Pesona 04 Dec, 2019

SEMBANG DENGAN POKOK BUNGA JADI TERAPI

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this
"Saya tidak pernah jemu 'mengulit' bunga bahkan bercakap dengan bunga ini sudah menjadi perkara 'wajib' bagi saya setiap hari. Kalau tidak ke ladang, laman rumah inilah tempat saya. Berbual dengan tanaman... mintak 'dia' terus subur, berbunga dan berdaun lebat, jangan layu sebab orang selalu datang tengok dan macam-macam lagi 'nasihat' saya beri untuk memastikan 'mereka' terus hidup. : KitaReporters.com

Painam tidak pernah jemu 'berbual' dengan pokok bunga yang ditanamnya... "seronok sebenarnya bersembang dengan 'anak-anak' ni."


"Alhamdulillah semuanya mendengar kata dan jika ada yang mati, sudah sampai 'ajalnya', saya akan menggantikannya dengan pokok lain pula," ujar Painam Suratman, 53, memulakan perbualan. 

Wartawan KitaReporters.com yang berkesempatan berkunjung ke rumahnya di Felda Keratong 7, Muadzam Shah, Pahang memang kagum melihat halaman rumahnya yang dipenuhi dengan pelbagai tanaman bunga sama ada di dalam pasu atau di atas tanah.

Di kelilingi bunga-bungaan yang berkembang mekar dengan pelbagai spektrum warna adalah momen terindah bagi Painam untuk dinikmati setiap hari malah laman itu mampu merawat minda dan menjadi terapi hilangkan tekanan kerjanya.

Keliling rumah dihiasi pelbagai spesies bunga-bungaan.

Meriah sungguh gayanya!!! Jarang sangat orang tanam pokok sampai beratus jenis! 

Tetapi bagi Painam yang senang dikenali dengan panggilan Anum, ia bukan mustahil ditambah pula dengan minat yang mendalam terhadap khazanah alam itu.

Bukan setakat pokok bunga, Painam dengan bantuan suaminya, Nur Abidin Che Mud turut membina sebuah pergola yang dikelilingi pokok bunga pelbagai warna seperti bunga sandpaper, kemunting Cina, bunga kertas dan kemboja, sekali gus menjadi pilihan tetamu merakam kenangan. 

Laluan pejalan kaki menuju pergola yang dihiasi pokok bunga pelbagai spesies dan berwarna warni


Mengagumkan untuk yang pertama kali melihat laman rumah Painam. Begitu memukau mata memandang.

Halaman bunga yang dikenali sebagai Taman Anum sempena nama timangan Painam sejak kecil itu dianggap sebagai sesuatu yang sangat istimewa kerana dibina atas usaha tulang empat keratnya sejak menyertai tanah rancangan itu 31 tahun lalu.

Peribahasa 'sikit-sikit lama-lama menjadi bukit' tepat menggambarkan ketekunan dan kesungguhan Painam  'meneroka' laman rumahnya sehingga menghasilkan lanskap yang begitu indah dan berwarna warni.

"Sejak remaja lagi saya memang minat dengan seni hiasan lanskap dan ia berterusan sehingga berkahwin. Saya akan sentiasa mencari ruang untuk mencantikkan halaman rumah sedikit demi sedikit sehingga apa yang dilihat hari ini.

Pasu Bunga gantung turut menjadi pilihan Painam untuk menghiasi kediamannya.


"Menerusi idea dan kreativiti yang ada, saya susun pasu bunga mengikut kesesuaian sama ada di atas tanah, digantung mahupun di lantai simen beranda rumah, malah 'sempadan' dengan rumah jiran pun dipagari dengan pokok bunga," katanya.

Lebih 200 pokok bunga ditanam dan mudah hidup termasuk bunga tahi ayam, balong ayam, keladi, bunga kertas, bunga butang, sirih emas, kemboja, bunga corong, isabella, ekor kucing, vinca, pentunia, zinia lapis, zinia renek, tecoma stans, adenium, akardani, ros Jepun dan ruellia menghiasi kawasan sekeliling rumah Painam.

Ibu kepada dua anak berusia 31 dan 32 tahun itu banyak menggunakan pasu pelbagai bentuk dan saiz serta tayar terpakai juga pasu gantung untuk menimbulkan elemen yang lebih segar dan bersesuaian dengan persekitaran kediamannya. 

