SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah. Itu perumpamaan tepat ke atas sindiket pengedaran dadah di Ipoh, Perak apabila kerakusan mereka untuk meraih keuntungan besar dalam menjual barang terlarang membawa padah apabila kesemuanya berjaya diberkas polis. : KitaReporters.com.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. (empat dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas dalam serbuan di sebuah makmal dadah di Klebang, Ipoh pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak semalam (25/11/2019).
Malah, taktik licik dengan menjadikan sebuah rumah di kawasan perumahan di Klebang dekat Ipoh sebagai makmal memproses dadah juga tidak berjaya memperdayakan pihak berkuasa dalam menghidu aktiviti jahat sindiket itu.
Sindiket yang aktif sejak lebih sebulan lalu itu dianggotai lima individu termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.
Kesemua mereka berjaya ditahan dalam serbuan antara pukul 6.25 hingga 7.10 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. berkata, berdasarkan siasatan, makmal tersebut dipercayai beroperasi sejak lebih tiga minggu lalu dan suspek memproses sendiri dadah tersebut di premis dua tingkat yang disewa kumpulan berkenaan.
Katanya, dadah jenis heroin yang diproses itu dipercayai dipasarkan untuk pasaran tempatan.
"Menerusi serbuan tersebut, polis telah merampas dadah jenis heroin seberat 43.5 kilogram (kg) dan 66.3 kg kafein yang dianggarkan bernilai RM603,165.50," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, semalam (25/11/2019).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. (tengah) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas susulan tangkapan terhadap lima individu di Klebang, Ipoh.
Tambah beliau, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah selain wang tunai berjumlah RM11,100, jam tangan, barang kemas dan kenderaan yang kesemuanya berjumlah RM379,865.84.
Katanya, pemeriksaan saringan air kecil mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis opiat serta dua yang lain mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
"Kesemua mereka direman enam hari sehingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya. - KitaReporters.com