KASIH ibu bapa paling utama, namun kasih Allah SWT mengatasi segala-galanya. Ketika Abby Abadi sedang menunaikan umrah di kota suci Mekah, selebriti ini menerima khabar duka kepergian anaknya. : KitaReporters.com
Anak Abby, Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal meninggal dunia, malam Sabtu (7/12/2019) lalu, akibat kompilasi hati yang dideritainya sejak dua bulan lalu.
Abby berkongsi khabar duka itu melalui posting dalam Instagramnya, https://www.instagram.com/abby_abadi112/.
"Baby D, tarik mama (dan) abah masuk syurga nanti ya sayang.
"Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal telah pergi meninggalkan kami. Maafkan mama (dan) abah sayang," katanya dalam perkongsian tersebut.
Muhamad Danial dilahirkan, pada 27 September lalu, dalam keadaan pramatang ketika kandungannya baru memasuki 23 minggu dengan berat cuma 535 gram.
Bayi lelakinya dilahirkan secara pembedahan selepas mengalami ‘turun darah’ disebabkan tekanan darah tinggi.
Bekas anggota kumpulan Elite dan bintang utama drama kepolisan TV "Gerak Khas" ini mendirikan rumah tangga kali ketiga pada 14 Ogos 2015 dengan Muhammad Faizal dan turut mempunyai dua anak angkat,
Menerusi perkahwinan terdahulu bersama pelakon Norman Hakim, Abby dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11. Mereka bercerai pada 2008.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manam kemudian berkahwin dengan Mohd. Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013, tetapi cuma bertahan 11 bulan.
Pengkebumian Muhammad Danial dilakukan di Tanah Islam AU, Lembah Keramat, Kuala Lumpur pagi semalam (8/12/2019).
Abby turut berkongsi video terakhir bersama Muhammad Danial sebelum dia berangkat menunaikan umrah bersama suami pada 5 Disember lalu. - KitaReporters.com