Produk & Promosi 29 Oct, 2023

Kedai fizikal Petronas Shop pertama! Usaha sama Kopetro, Setel Express, UTP! Konsep gaya hidup aktif!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Kedai fizikal Petronas Shop pertama, sebuah jenama di bawah Setel Express Sdn Bhd (Setel Express), dirasmikan melalui kerjasama strategik tiga hala antara Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) bersama Setel Express dan Universiti Teknologi Petronas (UTP). 

Kedai fizikal Petronas Shop yang diuruskan sepenuhnya oleh Kopetro di UTP menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada Kopetro, Petronas Shop dan UTP yang mengetengahkan konsep gaya hidup aktif bermula dari barangan dan pakaian sukan, ke pakej pelancongan bagi memudahkan urusan jual beli dalam kalangan warga kampus. 

Selain itu, kerjasama ini juga menjadi titik permulaan bagi ketiga-tiga pihak untuk merangka aktiviti-aktiviti dan program keusahawanan imersif untuk para pelajar diberi pendedahan awal mengenai bidang perniagaan sebelum tamat pengajian. 

Majlis perasmian yang berlangsung di hadapan kedai fizikal Petronas Shop yang terletak di Pocket D, UTP, dihadiri oleh barisan pengurusan serta kakitangan Kopetro, Petronas Shop dan UTP bersempena Majlis Konvokesyen UTP yang ke-23 pada 27 Oktober 2023.



Kerjasama antara Kopetro dan Setel Express, bermula dengan pelancaran stor Kopetro dalam talian di Petronas Shop, pada 3 Ogos 2023 yang lalu dengan menawarkan pakej percutian dan pelancongan di dalam dan luar negara. 

Langkah seterusnya dalam usaha sama menarik ini adalah perasmian cawangan stor fizikal Petronas Shop yang diuruskan oleh Kopetro di UTP ini.

Detik istimewa majlis pelancaran ini adalah upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kopetro dan Setel Express. 

MoU ini melambangkan komitmen kedua-dua pihak dalam membawa penyelesaian inovatif yang dapat mendatangkan manfaat kepada anggota koperasi serta pelanggan Petronas Shop. 

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kopetro, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah dan Ketua Pegawai Eksekutif Setel Express, Faizal Sulaiman.

Menurut Ahmad Shakir, cawangan Petronas Shop di universiti tersebut menjadi titik permulaan positif kerjasama bersama Setel Express.

“Kerjasama bersama Setel Express ini adalah langkah penting dalam misi Kopetro untuk menyediakan perkhidmatan inovatif dan kemudahan kepada komuniti setempat serta lebih 15,000 anggota koperasi kami. 

"Kami berharap hubungan strategik ini bakal berkekalan untuk masa panjang, sekali gus mendatangkan manfaat yang besar buat kedua-dua belah pihak terutama anggota Kopetro,” ujarnya.

Tambah Ahmad Shakir, Kopetro bermatlamat untuk menjadi rakan strategik penting bagi perkembangan rangkaian Petronas Shop pada masa hadapan.



Sementara itu, Faizal berkata, pelancaran ini sejajar dengan misi strategi perkembangan Petronas Shop di luar talian. 

“Saya juga berharap inisiatif ini dapat memupuk sebuah komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat, seiring dengan matlamat jenama Petronas Shop. 

"Saya yakin bahawa kerjasama ini adalah simbolik dengan mantra kerjasama kami untuk berkembang sambil mencipta nilai kepada persekitaran dalam kes ini pelajar, kakitangan, dan komuniti,” kata Faizal.

Kedai fizikal Petronas Shop di UTP ini menawarkan pelbagai barangan dan cenderahati Petronas serta pakaian gaya hidup aktif dan peralatan jenama PRYSM yang direka oleh rakyat Malaysia untuk kebanggaan bersama. 

Pelajar, kakitangan dan pengunjung UTP juga boleh mendapatkan produk dan servis yang ditawarkan oleh Kopetro seperti pakej pelancongan daripada Kopetro Travel, urusan keanggotaan dan perkhidmatan kewangan khas buat anggota koperasi, minyak pelincir Petronas, produk sedia untuk dimakan LengQuas, serta kiosk Costa Coffee. 

Tidak ketinggalan juga, cenderamata dan produk khas UTP, serta beberapa barangan yang dihasilkan oleh mahasiswa UTP sendiri yang dijual di kedai fizikal Petronas Shop. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
7
0
7
0
You will be interested