MELALUI pengalaman dan kebiasaan bergelumang dengan suatu bahan jualan tidak hairanlah bagaimana seseorang itu dapat mengenal pasti baik mahupun eloknya barangan jualan berkenaan. : KitaReporters.com
Syefrile Neldi menyusun paket-paket nangka madu yang sudah siap diproses dengan teliti dalam usaha menarik minat orang ramai di kedainya di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Bukit Serdang di Persiaran Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Begini jugalah halnya dengan seorang penjual nangka madu yang sudah biasa atau bak kata orang "sudah lali" dengan perihal buah kegemaran orang ramai terutama masyarakat Melayu dan Cina.
Bagaimana pun tidak kurang juga kaum-kaum lain menggemari buah berasal daripada India dan Asia Tenggara yang dikenali dengan nama sainsnya, Artocarpus Heterphyllus atau A. Heterophylla.
Syefrile Neldi, 50, merupakan antara ratusan penjual buah nangka khsususnya di Selangor yang gigih menjalankan perniagaan, sekalipun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan rintangan.
Moto adalam melariskan perniagaan nangka madu beliau ialah Nangka Madu Dijamin Manis terbentang pada bunting (banner) yang dipasang dikanopi outlet jualannya.
Inilah teknik penjualan nangka yang dilakukan oleh Syefrile Neldi dalam usaha melariskan jualan di outletnya.
Beliau yang sudah kira-kira 20 tahun bergelumang dengan perniagaan nangka dalam pertemuan pada Ahad, 19 Januari 2020 di outket jualannya di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Bukit Serdang di Persiaran Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor menceritakan jerih perit mengendalikan perniagaan berkenaan.
"Kadangkala dalam perniagaan jenis ini terpaksa menghadapi masalah bekalan terutama dari jenis nangka madu yang terpaksa bergantung kepada keadaan cuaca.
"Jika panas keterlaluan buah-buahnya sangat kurang. Di mana ada masanya bahan tersebut berkurangan hingga sukar memperolehi bekalan.
"Kalaulah keadaan ini terjadi terpaksalah berehat berniaga sementara menunggu bekalan pulih," ujarnya.
Untuk tarikan pembeli selain teknik penyusunan dan cara menggantung paket-paket buah nangka madu, bunting atau banner turut dipasang.
Syefrile yang sudah menjalankan operasi perniagaan di kawasan ini sejak 12 tahun lalu memperolehi bekalan nangka madu segar melalui pembekal di Mantin, Negeri Sembilan, di samping daripada kebunnya sendiri yang diwarisi daripada neneknya yang juga terletak di kawasan Mantin.
Ayah kepada enam orang anak dan yang bungsu masih di prasekolah memberitahu, kebelakangan ini jenis nangka yang dijual oleh para peniaga termasuklah beliau ialah nangka madu.
Kalau ada pun dari jenis lain terlalu berkurangan.
Katanya, memang ada nangka jenis kampung tetapi kebanyakan dieksport keluar negeri termasuklah Hong Kong, Taiwan, Singapura dan beberapa negara lain.
Memanglah, menurutnya pada permulaan menceburi perniagaan jualan nangka lingkungan tahun 2000 dahulu, nangka yang ada hanyalah jenis buah nangka kampung itulah bekalan sedia ada.
Belum ada pelbagai jenama nangka dengan berbagai variati pada masa itu.
"Jauh berbeza dan berlainan dengan keadaan sekarang dengan berbagai variati baharu buah nangka dihasilkan melalui kajian sama ada oleh pihak MARDI atau Jabatan Pertanian dengan struktur isinya lebih tebal serta rasa manis.
"Malahan pembeli juga lebih menggemari jenis nangka madu yang manis serta segar," ujarnya yang tinggal di Taman Megah, Cheras, Selangor.
Syefrile Neldi menjalankan perniagaan menjual nangka selama kira-kira 20 tahun.
