KECINTAAN Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap tulisan jawi dan seni kaligrafi Islam tidak perlu diperdebatkan sebagai isu perkauman atau politik. : KitaReporters.com
Tunku Azizah melalui ciapan dalam Twitter peribadi baginda bertitah, perkongsian baginda mengenai tulisan jawi adalah dari sudut keindahan tulisan itu sendiri yang perlu dihargai setiap insan.
"Seseorang itu tidak perlu menjadi Muslim untuk menghargainya. Tiada rasis kerana saya bercakap mengenai keindahan tulisan jawi dan seni Islam.
"Saya juga tidak pernah membincangkan soal politik di Twitter.
"Saya terpesona apabila melihat orang menulis seni khat atau Italic dan juga Mandarin. Atau orang India menulis Tamil, orang Siam dengan tulisan Siamnya.
"ABC itu universal dan global tetapi kita juga perlu pandai tulis cara kita. Tambahkan ilmu dan kita tidak akan rugi," titah baginda dalam media sosial itu pada Rabu (25/12/2019) lalu.
Dalam masa yang sama baginda menyeru agar tulisan jawi dimartabatkan kerana ia adalah satu kebanggaan orang Islam yang perlu dipertahankan agar tidak lapuk ditelan zaman.
"Jom kita pergi ke Perpustakaan Negara Malaysia... lihat sendiri kecantikan tulisan jawi...revival of tulisan jawi should be our pride.
"Satu bonus apabila menguasai tulisan jawi kerana akan dapat membaca al-Quran dengan lancar," titah baginda.
Hakikatnya, jawi adalah seni kaligrafi yang bukan senang untuk menulisnya jika tidak dipelajari dan seterusnya dipraktikkan dari semasa ke semasa.
Sama seperti tulisan Cina yang memerlukan berus khas untuk menulisnya. Tidak semua yang boleh membaca tulisan-tulisan ini mampu menulisnya dengan baik.
Dalam ciapan terbaharu baginda hari ini (27/12/2019), Tunku Azizah mendoakan agar Malaysia akan terus aman, sentosa, makmur dan diberkati Allah SWT dengan mendapat rahmat serta terpelihara dari segala perkara yang tidak baik. - KitaReporters.com