BERILAH perhatian sekiranya anak-anak anda demam walaupun baru sehari kerana pelbagai kemungkinan dan risiko boleh berlaku. Malah pihak hospital juga harus mengambil perhatian melakukan pemeriksaan yang teliti jika kanak-kanak demam teruk dan sakit. Janganlah tunggu hingga lima hari lagi baru minta keluarga datang semula kerana kita tidak tahu apa akan terjadi keesokan harinya. : KitaReporters.com
Allahyarham Muhammad Dayyan Hazim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jengka 18, Maran, Pahang pada 6 Januari 2020.
Seorang bapa Mohd. Esmadi Ibrahim, 36, melalui ujian berat apabila anak bongsunya meninggal dunia akibat demam, manakala anak keduanya pula terpaksa dimasukkan ke wad kerana dijangkiti virus influenza A.
Mohd Esmadi yang berasal daripada Jengka 18, Maran, Pahang berkata, anak bongsunya Muhammad Dayyan Hazim yang berusia setahun lapan bulan meninggal dunia pada 6 Januari 2020 lalu selepas hanya sehari mengalami demam.
Lebih menyedihkan semasa kejadian bapa kepada tiga anak itu tidak ada bersama mangsa kerana dia di sebuah hospital swasta di Kuantan bagi menjaga anak keduanya, Mohamad Danial, 4, yang disahkan dijangkiti influenza A.
"Bayangkanlah saya tidak dapat memberikan tumpuan pada Hazim dan tidak pernah berjumpa dia dari 1 Januari 2020 kerana memberikan tumpuan kepada Danial kerana Danial demam teruk sehinggakan saya sangat sedih sehingga sekarang.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi saya berharap selepas ini pihak hospital janganlah terlalu mengikut prosedur sehinggakan hendak tunggu lima hari baru hendak melakukan ujian dan sebagainya sedangkan sakit teruk,"katanya.
Menurutnya pada 2 Januari 2020 lalu, isterinya yang menjaga Mohamad Dayyan Hazim menelefon memberitahu anak keduanya itu demam dengan panas mendadak dan sakit di dalam perut.
Mohd. Esmadi kemudian meminta isterinya membawa Muhammad Dayyan Hazim ke klinik swasta kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini sekiranya baru demam pesakit disuruh balik tanpa melakukan ujian terperinci termasuklah ujian darah.
Beliau memberitahu selepas melakukan ujian influenza di klinik berkenaan anaknya itu didapati negatif influenza.
Katanya, lagi dengan berbekalkan antibiotik dan ubat demam Hazim dibawa pulang ibunya sebelum demam panas meningkat mendadak sehingga terpaksa diberikan ubat sebelum mengalami sawan dan dihantar ke Hospital Jengka.
"Berita menyedihkan saya terima dalam perjalanan pulang dari Kuantan ialah Hazim semakin kritikal sehingga terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dengan hanya demam satu hari sehingga lemah seluruh tubuh saya.
"Apabila sampai di hospital doktor pakar memaklumkan anak saya amat kritikal sebelum Hazim meninggalkan kami pada pukul 7.11 pagi pada 6 Januari 2020.
"Walaupun saya dan isteri amat sayangkan Hazim, tetapi kami reda yang Allah lebih sayangkannya," katanya yang memaklumkan jenazah dikebumikan di Jengka 18 pada hari sama.
Allahyarham adik Muhammad Dayyan Hazim Mohd Esmadi, setahun lapan bulan.
Dalam pada itu, menceritakan keadaan anak keduanya yang dijangkiti influenza dia berkata, abang kepada Allahyarham itu mengalami demam pada 31 Disember 2019 dengan suhu sehingga 39 darjah selsius.
Katanya dia pada mulanya membawa Mohamad Danial ke Hospital Temerloh sebelum doktor mengesahkan anaknya tidak ada jangkitan kuman dan diminta balik walaupun dia memberitahu anaknya sering sakit perut dan demam tidak kebah walaupun makan ubat.
Jelasnya, doktor tetap arahkannya balik dengan meminta membasahkan badan anaknya itu sebelum dia membawa Mohamad Danial ke klinik swasta yang kemudian mengesahkan anaknya dijangkiti virus Influenza A.
"Saya begitu sedih dengan fasiliti hospital kerajaan yang tidak mampu mengesahkan anak saya menghidap Influenza A.
"Dengan surat rujukan dari Klinik Primamedik saya bawa Danial ke Kuantan Medical Centre," ujarnya. - KitaReporters.com