SETIAP pasangan yang berkahwin pasti inginkan anak. Namun tidak semuanya dapat apa yang mereka ingini. Ada pasangan yang dikurniakan penyambung zuriat, namun ramai pula yang tidak mendapat walau seorang anak penyeri keluarga. : KitaReporters.com
ANAK-ANAK Mariam Nabatanzi dari yang kecil hingga yang besar.
Namun bagi seorang wanita dari Uganda, Mariam Nabatanzi, 40, dia mendapat lebih daripada apa yang diharapkan. Menjelang usia 36 tahun dia telah melahirkan 44 orang anak.
Memetik laporan sebuah akhbar Uganda, enam daripada anak Mariam meninggal dunia. Tinggal kini 38 orang yang dipelihara dan diurus makan minum serta pelajaran mereka.
Mungkin kita berfikir bagaimana pada usia 36 tahun Mariam telah melahirkan 44 orang anak, sesuatu yang agak mustahil pada keadaan biasa.
Namun realitinya dia bukan seperti wanita biasa. Mariam mempunyai benih pembiakan yang sangat banyak dan subur. Kerana itu juga dia dikenali sebagai wanita paling subur di negara Afrika timur itu.
Dia yang berkahwin pada usia 12 tahun, memperoleh anak kembar setahun selepas itu. Secara keseluruhannya dia melahirkan enam pasangan kembar semuanya.
Bukan itu sahaja. Dia juga melahirkan empat set pasangan kembar tiga, tiga set pasangan kembar empat, selain melahirkan anak secara tunggal.
MARIAM NABATANZI bersama sebahagian anak-anaknya.
Anak Mariam kebanyakannya lelaki. Daripada jumlah 38 yang ada, hanya 10 orang sahaja perempuan. Yang paling tua berumur 25 tahun sementara yang kecil dua tahun. Kebanyakan mereka tinggal bersamanya di rumah berdinding batu beratap zink di daerah Mukono, 50 kilometer dari ibu negara Kampala.
Mariam berkahwin pada usia 12 tahun pada 1993 dengan seorang lelaki berusia 40 tahun. Perkahwinan itu lebih merupakan kahwin paksa kerana Mariam sendiri tidak tahu dia akan dikahwinkan dengan lelaki itu.
Malah lelaki itu juga sudah mempunyai beberapa isteri. Mariam memberitahu, dia dipukul setiap hari oleh suaminya, di samping menjaga anak-anak isteri yang lain.
Suaminya mempunyai ramai anak hasil hubungan dengan beberapa wanita dan Mariam terpaksa menjaga anak-anak mereka kerana emak anak-anak tersebut bertebaran di mana-mana.
Mariam mengadu, suaminya amat ganas dan memukulnya walau pun jika dia sekadar memberi pandangan tetapi suami tidak suka.
WAKTU MAKAN...Banyak mulut yang perlu diisi oleh Mariam Nabatanzi.
Bagaimanapun itu semua tinggal sejarah kerana suami Mariam meninggalkannya pada 2016 setelah kelahiran anak bongsu. Tinggallah Mariam berseorangan membela dan memberi makan anak-anaknya.
Ini bebanan berat buatnya. Dia terpaksa membuat pelbagai kerja untuk menyara keluarga, seperti mendandan rambut, membuat hiasan, mengumpul dan menjual besi buruk serta menjual ubatan herba.
Wang hasil kerja-kerja inilah yang digunakan untuk membeli makanan, pakaian serta belanja perubatan dan persekolahan.
Mariam menjadi ibu pada 1994 selepas setahun berkahwin. Dia melahirkan anak kembar. Ini diikuti dengan anak kembar tiga dua tahun kemudian, diikuti dengan kembar empat setahun tujuh bulan kemudian.
Bagaimana pun bagi Mariam melahirkan ramai anak tidak menghairankan kerana bapanya juga mempunyai 45 anak hasil hubungan dengan ramai wanita. Bapanya mendapat anak kembar, kembar tiga, kembar empat dan kembar lima.
KELUARGA besar Mariam Nabatanzi.
Jelaslah kesuburan Mariam adalah kerana sejarah keturunan keluarga yang sememangnya subur dan ramai anak.
Menurut seorang pakar perbidanan dan sakit puan, Dr. Charles Kiggundu, kes Mariam ialah dia ‘hyper-ovulate’ atau melepaskan terlalu banyak telur pada setiap kali berhubung seks.
Ini menjelaskan kenapa dia melahirkan ramai kembar.
Selepas melahirkan kali keenam, Maria bertemu doktor untuk berhenti melahirkan anak. Tetapi doktor memberitahu, dia tidak boleh berhenti kerana dia mempunyai telur yang banyak.
Sebarang percubaan untuk berhenti boleh menyebabkan dia mati lebih awal.
Jsuteru Mariam dinasihatkan terus beranak. Dia juga cuba menggunakan alat pencegah hamil ‘Inter Uterine Device’ (IUD) tetapi dia muntah dan hampir mati. Dia koma sebulan.
Pada usia 23 tahun, dia sudah mempunyai 25 orang anak tetapi dinasihatkan terus melahirkan kerana ‘ovary count’ masih sangat tinggi.
Akhirnya selepas kelahiran anak bongsu yang kini berusia tiga tahun, Mariam menjalanai ‘tubal ligitation’ atau ‘ikat tiub’.
Ini merupakan prosedur pembedahan di mana tiub fallopian wanita diapit dan disekat bertujuan menghalang telur dari mencapai rahim untuk persenyawaan. Kaedah ini merupakan pencegah hamil kekal.
Bagaimana pun kitaran haid tidak terjejas. - KitaReporters.com
KELUARGA Mariam Nabatanzi.