Pesona 17 Dec, 2019

BERNILAI WALAU HARTA SEKADAR BASIKAL TUA

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this
MASIH ingatkah lagi kepada satu lagu nyanyian Allahyarham Sudirman mengenai sebuah basikal tua? Basikal tua mungkin dianggap sebagai barang lama tidak berharga. Namun bagi Zaidan Abd Wahab, 58, yang memiliki pelbagai jenis basikal lama, ia adalah harta antik yang sangat bernilai. : KitaReporters.com

ZAIDAN bangga bersama basikal Royal Enfield.


  • "Aku hidup serba sederhana
  • Tiada harta tiada rupa
  • Hanya yang ada budi bahasa
  • Harta sekadar basikal tua." (Lagu Sudirman Haji Arshad)

Pelbagai jenis basikal lama Zaidan miliki. Jenama yang sudah pupus di pasaran terdapat dalam koleksinya. 

Kebanyakannya adalah basikal import yang sangat popular pada zaman kegemilangannya pada tahun 50-an seperti Raleigh, Humber, Hercules dan lain-lain.

Pada zaman British, basikal jenis inilah yang banyak digunakan oleh ‘orang putih’, termasuk pegawai-pegawai kerajaan. Ia dianggap sebagai basikal mewah.

Harganya memang mahal ketika itu dan hanya mampu dimiliki oleh golongan ekspatriat atau orang kaya. Kini setelah menjadi basikal antik atau basikal klasik, harganya juga bertambah mahal sehingga mencecah ratusan atau ribuan ringgit.

BASIKAL Raleigh ini bukan baru dibeli tetapi basikal lama yang dibaik pulih dan disembur cat baru oleh Zaidan.


BASIKAL Humber, juga jenama ternama dalam koleksi Zaidan. 


Ketika ditemui di kediamannya di Banggol Pasir, Air Kuning, Taiping baru-baru ini, Zaidan memberitahu, minatnya mengumpul basikal lama bermula pada 2002 berpunca daripada sakit belakang yang dihidapinya.

“Doktor menasihatkan, salah satu cara membantu melegakan sakit belakang ialah dengan melakukan exercise mengayuh basikal,” kata beliau yang juga seorang pendidik di sebuah sekolah menengah di Jelutong, Taiping.

Ketika berkunjung ke kedai-kedai basikal sekitar Taiping untuk mencari basikal yang sesuai, beliau melihat di kedai-kedai ini ada juga menjual basikal-basikal tua.

Lantas timbul minatnya untuk membeli  dan mengumpul basikal antik sebagai hobi baru.

Bermula dari sebuah basikal, beliau menambah koleksinya satu persatu. 

Selain di kedai basikal, beliau turut membeli daripada kawan, kedai besi buruk dan online.

BASIKAL lama dalam garaj ini menunggu untuk dibaik pulih.


RANGKA basikal dileraikan untuk dibaik pulih.


SEBUAH lagi basikal lama di dalam garaj Zaidan menunggu untuk dibaik pulih.


Basikal-basikal tua ini ketika dibeli ada yang dalam keadaan elok dan ada pula yang perlu diperbaiki dan digilap semula untuk mengembalikan ia seperti keadaan asal.

Menurut  Zaidan, daripada banyak basikal yang beliau beli, ada yang dijual semula setelah diperbaiki dan digilap cantik. Sehingga kini, beliau telah menjual 20 basikal pelbagai jenis.

Namun bukan semua basikal dijual semula. Basikal yang benar-benar  disayangi dan amat sukar didapati di pasaran tetap kekal beliau simpan sebagai kenangan dan koleksi serta untuk kegunaan sendiri. 

Nilai sentimental basikal-basikal tersebut sangat tinggi baginya.

ZAIDAN tekun membaik pulih basikal dalam garajnya.


PERALATAN membaik pulih basikal.


SEPERTI baharu... basikal Raleigh yang sudah berkilat dibaik pulih oleh Zaidan.


“Sehingga kini masih ada 10 buah basikal dalam simpananan, kesemuanya merupakan jenis yang popular dan telah pupus dalam pasaran,” kata beliau.

Basikal-basikal tersebut berjenama Raleigh, Humber, Rudge, Phillips, Royal Enfield, Hopper, BSA, Ray, Hercules, dan Sunbeam.

Juga terdapat sebuah basikal antik jenis Raleigh yang biasa digunakan oleh posmen suatu ketika dahulu.

Nilai basikal ini juga berbeza menurut jenis dan keadaan fizikal basikal. Namun menurut Zaidan, ia dianggarkan bernilai antara RM250 hingga RM3,000 sebuah.

