Produk & Promosi 19 Nov, 2024

Dah nikmati secawan Pablo Dollah Kopi! Idea menarik, nama spontan! Bisnes karier baharu Dollah Salleh!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

DOLLAH Salleh memperagakan dua daripada tiga perasa Pablo Dollah Kopi. - Kredit foto: FH


DARIPADA idea spontan sahaja dan gelaran yang timbul pada 2014, muncul satu jenama baharu minuman, Pablo Dollah Kopi di pasaran tempatan, tidak lama lagi.

Imej grafik bekas penyerang bola sepak Malaysia era 80-an hingga 90-an, Datuk Dollah Salleh dipaparkan pada jenama berkenaan menerusi majlis pelancaran rasminya di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor pada 16 November 2024.

Kopi organik dan buatan tangan sepenuhnya serta produk Malaysia ini didatangkan dalam tiga perasa, Kopi Hitam (Black Coffee), Kopi Hitam 2 Dalam 1 (Black Coffee 2 In 1) dan Kopi Putih 3 Dalam 1 (White Coffee 3 In 1).   

Kopi premium ini yang juga bertujuan menawarkan minuman yang memberi kepuasan dan pengalaman berbeza dengan cita rasa tersendiri, boleh dibeli di kedai runcit dan pelantar dalam talian.  

Kata Dollah yang kini pengurus pasukan Sri Pahang FC, “Pablo Dollah Kopi lebih daripada minuman dan mewakili hati serta semangat Malaysia. Secawannya menawarkan sumber antioksidan, meningkatkan fokus, kecerdasan, tenaga dan kesihatan.”


PABLO Dollah Kopi terdapat dalam tiga perasa, Kopi Hitam, Kopi 2 Dalam 1 dan Kopi Putih 3 Dalam 1. - Kredit foto: FB MR


Sejarah pembabitan dalam jenama baharu minuman itu katanya bermula apabila “dua rakan (Arissa dan Datuk Zamri Mazleh) datang berjumpa hendak buat jenama ini. Saya syorkan nama inilah, letak Pablo Dollah Kopi.

“Nama Pablo ini juga timbul pada skrin Stadium Jalan Besar, Singapura ketika saya sebagai ketua jurulatih pasukan Malaysia menentang Myanmar dalam Piala AFF 2014 (23 November),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Seorang pemberita pada mulanya yang berjumpa katanya, bertanya kenapa nama Pablo Dollah Salleh terdapat pada senarai mula pasukan perlawanan yang akhirnya berkesudahan 0-0 itu namun tuan punya diri turut kehairanan tanpa jawapan.  


DOLLAH Salleh bersama-sama para tetamu kehormat majlis pelancaran bergambar dengan produk Pablo Dollah Kopi. - Kredit foto: FH


Dollah, 61, turut mengakui seperti tidak percaya jenama kopi baharu, Pablo Dollah Kopi menjadi kenyataan pada majlis pelancarannya apatah lagi perancangannya dibuat dalam masa yang betul-betul singkat iaitu sebulan lebih sahaja.

“Daripada bola sepak bertukar kepada bisnes saya pun tertanya, betulkah aku ini? Mulanya hendak letak DDS9 (Datuk Dollah Salleh 9 – nombor jersi kegemarannya) tetapi saya kata, kalau nak buat, letak Pablo.

“Benda (gelaran Pablo) itu berlaku di Singapura sampai (muncul pada) skrin stadium. Masa itu, mana mereka dapat saya pun tak tahu, ramai peminat pula terus menggelarkan saya begitu,” katanya.

Nama Pablo jelas Dollah pun macam orang Colombia namun ada sesuatu yang unik dan punya sedikit perbezaan dengan jenama-jenama minuman terutama kopi yang lain di pasaran sekarang.

“Nama ini kami cuba dan ambil risiko serta kepada anda sekalian, berdoalah semoga kami dapat hasil dengan Pablo Dollah Kopi,” katanya ketika dikerumuni wakil media.


FANDI Ahmad (dua dari kiri), Subadron Aziz, Timbalan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Siva Sundaram dan Zamri Mazleh (dua dari kanan) antara yang turut hadir memeriahkan pelancaran Pablo Dollah Kopi. - Kredit foto: FB MR


Walau bagaimanapun anak jati Melaka yang mencipta nama dengan Johor dan Selangor serta Pahang ini sebagai pemain dan jurulatih, belum berhasrat meninggalkan terus karier bola sepaknya sekarang.

“Bola sepak sudah darah daging. Kalau darah yang mengalir itu darah bola sahaja. Setakat ini perniagaan dan bola sepak, diasing-asingkan.

"Agak sukar meninggalkan bola sepak tetapi mana tahu kalau Pablo Dollah Kopi berjaya, ada kemungkinan juga. Tunggu dan lihat sahajalah," ujarnya.

Bekas rakan-rakan seperjuangan padang yang hadir memberikan sokongan pelancaran itu ialah ketua jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad Datuk Zainal Abidin Hassan, Malek Rahman, Azman Adnan, Mubin Mokhtar, Datuk Subadron Aziz dan K. Sanbagamaran. - KitaReporters


MALEK Rahman (kanan), bekas rakan sepasukan Dollah Salleh dalam pasukan Selangor dan Malaysia era 90-an yang hadir majlis pelancaran Pablo Dollah Kopi di Subang Jaya, Selangor. - Kredit foto: FB MR

7
10
0
16
0
You will be interested