu merdeka. Begitu juga berapa ramai rakyat Vietnam terkorban sebelum utara dan selatan bersatu menjadi sebuah negara.

"Itulah harga yang mereka bayar dan sebagai Muslim kita tidak rugi apa-apa kerana jika terkorban kerana mempertahan negara dan agama, kita mati syahid, dan janji Allah adalah syurga!," katanya. - KitaReporters

17
14
0
10
0
You will be interested