SEKARANG ini musim tengkujuh yang menyaksikan hujan lebat turun setiap hari. Maka elakkan diri sendiri dan awasi kanak-kanak daripada mendekati sungai yang berarus deras. Ini kerana malang tidak berbau. : KitaReporters.com
Hanya kerana mahu membasuh tangan seorang kanak-kanak, maut manakala dua lagi nyaris maut selepas tergelincir ke dalam Sungai Pulau Kucing di Kampung Pagar, Penjom dekat Lipis, Pahang.
Mayat mangsa yang hilang iaitu Nur Dhiya Aqeela Mohd. Khairul Adlie, 6, ditemukan hari ini selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak berkuasa khususnya bomba dan polis.
Mangsa, Nur Dhiya Aqeela Mohd. Khairul Adlie, 6.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pada Isnin (2/11/2019) lalu mangsa bersama tujuh lagi rakan berumur enam hingga 16 tahun pergi ke tebing sungai bagi mencuci sebelum mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.
"Dua orang rakan mangsa terjun ke dalam sungai cuba menyelamatkan mangsa, namun ketiga-tiga mereka hanyut dibawa arus deras sebelum rakan-rakan mangsa ditebing menjerit meminta tolong.
"Kebetulan ada orang kampung yang sedang menoreh getah terdengar jeritan dan melihat tiga mangsa terkapai-kapai lalu menaiki bot dan berjaya menyelamatkan dua mangsa, manakala seorang lagi mangsa dihanyutkan arus deras," katanya di Lipis, hari ini (5/12/2019).
Menurutnya, mayat mangsa yang ditemukan pasukan penyelamat hari ini selepas empat hari hilang dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung pada pukul 8.04 pagi.
"Semasa ditemukan mayat mangsa dalam keadaan terapung dan tersangkut pada pokok, manakala keadaan fizikal mayat adalah cukup sifat," katanya.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa jarang bermain berhampiran sungai berkenaan dan merupakan seorang anak yang baik.
Katanya, semasa kejadian ibu mangsa tidak tahu mangsa pergi ke tebing sungai dan berada di rumah bagi menjaga emaknya yang terjatuh di bilik air pada hari kejadian. - KitaReporters.com