BENARLAH kata pepatah yang menyatakan "Tangan Yang Menghayun Buaian Itu Dapat Menggoncang Dunia" apabila dibuktikan oleh dua wanita rakyat Malaysia yang mendapat perhatian di luar negara. : KitaReporters.com
DUA wanita hebat dari Malaysia... Graduan Universiti Wisconsin Madison, Amerika Syarikat, Lisa Nur Marini Mohd Kamal (kiri) dan doktor di United Kingdom (UK), Farah Roslan cipta nama di luar negara.
Sejak beberapa hari lalu, tular video yang memaparkan seorang gadis Malaysia menyampaikan ucapan pada satu majlis konvokesyen di Universiti Wisconsin Madison, Amerika Syarikat.
Lisa Nur Marini Mohd Kamal, 22, terpilih mewakil graduan untuk berucap di hadapan kira-kira 6,000 tetamu termasuk pelajar yang videonya tular melalui YouTube Madison Campus Connection.
Sehingga kini, video tular itu mendapat tontonan lebih 75,000 orang dan merima pujian daripada warganet luar negara dan rakyat Malaysia.
Dalam ucapan itu, Lisa Nur Marini berkata, sebagai rakyat Malaysia bukan mudah bagi dirinya untuk mendapat peluang belajar di universiti itu dan terpaksa menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer termasuk berhadapan dengan masalah lain.
Lisa Nur Marini Mohd Kamal diberi penghormatan untuk berucap pada majlis graduasi yang dihadiri kira-kira 6,000 orang.
Sebaik memulakan ucapan Lisa mendendangkan sebuah lagu Broadway muzikal popular, Hamilton yang dijadikan sebagai motivasi untuk beliau menempuhi hari-hari sukarnya untuk bergelar sebagai seorang graduan.
Beliau berkata, ketika berada pada tahun kedua, beliau menghadapi beberapa kesukaran sehingga hilang motivasi untuk menamatkan pengajian.
Lisa yang dilahirkan di Amerika Syarikat sewaktu ibu bapanya melanjutkan pelajaran di sana, dibesarkan di Kuala Lumpur dan menerima tajaan biasiswa Petronas bagi melanjutkan pelajar di universiti berkenaan.
Beliau yang mengambil jurusan Geologi sebelum ini pernah dianugerahkan Biasiswa Junior Lowell R Laudon Cemerlang dan anugerah “On To the Future” dari Jabatan Geosains dan Persatuan Geologi Amerika Syarikat.
Sementara itu, bagi seorang doktor rakyat Malaysia yang berkhidmat di United Kingdom (UK), Farah Roslan, idea memperkenalkan tudung steril pakai buang bagi kegunaan dalam dewan bedah diterima pakai hospital itu. Tudung steril pakai buang pertama di dunia itu bebas dari kuman dan digunakan kakitangan di dalam bilik pembedahan bagi mengelakkan dari sebarang jangkitan semasa pembedahan.
DOKTOR rakyat Malaysia, Farah Roslan (kiri) yang berkhidmat di United Kingdom (UK) bersama seorang kakitangan hospital.
Memetik laporan BBC, Farah mengutarakan idea itu ketika menjalani latihan sebagai pelajar perubatan di University Hospital of Derby dan Burton NHS Trust.
Farah berkata, idea itu timbul berikutan kebimbangan jangkitan kuman berkaitan dengan tudung yang pakainya sepanjang hari ketika berada di bilik pembedahan.
Beliau yang bertugas di Lincolnshire, berkata beliau tidak merasa selesa menggunakan tudung sama sepanjang hari kerana dikhuatiri dijangkiti kuman.
"Saya mencari idea untuk menghasilkan sesuatu yang baharu dengan mengadakan ujian bagi membantu wanita berhijab dan meraka tidak sabar untuk melihat kajian itu mendapat sokongan dan diterima pakai" katanya.
Sementara itu, pakar bedah Gill Tierney yang juga mentor kepada Farah memberitahu, idea tudung itu adalah pertama kali diutarakan di hospital berkenaan.
Menurut beliau, sebelum ini isu sedemikian tidak diberi perhatian, malah tidak pernah ditimbulkan.
"Kos menghasilkan tudung itu juga tidak tinggi dan berharap akan memberi impak besar kepada semua pihak," katanya.
Difahamkan, University Hospitals of Derby and Burton NHS Trust akan mula menggunakan tudung itu bermula awal Disember ini. - KitaReporters.com
Farah Roslan berjaya mencipta tudung steril pakai buang pertama di dunia bagi kegunaan kakitangan dalam dewan bedah