BASIKAL berprestij... Raleigh (kiri) dan Humber.


ZAIDAN menunjukkan basikal Raleigh yang biasa digunakan oleh posmen suatu ketika dahulu.


Beliau memberitahu, basikal miliknya bukan sahaja untuk koleksi tetapi beliau tunggangi silih berganti sambil beriadah pada waktu lapang.

Zaidan juga menjadi ahli Kelab Basikal Klasik Banggol Pasir yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti untuk ahli-ahlinya, termasuk berkayuh merentas daerah dan negeri.

Antaranya menyertai gimik Le Tour De Langkawi di Taiping, menyertai sambutan Hari Kemerdekaan daerah Taiping, menyertai pameran basikal klasik daerah Taiping, berkayuh Taiping-Pulau Pangkor, Taiping-Alor Setar dan Taiping-Langkawi.

Kelebihan Zaidan ialah beliau memiliki kemahiran ‘merawat’ basikal lama, termasuk memperbaiki dan mengecat semula sehingga berkilat seperti basikal baharu.

Menariknya,ilmu ini tidak dipelajari di mana-mana tetapi atas usaha sendiri melalui proses ‘cuba dan silap’ (trial and error) sehingga beliau kini dianggap mahir dalam kerja-kerja memulihara basikal lama.

TEMPAT duduk basikal Raleigh yang dipesan khas dari Britain.


LAMPU asal pada basikal Humber.


BASIKAL dahulu dilengkapi dengan pam sebagai persediaan jika tayar kurang angin.


Memandangkan kebanyakan basikal klasik dalam simpananya asalnya adalah basikal import dari Britain, barang ganti bagi basikal-basikal tersebut juga ada yang perlu dipesan dari negara itu.

“Ini bertujuan mendapatkan barang ganti asli (original). Saya mahu basikal yang dibaik pulih kembali seperti rupa bentuk asal,” kata Zaidan.

Antara barang yang beliau pesan dari luar negara ini ialah tempat duduk (seat) basikal. Barang ganti ini nampak simple sahaja. Tetapi harganya ratusan ringgit, malah mencecah lebih seribu ringgit.

Selain itu, katanya, ada juga barang ganti diperoleh di pasaran tempatan, atau bertukar barang dengan rakan, menurut keperluan masing-masing.

Ditanya sama ada beliau bersedia menjual koleksi 10 basikal yang ada sekarang, Zaidan memberitahu: “Saya tidak akan jual. Saya sangat sayang kerana basikal-basikal ini sudah tidak ada lagi di Malaysia,” katanya. - KitaReporters.com

'DYNAMO' basikal untuk memberi tenaga mengidupkan lampu basikal apabila dikayuh waktu malam.


BASIKAL dahulu dilengkapi dengan gear untuk memilih kelajuan.


BERUS gelung bukan sahaja mencantikkan tetapi berfungsi membersihkan besi tayar.

20
3
0
0
0
You will be interested

BAYI MAUT DALAM KERETA: ELAK KUTUK, BERI DOA

PADA 17 Februari 2020, kita semua digemparkan dengan kematian seorang bayi 9 bulan di dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Indera Mahkota, Kuantan

DIBERI AMARAN!! SERONOK YANG BAWA PADAH

Wan Amirul Naim Wan Abdul Ajik, 18, dari Macang, Kelantan lemas selepas mangsa ditarik arus deras ketika mandi manda di pusat perkelahan Lata Kolam, Hulu Besut
Mohammad Ishak in Pesona 4 years ago

[VIDEO] BARANG CURI DISOROK DI DALAM SELUAR

Seorang mak cik 'kantoi' mencuri di sebuah pasar raya. Beliau mencuri banyak barangan premis yang dianggarkan berjumlah RM300, yang disorok di dalam seluarnya
Nur Syamila Kamarul Arefin in Pesona 4 years ago

"ABANG RINDU ABAH"... RINDU SI ANAK SYURGA

Muhammad Nazren Firdaus, atau Abang, seorang anak autisme yang telah kehilangan ayahnya pada April 2019. Setiap Jumaat Abang akan ke pusara untuk berjumpa abah
Roslan Rusly in Pesona 4 years ago

SEDIHNYA! LAGI DOKTOR JADI KORBAN COVID-19

LIU ZHIMING, 50, iaitu Pengarah Hospital Wuhan Wuchang, China menjadi mangsa korban terbaru wabak COVID-19 dalam kalangan petugas perubatan
Fauzan Uda Ahmad in Pesona 4 years ago