Pesona 02 Dec, 2019

"MAMA... ENGKAULAH SEGALA-GALANYA BAGIKU"

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

 OTAKNYA memang 'bergeliga'... gifted kata orang. Tugasan diberikan mampu diselesaikan kurang daripada tempoh ditetapkan pensyarahnya. Waima dia yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah  (PhD) sering diusik pensyarahnya kerana terlalu 'laju' menyiapkan tugasan walau sesukar mana sekalipun. : KitaReporters.com


Gadis manis yang menginjak usia 30 tahun ini bukan calang-calang orangnya walaupun memegang status Orang Kelainan Upaya (OKU). Banyak kelebihan dan keistimewaan yang ada dalam dirinya tidak mungkin ada dalam diri insan normal lainnya.

Berkongsi kisah hidup dan cabaran dihadapi ketika menyambung pengajian  di Universiti Malaysia Pahang (UMP), bersama wartawan KitaReporters.com, gadis dimaksudkan, Siti Hawa Apandi yang juga penghidap penyakit "spinal muscular atrophy" (sejenis penyakit yang melemahkan urat saraf menyebabkan pesakit semakin hilang keupayaan untuk bergerak) bagaikan tidak mempunyai kata-kata untuk meluahkan isi hatinya.

Siti Hawa adalah graduan UMP bermula peringkat Diploma seterusnya Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan tempoh pengajian selama sembilan tahun (2007-2016).

 Siti Hawa ketika menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) daripada Canselor UMP, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota Pahang sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-8 pada 2013.


"Just Go With The Flow"... Itu jawapan diberikan sambil memandang tepat ke arah wajah ibunya, Zaidah Tamjis, 56 (kiri), yang sentiasa disisinya ketika temu bual diadakan.


Walaupun Siti Hawa menyedari akan kekurangan dirinya, dia tidak bersikap menyerah kalah kepada takdir dan berputus asa. "Just go with the flow," itu pegangannya.

"Selagi otak mampu berfikir dan jari jemari boleh mengetik papan kekunci komputer riba dan selagi mama menjadi 'tangan dan kaki' saya, selagi itulah saya 'kuat' untuk belajar," katanya.

"Mama adalah segala-galanya bagi saya. Mama nyawa saya. Tanpa mama, saya tidak mampu berbuat apa-apa pun kecuali mengetik papan kekunci komputer riba dengan keupayaan yang amat terhad. 

"Nak pegang sebatang pen dan sehelai kertas pun begitu menyeksakan malah saya tiada kemampuan untuk mengangkat bebanan melebihi 500 gram.

"Jika bukan mama siapa lagi yang hendak mengangkat saya ke bilik mandi, ke tandas, menukar pakaian, menyediakan makan dan minum, menolak saya ke dewan kuliah, membantu saya menulis, salin nota kuliah,  mendapatkan buku di perpustakaan dan banyak lagi perkara yang saya tidak mampu lakukan sendirian.

"Saya bergantung sepenuhnya pada mama. Setiap detik dan waktu mama sentiasa bersama saya. Kami diberikan kemudahan sebuah bilik untuk memudahkan semua urusan. Mama 'mempersiapkan' saya sesempurna yang boleh.

"Mama adalah tunjang kekuatan dan 'badang' rumah tangga sejak saya dilahirkan lagi. Tanpa mama hidup saya 'tidak bererti'.

"Malah mama tidak pernah tiada pada saat saya memerlukan pertolongannya, Terlalu besar pengorbanan yang dilakukannya untuk saya. Segunung emas pun tidak dapat menggantikan pengorbanan mama.

"Saya mengambil keputusan untuk teruskan pengajian ini juga atas usaha mama yang sanggup bertemu pensyarah dan 'merisik' jika ada peluang untuk saya sambung pada peringkat PhD. 

"Sebab saya sukar mendapatkan pekerjaan kekal. Mana mungkin mama 'bekerja' untuk saya. Alhamdulillah, laluan untuk saya 'agak  mudah' tetapi tetap perlu mengikuti syarat dan membuat pemohohan mengikut saluran yang betul.

"Terima kasih juga kepada dua pensyarah Fakulti Sains Komouter UMP, Dr Rozina Mohamed dan Dr Jamaluddin Sallim yang kini menjadi penyelia saya sepanjang program ini. Mereka banyak membantu saya malah sanggup datang ke rumah memantau dan buat perbincangan mengenai tugasan saya.

"Peluang ini bukan disebabkan saya pemegang status OKU tetapi keinginan, keterujaan dan kesanggupan saya untuk terus mencari ilmu dalam dunia pengkomputeran semakin menebal.

"Semakin kita belajar semakin banyak lagi benda yang kita tidak tahu," katanya yang bercita-cita menjadi pengatur cara komputer.


Tugas, amanah dan tanggungjawab sebagai ibu untuk memberi yang terbaik kepada anak istimewanya itu turut mendapat pengiktirafan daripada pihak universiti apabila Zaidah terpilih menerima Anugerah Khas Matahari dan berkongsi pentas dengan Siti Hawa yang menerima Ijazah Sarjana pada Majlis Konvokesyen UMP ke-8 baru-baru ini.