Dalam pertemuan itu penulis diberitahu bahawa nangka madu mempunyai berbagai jenis dan variati dan warna isinya juga berbeza.
Malahan melalui warna isi buahnya boleh menentukan kemanisan rasa jenis nangka berkenaan.
Antara jenis-jenis variati nangka madu yang popular dan mendapat perhatian pembeli sekarang termasuklah jenis variati J33, Same Darby, Mastura dan Jack Port.
Daripada pengalaman dan tempoh masa yang agak lama melibatkan diri dalam perniagaan jualan nangka ini, beliau secara tidak langsung mampu menentukan nangka yang dibekalkan pembekal mempunyai mutu dan nilai tinggi, disukai ramai serta rasa enak lagi manis.
Malahan ada jenis nangka madu yang rasanya terlalu manis.
Sebelum menjalankan perniagaan di kawasan ini, Syefrile pernah berniaga di beberapa tempat antaranya termasuklah di Ampang, Cheras dan beberapa kawasan lainnya.
Dengan bermodalkan RM500 beliau memulakan perniagaan menjual buah nangka dan waktu itu, peruntukan berkenaan dikategorikan sebagai modal agak besar.
Kalau sekarang perlu berkali ganda modalnya kerana harga buah nangka pun sudak melambung naik, kata Syefrile.
Jualan nangka madu Syefrile Neldi sering menjadi tarikan orang ramai yang melalui jalan berkenaan setiap hari.
Beliau menjual nangka madu dalam bentuk paket mengandungi antara lima atau enam ulas bergantung kepada saiz pada harga RM3.00 satu paket.
Sambutan orang ramai terhadap jualannya agak baik dan menggalakkan, malahan ada masa-masa tertentu belum sampai lewat petang jualannya habis.
Selain outlet di hadapan SJKC Bukit Serdang, dia juga mempunyai satu lagi kedai di hadapan kawasan Taman Perumahan Lestari Perdana 8 (LP8), Persiaran Lestari Perdana yang diuruskan oleh isterinya.
Kedua-dua outlet ini hanya beroperasi sepenuh masa antara jam 10.00 pagi hingga 6.30 petang pada Sabtu dan Ahad atau cuti umum.
Pada hari biasa, hanya beliau seorang yang mengendalikan outlet di hadapan kawasan Taman Perumahan LP8 kerana isterinya terpaksa menguruskan anak ke sekolah.
Jika musim buah-buahan bila bekalan nangka terjejas beliau menjalankan perniagaan menjual buah-buahan termasuk durian.
Tetapi sejak harga durian agak tinggi, tumpuan diberikan kepada jualan buah-buahan jenis lain yang senang dijual.
Pada lewat petang jualan nangka madu Syefrile semakin berkurangan kerana sudah banyak dibeli oleh mereka yang melalui jalan berkenaan.
Syefrile memberitahu, buah nangka diminati oleh orang-orang Cina kerana menurut mereka, ia baik untuk "menyembuhkan" penghidap kencing manis.
Beliau sempat menjelaskan jika menanam nangka terutama dari jenis nangka madu perlu selalu dijaga dan dibelai dengan baik melalui penggunaan baja yang sesuai serta tanah tertentu supaya cepat matang dan berbuah lebat.
Jika tanahnya serasi dan sesuai, pokoknya boleh membesar dalam tempoh singkat
Kepada orang ramai yang ingin mendapatkan buah nangka madu yang baik , rasa manis dan segar bolehlah menghubungi Syefrile Neldi sama ada untuk tempahan atau belian. - KitaReporters.com
Syefrile Neldi menggantikan paket-paket nangka madu yang sudah terjual dengan bungkusan baharu supaya orang ramai yang melalui jalan berkenaan terus tertarik dan berminat untuk membelinya.
Sisa kulit nangka satelah dipisahkan ulas buahnya akan dibawa pulang Syefrile Neldi selesai berniaga dan bahan tersebut dijadikan sebagai baja pokok.