BELUM pun sampai sebulan Vivo Malaysia melancarkan Vivo V17 Pro dengan 6 kamera bersama penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, kini dilancarkan pula peranti terbaharu dalam kategori mewah, Vivo NEX 3.
Dari kiri: Khor Ting Ting, Lewis Zeng, Mike Xu dan Jeremy Lim.
Sejajar dengan tagline berbunyi ‘Future Beyond Edges’, telefon pintar terbaharu ini boleh dikatakan peranti futuristik yang mendukung rangkaian 5G pertama di Malaysia. Cuma rasanya Malaysia belum menyokong 5G lagi.
Sayang sekali kan? Tidak apa kita sabar dan tunggu sahaja. Yang penting telefon 5G dah ada. Tak gitu?
Model ketiga dalam keluarga NEX, NEX 3 diperkenalkan kepada media oleh Ketua Pegawai Ekskutif Vivo Malaysia, Mike Xu pada majlis pelancarannya yangberlangsung penuh glam di Glasshouse, Kuala Lumpur baru-baru ini dengan harga RM3,899, rona 'Glowing Night'.
Barisan model memperagakan telefon pintar terbaharu Vivo NEX3 pada majlis pelancarannya di Glasshouse, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Pix FB Vivo Malaysia.
“Dengan NEX 3 kami telah melampaui pinggir inovasi dan industri telefon pintar - untuk menawarkan salah satu pengalaman mudah alih paling premium yang tersedia hari ini,” ujar Mike Xu dalam ucapannya.
Turut hadir Khor Ting Ting sebagai Pakar Produk Vivo Malaysia; Jeremy Lim, Naib Presiden 'Branding' Vivo Malaysia; dan Lewis Zeng, Ketua Pegawai Pemasarannya.
Sudah tentunya, dengan harga sedemikian, NEX 3 bersedia menawarkan pelbagai ciri istimewa apatah lagi reka bentuknya pun menawan dengan skrin melengkung di kedua-dua sisi pada nisbah skrin ke badan setinggi 99.6%.
Lebih menarik lagi, dengan skrin Super AMOLED berukuran 6.89 inci, tanpa takuk dan lubang ia memberikan cerminan imej ‘air terjun’.
Tidak menggunakan butang fizikal padanya, NEX 3 dilengkapi butang sentuhan ‘Touch Sense’ dengan getaran untuk memberikan rasa butang fizikal malah teknologi pengimbas cap jari juga tidak nampak memandangkan ia dipasang ke dalam skrin.
Peranti mercu Vivo yang terbaharu dan berinovasi tinggi ini pasti menambat hati pengguna yang sering menjadikan telefon bimbit sebagai kamera.
Vivo NEX 3 tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan fungsi kamera hadapannya.
Mempunyai sistem tiga kamera belakangnya yang disebut sebagai ‘Lunar Ring Camera System’, Vivo NEX 3 merupakan telefon pintar flagship premium pertama hadir dengan sensor utama 64 MP Samsung ISOCELL Bright GW1 yang disertakan bersama dua sensor 13 MP.
Ini membolehkan pengguna menangkap gambar lanskap melalui kamera ultra-lebar 13 MP F2.0 dan telefoto 13 MP F2.4 untuk potret.
Selain itu, kamera pop-naik depannya mengambil masa hanya 0.65 saat untuk keluar iaitu lebih pantas daripada sistem pop up mereka sebelum ini.
Ia turut menggunakan sensor 16 MP yang berpasangan dengan LED Flash.
Untuk menjamim prestasi cemerlang pada peranti ini, ia mengguna cip pemproses Qualcomm Snapdragon 855+, RAM 8 GB sehingga 12 GB dan ROM 256 GB serta storan UFS 3.0, sekali gus memberikan telefon pintar ini kepantasan 79% lebih berbanding UFS2.1.
Snapdragon 855 Plus merupakan siri tertinggi SoC buatan Qualcomm ketika ini dan sudah tentu menawarkan kemampuan gaming yang sangat baik buat kaki ‘gamers’ manakala ‘port bicu’ audio 3.5 mm tetap dikekalkan bagi mereka yang tidak berminat pada pembesar suara mono.
Dilengkapi bateri 4500 mAh dengan sistem pengecasan pantas 22.5 W Vivo FlashCharge, ia mengambil masa hanya 67 minit untuk mengecas penuh.
Bagaimana, anda rasa tertarik tak nak memiliki Vivo NEX 3 ini?
Buat masa sekarang, Vivo berjaya menambat hati lebih kurang 200 juta pengguna seluruh dunia yang menggunakan produk dan perkhidmatannya malah sudah berjaya takhluki 18 pasaran global serta jualan dalam talian meliputi 1,000 bandar serata dunia.
Apa pun untuk spesifikasi yang lebih terperinci atau maklumat lanjut mengenai NEX 3 boleh layari www.vivo.com/my.