"Sudah sewajarnya mama layak mendapat diberi penghargaan itu. Saya kagum dengan kesungguhan dan ketabahan mama memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Mama sangat istimewa mengalahkan artis kerana  mama juga amat dikenali dalam kalangan pensyarah, pelajar serta kakitangan universiti.

"Jika mama turut menduduki exam, sudah pasti mama lulus.. dia tahu banyak perkara, malah ada ketikanya mama  menjadi sumber rujukan rakan kuliah," selorohnya.

Siti Hawa berkata, sedari kecil dia berkeadaan begitu tetapi semangat untuk belajar sangat tinggi dan keprihatinan ibunya menjadikan dia terus bersemangat untuk bersekolah.

"Sejak kecil saya sudah begini. Saya pasrah dan amat menghargai pengorbanan keluarga terutama mama dan abah yang sudah terlalu banyak berkorban masa serta wang ringgit untuk melihat saya berjaya.

"Saya sendiri tidak dapat pastikan selama mana kebergantungan saya kepada mama. Suatu ketika waktu saya buat diploma, mama sanggup tinggalkan abah dan abang di rumah dan adik di kampung semata-mata mahu menjaga keselamatan saya di sini," katanya.


Sementara itu, Zaidah berkata dia tidak pernah meninggalkan Siti Hawa sendirian sepanjang tempoh sembilan tahun anaknya mengikuti pengajian di UMP kerana dia tahu anaknya itu tidak boleh ditinggalkan sendirian dan menguruskan segala keperluan Siti Hawa.

"Balik hanya pada hujung minggu untuk menguruskan rumah tangga. Mahu atau tidak, Hawa perlu 'diangkut' sekali. Saya amat bersyukur kerana suami, abang dan adiknya amat memahami.

"Mereka tidak pernah bersungut atau rasa terasing apabila saya 'mendahului' Hawa dalam segenap sudut kehidupan," katanya.

Menurut Zaidah, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan anaknya berjaya mencapai cita-citanya dan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran seperti insan normal yang lain.

"Kehidupan saya tidak ubah seperti seorang pelajar iaitu tinggal di asrama, memasuki dewan kuliah, mengadakan perbincangan bersama pelajar lain cuma bezanya bukan saya yang belajar.

"Saya lakukan semua ini kerana Siti Hawa tidak mampu untuk bergerak sebab penyakit yang dihidapinya telah melemahkan seluruh urat saraf," katanya.

Bagi Zaidah, permata hatinya itu begitu berharga dan tiada apa yang dapat menggantikan anaknya yang 'otaknya' sangat 'kuat bekerja'.

"Ada ketikanya saya menyimpan rasa kecil hati apabila ada suara yang mempertikaikan kemampuan Hawa melanjutkan pengajiannya di universiti kerana beranggapan dia tidak mampu untuk berjaya kerana seluruh hidupnya bergantung kepada orang lain.

"Mereka menganggap kekurangan itu hanya menyusahkan kami tetapi mereka hanya memandang pada fizikalnya saja tanpa menilai kepintaran Siti Hawa dalam pelajaran.

"Sebab itu, apabila dia berjaya memasuki UMP dan masih terus belajar sehingga ke hari ini, saya nekad berada di sisi membantunya kerana mahu membuktikan kecacatan tidak menghalang Siti Hawa untuk mencapai kejayaan.

"Setiap apa yang diberikan-Nya, pasti terkandung hikmah di sebaliknya yang kita tidak tahu. Siapa sangka Siti Hawa yang tidak berdaya mengendalikan dirinya, dikurniakan otak yang sempurna dan bijak," jelas Zaidah mengakhiri pertemuan. - KitaReporters.com

 

20
3
2
0
0
You will be interested

BAYI MAUT DALAM KERETA: ELAK KUTUK, BERI DOA

PADA 17 Februari 2020, kita semua digemparkan dengan kematian seorang bayi 9 bulan di dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Indera Mahkota, Kuantan

DIBERI AMARAN!! SERONOK YANG BAWA PADAH

Wan Amirul Naim Wan Abdul Ajik, 18, dari Macang, Kelantan lemas selepas mangsa ditarik arus deras ketika mandi manda di pusat perkelahan Lata Kolam, Hulu Besut
Mohammad Ishak in Pesona 4 years ago

[VIDEO] BARANG CURI DISOROK DI DALAM SELUAR

Seorang mak cik 'kantoi' mencuri di sebuah pasar raya. Beliau mencuri banyak barangan premis yang dianggarkan berjumlah RM300, yang disorok di dalam seluarnya
Nur Syamila Kamarul Arefin in Pesona 4 years ago

"ABANG RINDU ABAH"... RINDU SI ANAK SYURGA

Muhammad Nazren Firdaus, atau Abang, seorang anak autisme yang telah kehilangan ayahnya pada April 2019. Setiap Jumaat Abang akan ke pusara untuk berjumpa abah
Roslan Rusly in Pesona 4 years ago

SEDIHNYA! LAGI DOKTOR JADI KORBAN COVID-19

LIU ZHIMING, 50, iaitu Pengarah Hospital Wuhan Wuchang, China menjadi mangsa korban terbaru wabak COVID-19 dalam kalangan petugas perubatan
Fauzan Uda Ahmad in Pesona 4 years ago