BAYANGKAN, apa yang akan kita lakukan sekiranya terjumpa objek besi menyerupai bom? Malah, objek yang dijumpai itu pula bukannya satu tetapi ada lapan kesemuanya! : KitaReporters.com
Bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang dijumpai di Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh, di Jalan St John di Ipoh, Perak pada 20 Disember 2019.
Itu yang terjadi di Ipoh semalam (20/12/2019) apabila rutin harian sebuah syarikat kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah dikejutkan dengan penemuan bom yang masih aktif.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, lapan butir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di sekitar kawasan Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh di Jalan St John di Ipoh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, bom itu ditemukan oleh pekerja syarikat penyelenggaraan yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan berkenaan pada pukul 2.45 petang.
Katanya, kumpulan pekerja itu pada mulanya hanya menjumpai empat butir bom sebelum bom selebihnya ditemukan oleh Unit Persenjataan dan Pemusnah Bom (UPB) yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
"Empat objek besi yang menyerupai bom itu dijumpai pekerja terbabit sebelum mereka memaklumkan mengenai penemuan tersebut kepada pihak polis.
"UPB yang dihantar ke tempat kejadian segera menjalankan pemeriksaan sebelum turut menjumpai empat lagi objek serupa.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lapan objek yang ditemui itu adalah bom lama yang masih aktif," katanya.
Menurut beliau, pihak UPB telah mengambil langkah keselamatan sebelum bom lama itu dilupuskan di sebuah kawasan kuari di Lahat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Katanya, lokasi penemuan kesemua bom itu kini disahkan selamat.
"Kita percaya kawasan penemuan bom itu pernah dijadikan tempat penyimpanan bahan letupan milik tentera Jepun ketika perang dunia," katanya. - KitaReporters.com