PRIYAA Simmi yang memenangi Mrs Malaysia World 2019 kini dalam perjalanan memburu gelaran Ratu Cantik Mrs World 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat. : KitaReporters.com
Priyaa Simmi telah melawat ke Bangunan Parlimen baru-baru ini dan bertemu dengan ramai Ahli Parlimen Malaysia yang sekali gus memberi sokongan kepada beliau untuk menaikkan nama negara pada peringkat dunia.
Meninggalkan negara tercinta Malaysia pada Isnin malam (25/11/2019) lalu bersama suami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dia diiringi keluarga tersayangnya dengan semangat yang membakar jiwa untuk bertanding dengan lebih kompetatif lagi di pentas dunia.
Hasratnya untuk membawa pulang gelaran Ratu Cantik Mrs World 2019 bukan setakat itu, tetapi untuk mengharumkan dan menaikkan nama negara di mata dunia.
"Saya mahu dunia melihat, Malaysia sentiasa memberi peluang kepada wanita tidak apa statusnya untuk menaikkan nama negara dan sentiasa berada di atas puncak dunia yang mengambil berat isu-isu wanita," katanya kepada wartawan KitaReporters.com.
Menang atau kalah itu persoalan yang lain, namun sebelum sesiapa dinobatkan pemenangnya, Priyaa mahu memberi tentangan dan saingan yang hebat sebagai peserta dari Malaysia.
"Sejak 10 tahun lalu, saya sudah berjinak-jinak melakukan kerja kebajikan di beberapa pusat kebajikan dan saya akan teruskan usaha saya itu dengan apa juga gelaran yang dimahkotakan kelak.
"Kini dengan gelaran Mrs Malaysia 2019 juga, saya sudah banyak melakukan kerja-kerja kebajikan yang diatur oleh pihak penganjur," tambahnya.
Katanya, dia tidak canggung dan tidak kekok untuk melakukan semua kerja kebajikan itu kerana sudah sebati dengan jiwanya.
Maka berbekalkan semua itu, beliau yakin dengan persiapan mengikuti program-program Ratu Cantik lain pada peringkat antarabangsa dan mengkaji apa lagi yang perlu dilakukannya untuk tambah baik dirinya.
Priyaa amat berterima kasih kepada Ratu Cantik Mrs Malaysia World 2018, K. Kokilam yang banyak membantunya memberi petua dan semangat untuk meneruskan perjuangannya pada tahun ini.
Kini, hanya doa rakyat Malaysia untuk menguatkan semangat Priyaa bertanding di pentas dunia. - KitaReporters.com