Produk & Promosi 03 Nov, 2023

Keistimewaan buku Urus Rezeki! Bantu pembaca fahami konsep rezeki! Bukan pasal duit semata-mata!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Buku Urus Rezeki membawa pembaca memahami bahawa rezeki itu bukan sekadar duit semata-mata, bahkan ia perlu diurus dengan sebaiknya agar mendapat rahmat daripada Allah.


Apabila berbicara soal rezeki, kebanyakan manusia mempunyai pelbagai persepsi mengenainya. Ada yang menganggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang atau material semata-mata. Jika tiada duit dalam dompet dan simpanan atau tiada harta berharga, masing-masing berpendapat tiada rezeki buat mereka. Hakikatnya, rezeki Allah sangat luas konsepnya.

Malah, setiap makhluk di bumi ini sudah dijamin rezekinya oleh Yang Maha Pemberi Rezeki. Justeru, sebagai umat Islam kita perlu meyakini sepenuh hati akan konsep rezeki pemberian Allah. 

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Hud, ayat ke-6 yang bermaksud: “Dan tidak ada sesuatu pun makhluk yang bergerak (bernyawa) di muka bumi melainkan semuanya dijamin rezekinya oleh Allah. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu (tertulis) di dalam Kitab yang nyata (Luh Mahfuz)."


Umat Islam seharusnya meyakini setiap makhluk itu sudah dijamin rezekinya oleh Allah.

Dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada khalayak tentang perihal rezeki, penulis buku motivasi dan dakwah santai terkenal, Bonda Nor telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Urus Rezeki. 

Dengan tagline Jaga Berkat, Rezeki Mendekat, buku ini merupakan kolaborasi antara Bonda Nor dan penulis di bawah bimbingannya, Aziana AR, seorang pengurus di salah sebuah institusi kewangan yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewangan.


Bonda Nor (kanan) bersama Aziana AR bekerjasama dalam penghasilan buku Urus Rezeki sebagai panduan buat khalayak pembaca memahami konsep rezeki dengan sebenarnya. - KitaReporters

Menurut Bonda Nor, matlamat utamanya dalam penghasilan buku ini adalah untuk menyedarkan masyarakat bahawa perjuangan kita semua bukan hanya pada mencari duit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Bahkan jelasnya, ada banyak lagi cabang-cabang rezeki yang perlu diperjuang dan diuruskan sebaiknya agar tidak menggamit sebarang penyesalan pada kemudian hari.

"Rezeki apa yang kita ada dan apa yang mahu kita cari lagi? Harus bagaimana pula kita menguruskannya? Itulah antara pengisian utama yang ingin kami bawakan menerusi naskhah Urus Rezeki ini. 

"Sebagai seorang yang sudah banyak mengalami jatuh bangun mengendalikan ekonomi sendiri, juga menyaksikan jatuh bangun orang lain, saya faham bahawa sebenarnya kebanyakan kita bukan tak cukup duit, tapi tak urus rezeki dengan baik.

"Buku ini bukanlah sebuah panduan pengurusan kewangan yang lengkap, tetapi ia lebih kepada pengurusan hati dalam mengendalikan rezeki. Selain itu, ia turut memuatkan panduan-panduan dalam meraih kemajuan dan keberkatan dalam menjalankan tugas kita sebagai khalifah di bumi Allah," terang beliau yang telah menulis lebih 80 naskhah buku di pasaran.


Salah satu bab yang ditulis oleh Bonda Nor dalam naskhah Urus Rezeki mengenai duit dan hubungan dengan manusia.

Dibahagikan kepada tujuh segmen, buku ini mencakupi panduan dalam Pengurusan Mindset, Bajet, Kerjaya, Aset, Hutang, Ibadah dan Risiko. Setiap bab diceritakan secara terperinci mengenainya.

Sementara itu, bagi Aziana pula, naskhah Urus Rezeki sesuai untuk bacaan umum dan semua lapisan masyarakat terutama dalam kondisi ekonomi yang tidak menentu dewasa kini. 

"Buku ini berkisar tentang pengurusan kewangan, duit atau rezeki yang diperoleh oleh setiap individu. Bagaimana menjaga keberkatannya, menjana pahala daripadanya, memanjangkan rezeki yang diterima, menggandakan lagi pendapatan dengan beberapa kaedah yang sesuai, mengurus perbelanjaan dan mengetahui serba sedikit tentang pinjaman pada mata institusi kewangan.

"Diharap kehadiran buku ini dapat membantu dalam memberi panduan serta rujukan buat masyarakat di luar sana, terutama buat golongan muda yang baru melangkah ke alam kerjaya. Insya-Allah," ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini.


Pelancaran buku Urus Rezeki disempurnakan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abd Aziz (empat dari kiri) sempena Pesta Buku Perak 2023 di Ipoh, Perak baru-baru ini.


Pelancaran buku Urus Rezeki telah disempurnakan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz di Ipoh baru-baru ini. 

Buku Urus Rezeki terbitan Bonda Nor Sdn Bhd ini dijual pada harga RM40 satu naskhah. Untuk sebarang pertanyaan berhubung pembelian buku ini, boleh hubungi talian 011-23215587 atau dapatkan melalui Dropshipper Bonda Nor di seluruh negara. - KitaReporters


Urus Rezeki buku yang perlu dimiliki khalayak pembaca sebagai panduan mengurus kewangan mengikut cara yang diredai Allah.

10
17
0
15
0
You will be interested