Pesona 26 Dec, 2019

HEMA MALINI: DERITA CINTA SANJEEV KUMAR

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this
CINTANYA hanya kepada Hema Malini. Namun derita putus cinta dengan aktres jelita itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam jiwa Sanjeev Kumar sehingga dia terus membujang sampai ke mati. : KitaReporters.com

SANJEEV KUMAR


Kemesraan mereka bermula ketika penggambaran filem Seeta Aur Geeta (Seeta dan Geeta) pada 1982. 

Kemesraan berputik kepada cinta sehingga mendorong  Sanjeev meluahkan hasrat kepada Hema Melaniuntuk mengahwininya.

Hema Malini menerima cinta Sanjeev. Tapi malangnya ibu Hema tidak merestui hubungan mereka atas alasan berlainan cara hidup dan latar belakang.

Namun terdapat juga khabar Hema dalam dilema kerana aktor Jeetendra juga dikatakan meluahkan hasrat hati terhadapanya. 

Namun Jeetendra pun akhirnya berkahwin dengan orang lain, Shobha Sippy.

Kebetulan dalam filem Seeta Aur Geeta itu juga turut membariskan aktor Dharmendra.Dia juga menaruh hati kepada Hema Malini.

SANJEEV Kumar dan Hema Malini dalam 'Seeta Aur Geeta'.


Putus cinta menyiksa jiwa. Gagal menjadikan Hema suri hidup, Sanjeev terus menutup pintu hatinya untuk cinta sekalipun ada ramai wanita, termasuk aktres, yang bersedia berkahwin dengannya.

Namun betapa pun parahnya luka cinta Sanjeev, dia tidak berdendam dengan Hema Malini. Dia sangat profesional dan tetap masih sedia berlakon di samping Hema.

Ini terbukti apabila mereka berlakon bersama dalam filem Sholay (Api) keluaran tahun 1975. 

Filem berskala besar ini membariskan lima nama hebat industri filem Bollywood. Selain Sanjeev dan Hema, yang lain ialah Amitab Bachchan, Jaya Bhaduri dan Dharmendra.

Ertinya sekali lagi Sanjeev Kumar bergandingan dengan Dharmendra dan Hema Malini setelah Seeta Aur Geeta.

Filem arahan pengarah tersohor Ramesh Sippy ini juga memperkenalkan ke layar perak pelakon baharu, Amjad Khan yang membawa watak sebagai kepala penjahat, Gabbar Singh.

ADEGAN cemas ketika kepala penjahat, Gabbar Singh (Amjad Khan) bersedia untuk menetak kedua-dua tangan Thakur (Sanjeev Kumar) dalam 'Sholay'.


Sholay muncul blockbuster. Walaupun gembira dengan kejayaan ini, Sanjeev tetap menyimpan duka.

Sekali lagi hatinya terhiris luka apabila pada 1979, Hema Malini yang dicintainya berkahwin dengan Dharmendra yang sudah pun beristeri.

Terdapat khabar angin, Dharmendra dan Hema Malini memeluk agama Islam untuk membolehkan mereka berkahwin. Ini kerana dalam agama Hindu tidak ada poligami.

Sholay juga menemukan jodoh Amitab Bachchan dengan Jaya Bhaduri. Bakat mereka sebagai pelakon diwarisi oleh anak, Abishek Bachchan.

SANJEEV Kumar (kiri), Amitab Bachchan (tengah) dan Shashi Kapoor dalam filem pecah panggung, 'Trishul'.


Sanjeev Kumar lahir pada Julai 1938 di Surat, Gujarat dan menerima pendidikan awal di sana. Apabila keluarganya berpindah ke Mumbai dia menyambung pelajarannya di bandar raya besar itu.

Sanjeev memang minat berlakon. Pada usia awal dua puluhan, dia menyertai sebuah persatuan teater di Mumbai dan berkecimpung lama dalam teater. 

Tetapi kerana kedudukan kewangan yang sempit dan terpaksa menanggung keluarga, Sanjeev memasuki sekolah lakonan filem milik produser terkenal, S. Mukherji, dengan harapan menjadi bintang dan memperbaiki ekonomi keluarga.

Ketika mula menceburi filem dia hanya memegang peranan kecil serta kurang mendapat perhatian.

Bintangnya mula bersinar pada tahun 1970 apabila Khilona yangdibintangi bersama Mumtaz beroleh kejayaan.  

Selepas itu tawaran berlakon datang satu demi satu. Dalam tempoh tiga dekad dalam industri Bollywood, banyak filem dibintanginya. Antaranya Khosish, Anamika, Paras,Mausam, Pati Patni Aur Who, Devata, Aandhi, Angoor dan filem pecah panggung, Trishul.

Namun watak yang paling berkesan dipegang dan diingati hingga kini ialah sebagai Thakur dalam Sholay, insan yang mahu membalas dendam atas kematian ahli keluarganya, walaupun kedua-dua tangannya kudung kerana putus ditetak oleh penjahat.