Painam juga menggunakan kemasan batuan kecil berwarna putih pelbagai saiz secara berselang dengan batu kerikil di beberapa laluan pejalan kaki sekitar rumahnya untuk mewujudkan suasana yang lebih menarik.

Lanskap rumah Painam menjadi pilihan tetamu untuk singgah dah bergambar kenangan


"Batu ini amat sesuai untuk aktiviti senaman tapak kaki bagi membantu melancarkan aliran darah," katanya yang pernah menerima pengunjung dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Terengganu dan  Singapura.

Menambahkan lagi suasana segar, Painam tidak lupa menyediakan bangku rehat yang diperbuat daripada tayar terpakai dan diletakkan di celah pokok bunga, manakala meja dan bangku rehat konkrit ditempatkan di tepi laluan pejalan kaki.

Deretan pasu gantung yang menghiasi kediaman Painam. Ada antara peneroka yang menjadikan rumah  Painam sebagai contoh dalam hiasan laman rumah.


Pokok ati-ati yang popular sekitar 1970-an di kawasan tanah rancangan FELDA antara tanaman yang menjadi pilihan Painam 


Menurutnya, pokok-pokok bunga pilihannya itu tidak sukar ditanam tetapi perlu 'bijak' dalam hal penjagaan kerana ada antara tanaman agak sensitif pada cahaya matahari.

"Masa yang diperuntukkan tidak menentu tapi biasanya antara dua atau empat jam sehari saya menghabiskan masa membelai dan mengulit tanaman seperti membuang daun kering dan menyiram.

"Saya tanam dan biak menggunakan 'acuan' sendiri sahaja seperti membuat keratan rentas atau taburan biji benih," katanya yang berasal dari Segamat, Johor. 

Bagi memastikan tanamannya sentiasa berkembang subur, segar serta berbunga lebat, Painam menggunakan air basuhan beras dan air kelapa bagi tujuan itu yang secara tidak langsung menghalau serangga dan memulihkan daun yang rosak.

Menurutnya, persekitaran yang damai dan tenang disulami susun atur tanaman bunga pelbagai spesies berwarna warni itu akhirnya 'mencipta' sejarah tersendiri apabila kerap dikunjungi penduduk setempat juga pengunjung luar.


"Tetamu datang tanpa diundang tetapi saya gembira kerana laman saya menjadi pilihan untuk dijadikan latar merakam potret malah saya sediakan sebuah bangku khas di bawah pergola bagi tujuan itu.

"Ada juga yang pada mulanya datang untuk bergambar tetapi akhirnya turut membeli pokok bunga yang digemari... sudah seperti nurseri bunga pula," katanya yang sering berkongsi lanskap kediamannya dalam media sosial seperti Facebook. - KitaReporters.com

19
2
0
0
0
You will be interested

BAYI MAUT DALAM KERETA: ELAK KUTUK, BERI DOA

PADA 17 Februari 2020, kita semua digemparkan dengan kematian seorang bayi 9 bulan di dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Indera Mahkota, Kuantan

DIBERI AMARAN!! SERONOK YANG BAWA PADAH

Wan Amirul Naim Wan Abdul Ajik, 18, dari Macang, Kelantan lemas selepas mangsa ditarik arus deras ketika mandi manda di pusat perkelahan Lata Kolam, Hulu Besut
Mohammad Ishak in Pesona 4 years ago

[VIDEO] BARANG CURI DISOROK DI DALAM SELUAR

Seorang mak cik 'kantoi' mencuri di sebuah pasar raya. Beliau mencuri banyak barangan premis yang dianggarkan berjumlah RM300, yang disorok di dalam seluarnya
Nur Syamila Kamarul Arefin in Pesona 4 years ago

"ABANG RINDU ABAH"... RINDU SI ANAK SYURGA

Muhammad Nazren Firdaus, atau Abang, seorang anak autisme yang telah kehilangan ayahnya pada April 2019. Setiap Jumaat Abang akan ke pusara untuk berjumpa abah
Roslan Rusly in Pesona 4 years ago

SEDIHNYA! LAGI DOKTOR JADI KORBAN COVID-19

LIU ZHIMING, 50, iaitu Pengarah Hospital Wuhan Wuchang, China menjadi mangsa korban terbaru wabak COVID-19 dalam kalangan petugas perubatan
Fauzan Uda Ahmad in Pesona 4 years ago