KITA biasa mendengar beberapa kejadian di negara ini di mana kanak-kanak mati akibat kepanasan setelah ‘ditinggalkan’ dalam kereta oleh ibu bapa mereka untuk satu tempoh waktu yang panjang. Lain pula ceritanya di Rusia. : KitaReporters.com
SALJI tebal ketika musim sejuk di Wilayah Khabarovsk, Rusia. - Gambar hiasan
Di Malaysia, bahang panas kerana tiada angin keluar masuk lantaran tingkap ditutup rapat, dan ketidakmampuan anak-anak ini membuka pintu kereta atau menjerit meminta tolong, menyebabkan mereka mati lemas kepanasan.
Namun di Rusia bukan bahang yang menjadi ancaman tetapi kesujukan.
Seorang ibu dilaporkan dengan sengaja meninggalkan bayinya berusia tujuh bulan dalam kereta sorong atau ‘stroller’ di balkoni rumahnya selama lima jam dalam cuaca sejuk kerana mahu anaknya tidur dalam dingin dan segar.
Tidak diduga perbuatannya itu mengundang tragedi. Bayinya yang terlalu lama dibiarkan terdedah dalam dalam kedinginan musim sejuk (winter) mati kesejukan.
Bayangkan bayi itu terdedah kepada suhu negatif tujuh (-7) celcius. Tidak mungkin bayi itu bertahan dalam kesejukan sedemikian.
Bahkan jika orang dewasa pun terdedah kepada cuaca sesejuk itu selama lima jam, dia tidak akan mampu bertahan.
DALAM kereta sorong atau 'stroller' seperti inilah seorang bayi ditinggalkan dalam kesejukan oleh ibunya selama lima jam di balkoni rumah mereka di Khabarovsk, Rusia, sehingga membawa maut. - Gambar hiasan
Menurut laporan media Rusia, yang memetik para pegawai pihak berkuasa tempatan, kejadian itu berlaku di bandar Nikolayevsk-on-Amur, timur wilayah Khabarovsk, Rusia.
Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyebut nama bayi dan ibunya.
Ibu bayi
malang itu, yang berusia 40 tahun, dikatakan meletakkan anaknya di balkoni rumah
supaya dia (anak) boleh tidur dalam kesegaran cuaca sejuk.
Bagaimanapun ibu tersebut kemudian lupa mengenai
anaknya kerana sibuk dengan kerja lain. Dia hanya teringat lima jam kemudian.
Malangnya
ketika itu sudah terlambat. Bayi itu sudah tidak bergerak apabila dibawa masuk
ke dalam rumah dan tidak dapat diselamatkan.
Satu
siasatan jenayah kemudian dijalankan ekoran kejadian tersebut. Laporan awal
mendapati punca kematian disebabkan oleh hipotermia (hypothermia) atau suhu panas badan
rendah.
Sehubungan
itu, pihak Kementerian Kesihatan Wilayah berkenaan mengingatkan orang ramai
agar tidak meninggalkan anak mereka di luar rumah tanpa penjagaan dan
pemerhatian.
Pihak
kementerian juga mahu orang ramai sentiasa peka dan mengambil tahu di mana anak
mereka berada dan dengan siapa.
Kementerian
itu juga mengingatkan agar orang ramai lebih prihatin dan bertindak proaktif jika terserempak dengan anak-anak di jalanan yang dalam situasi bahaya.
Ini kerana pada
musim sejuk, anak-anak yang hilang atau cedera di jalanan, akan mudah menjadi mangsa suhu sejuk.
Namun agak menghairankan, di sesetengah negara meninggalkan anak untuk tidur di luar rumah pada musim sejuk bagai sudah menjadi satu amalan biasa.
Sebahagian
ibu bapa berpendapat membiarkan anak mereka tidur di luar akan membolehkan anak
tidur lebih nyenyak dan lama.
Mereka juga
berpendapat, mendedahkan anak-anak kepada udara segar dapat membantu mencegah
batuk dan selesema.
Mungkin pendapat ini ada benarnya. Tetapi risikonya juga besar.
Jika terlupa, padahnya sangat tragis. Anak mungkin sudah tidak bernyawa. - KitaReporters.com
Kedudukan wilayah Khabarovsk di Rusia. - Kredit foto peta Google Map