BANYAK guru berkorban jiwa dan raga untuk ke sekolah pedalaman, namun akhirnya ada yang pulang membawa duka dan trauma. Dalam pada itu, mereka khuatir kerana jika mengadu, mereka bakal "diperap" lagi di pedalaman. Kini, seorang guru tampil membuat pengakuan. : KitaReporters.com
Pemandangan sebuah sekolah kebangsaan di Sarawak yang hanya boleh dilalui melalui sungai dan jalan balak.
Kisah pengorbanan guru yang terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan laluan teruk di kawasan pedalaman merupakan perkara yang sering kita dengar.
Namun pada hakikatnya, pelbagai lagi pengorbanan terpaksa dilalui guru-guru sehingga ada yang mengalami peristiwa pahit dan berakhir dengan trauma berpanjangan.
Berjauhan dengan keluarga kerana ditempatkan di sekolah pedalaman yang hanya boleh dilalui menggunakan laluan sungai dan 'jalan balak' merupakan antara pengorbanan sepasang suami isteri berusia 28 tahun dari Rompin, Pahang.
Selepas ditempatkan di sebuah sekolah kebangsaan di Sarawak yang berdinding kayu dan berlantaikan simen pada 29 Januari 2015, seorang guru dan isterinya memasang tekad untuk mencurahkan segala ilmu bagi mendidik murid-murid di pedalaman itu.
Kesukaran perjalanan ke sekolah berkenaan yang terpaksa melalui sungai dan laluan jalan balak malah tanpa liputan talian telefon sekali pun tidak pernah melunturkan semangat mereka untuk terus mendidik.
Lubang yang dipercayai digunakan suspek bagi mengintai dan merakam video mangsa
Namun satu peristiwa pahit yang menyebabkan isteri guru berkenaan mengalami trauma sehingga mengakibatkan dia berasa begitu tertekan.
Malah isteri guru itu hidup dalam ketakutan selama hampir dua tahun di sekolah tersebut sebelum ditukarkan ke Pahang pada pada tahun ini.
Guru itu mendakwa maruahnya tercabar selepas isterinya mengalami gangguan seksual seterusnya mencetuskan masalah trauma dan terpaksa menjalani rawatan mental.
Dia mendakwa suspek yang juga merupakan seorang guru di sekolah berkenaan bertindak melampau dengan mengintai dan merakam video beberapa orang guru wanita termasuk isterinya ketika mandi di kuarters sekolah berkenaan sehingga menampakkan bahagian sulit.
Menurut guru itu, kejadian pada 2016 itu disedari pada 31 Mac 2017 selepas dia dan rakannya menemukan video rakaman yang disimpan dalam komputer milik suspek sebelum membuat laporan polis pada 3 April 2017.
"Saya begitu terkesan dengan kes ini kerana ia melibatkan maruah kami, malah memberikan trauma kepada isteri saya jadi saya mahukan keadilan dan suspek dikenakan tindakan.
"Namun sehingga kini suspek tidak dikenakan apa-apa tindakan.
"Sebelum ini, saya tidak bersuara kerana kami takut disekat perpindahan. Selama dua tahun isteri saya dan saya terpaksa pergi ke sekolah macam orang gila dan tertekan.
"Kes ini tidak dapat dikeluarkan awal kerana faktor kesihatan isteri saya yang trauma bila disentuh kes ini selain faktor keselamatan," akui guru tersebut yang identitinya terpaksa dirahsiakan demi keselamatan dan kesejahteraan isterinya.
Seorang guru menunjukkan bagaimana cara suspek dipercayai menggunakan telefon bimbit bagi merakam video di tandas perempuan kuarters sekolah.
Menurut cikgu itu lagi, kejadian itu menyebabkan dia tidak dapat memadam kemarahan dan isterinya berasa trauma sehingga kini, yang mana adakala dia menangis seorang diri.
"Semasa sebelum ditukarkan iaitu selama dua tahun, dia tidak akan makan dan minum kalau tidak ditemani, malah semasa mandi atau ada keperluan ke tandas pun dia dia perlu ditemani saya," katanya.
Dalam pada itu, katanya kes itu juga tertangguh hampir setahun kerana ada pegawai polis yang mengendalikan kes itu telah berpindah dan suspek seolah-olah selamat daripada apa-apa tindakan.
Beliau juga mendakwa kes itu tidak diambil serius oleh Guru Besar dan Pegawai Pendidikan Daerah yang seolah-olah cuba menyelamatkan suspek.
Dakwanya lagi, bagi menutup kes itu, ada pihak turut menawarkan sejumlah wang tetapi demi maruah isterinya dia dan mangsa-mangsa lain tetap mahu menuntut keadilan.
"Saya tidak mahu (tawaran wang) kerana ia melibatkan maruah isteri saya yang lebih daripada nyawa saya sendiri, kami hendak selesaikan mengikut undang-undang dan suspek sepatutnya turut dikenakan tindakan tatatertib," ujarnya. - KitaReporters.com
Salinan laporan polis yang dibuat terhadap aktiviti gangguan seksual yang berlaku di kuarters guru di sebuah sekolah di pedalaman Sarawak.