STEM kenang-kenangan Sanjeev Kumar dikeluarkan pada 2013.


Di sepanjang kariernya, Sanjeev pernah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik melalui dua buah filem, Dastak (1970) dan Koshish (1972).

Malah kerajaan India menghargai dia sebagai insan seni dengan mengeluarkan stem kenang-kenangan bertemakan dirinya pada 2013.

Di sebalik kejayaannya sebagai bintang filem, Sanjeev menghidap masalah jantung yang diwarisi sejak lahir. Dia memerlukan banyak pembedahan pada awal 1980 hinggalah beberapa tahun kemudian. Ini menyebabkan kesihatannya tidak menentu.  

Kekecewaannya untuk hidup bersama Hema Malini dianggap sebab utama Sanjeev tidak minat berkahwin walaupun ada artis lain yang jatuh cinta dengannya. Antaranya Neeta Mehta, Jaishri Kumar dan Sulakshana Pandit.

SANJEEV KUMAR bersama Sulakshana Pandit dalam 'Uljhan'.


Pada 1975, Sanjeev berlakon dalam Uljhan yang menampilkan Sulakshana, bakat  baharu yang sudah menempa nama sebagai penyanyi. Dia adalah adik kepada pengarah muzik filem popular, Jatin dan Lalit Pandit.

Sulakshana ketika itu berusia 21 tahun, bertemu pertama kali dengan Sanjeev dalam set penggambaran dan terus jatuh hati kepadanya, walaupun perbezaan umur 16 tahun.

Namun Sanjeev tidak menerima cinta Sulakshana. Kesan luka kecewa cinta dengan Hema Malini masih berdarah.

KEMESRAAN Sanjeev Kumar dan Hema Malini akhirnya mendatangkan duka lara kepada Sanjeev.


Bagi Sanjeev tiada pengganti Hema. Namun walau pahit dia terpaksa menerima hakikat dia tidak akan dapat memilik Hema setelah Hema berkahwin dengan Dharmendra.

Sementara bagi Sulakshana pula, penolakan cinta Sanjeev memberi kesan mendalam kepadanya.

Dia sendiri tidak berkahwin sehingga kini. Dia mengasingkan diri selepas meninggalkan Bollywood pada 1988.

Sanjeev berterusan menanggung derita putus cinta dan sakit jantung. Malangnya dalam kedaan begini, dia berjinak-jinak dengan arak mengakibatkan sakit yang ditanggung bertambah parah.

Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada November 1985 pada usia masih muda, 47 tahun, membawa bersamanya kecewa cinta tidak kesampaian.

AKTRES jelita Hema Malini.


Sementara kematiannya mungkin tidak memberi kesan kepada Hema Malini, ia amat dirasai Sulakshana. Dia sangat terkejut sehingga tidak mahu lagi menerima tawaran berlakon.

Sulakshana membawa dirinya dengan tinggal berseorangan di sebuah flet di Mumbai, sehinggalah pindah tinggal bersama adiknya, Vijeta.

Sanjev Kumar ialah mangsa kecewa cinta yang dibawa sehingga ke penghujung nyawa.  Sulakshana pula mangsa cinta akibat mencintai insan yang tidak menyintainya. KitaReporters.com

2
1
1
0
0
You will be interested

BAYI MAUT DALAM KERETA: ELAK KUTUK, BERI DOA

PADA 17 Februari 2020, kita semua digemparkan dengan kematian seorang bayi 9 bulan di dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Indera Mahkota, Kuantan

DIBERI AMARAN!! SERONOK YANG BAWA PADAH

Wan Amirul Naim Wan Abdul Ajik, 18, dari Macang, Kelantan lemas selepas mangsa ditarik arus deras ketika mandi manda di pusat perkelahan Lata Kolam, Hulu Besut
Mohammad Ishak in Pesona 4 years ago

[VIDEO] BARANG CURI DISOROK DI DALAM SELUAR

Seorang mak cik 'kantoi' mencuri di sebuah pasar raya. Beliau mencuri banyak barangan premis yang dianggarkan berjumlah RM300, yang disorok di dalam seluarnya
Nur Syamila Kamarul Arefin in Pesona 4 years ago

"ABANG RINDU ABAH"... RINDU SI ANAK SYURGA

Muhammad Nazren Firdaus, atau Abang, seorang anak autisme yang telah kehilangan ayahnya pada April 2019. Setiap Jumaat Abang akan ke pusara untuk berjumpa abah
Roslan Rusly in Pesona 4 years ago

SEDIHNYA! LAGI DOKTOR JADI KORBAN COVID-19

LIU ZHIMING, 50, iaitu Pengarah Hospital Wuhan Wuchang, China menjadi mangsa korban terbaru wabak COVID-19 dalam kalangan petugas perubatan
Fauzan Uda Ahmad in Pesona 4 years ago